3 Pemain Yang “Tak Ngam” Dengan Pengurus

Lagenda Barcelona, Ronald Koeman baru-baru ini telah dilantik sebagai pengurus Barcelona yang baharu. Beliau menggantikan Quique Setien yang dipecat setelah kekalahan memalukan pada suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Bayern Munich yang berakhir dengan keputusan 8-2.

Namun perlantikan Koeman kurang disenangi oleh pemain senior Blaugrana. Ini terjadi selepas Koeman hanya menggunakan panggilan telefon untuk menyatakan bahawa Suarez tidak termasuk di dalam perancangam beliau di musim hadapan.

Suarez akur dengan keputusan itu namun berharap akan menerima farewell yang lebih indah, bukan hanya dengan panggilan telefon yang tak sampai seminit pon.

Mari bersama penulis kita imbas kembali 3 pemain yang mempunyai hubungan yang kurang baik bersama pengurus mereka.

1. Zlatan Ibrahimovic & Pep Guardiola

Secara mudahnya, segala pergeseran yang berlaku diantara 2 nama besar dalam bolasepak moden ini boleh didapati di dalam buku autobiografi I am Zlatan.

Zlatan secara lantang mengkritik Pep dan mengatakan bahawa pengurus berbangsa Catalonia itu sebagai seorang yang pengecut.

Ini semua bermula setelah pemain Sweden itu mempersoalkan keputusan Pep mengubah taktikal hanya untuk memuaskan hati Lionel Messi.

Saya rasa anda mengorbankan beberapa pemain untuk seorang pemain, Messi.” soal Zlatan kepada Pep.

Pep membalas, “Saya tak rasa benda ni suatu masalah besar namun saya mengerti apa yang anda rasa. Saya akan selesaikan masalah ini. Jangan risau saudara.

Selepas pertemuan itu, Zlatan hanya memanaskan bangku simpanan.

Saya rasa pelik. Mulai saat itu, Pep tidak bercakap dengan saya, mula mengelak dari bertemu saya. Bila saya masuk bilik, beliau keluar pulak. Beliau bukan seorang lelaki yang teruk, tetapi seorang lelaki yang tidak matang yang pernah saya jumpa kerana seorang lelaki akan menyelesaikan masalahnya,” ujar Zlatan.

Insiden lain yang berlaku selepas kekalahan pada separuh akhir UCL menentang Internazionale.

Guardiola merenung tajam dan saya mula hilang sabar. Dan saya berfikir, itu dia musuh saya, menggaru kepalanya yang botak! Saya menjerit, “Kau seorang pengecut! Pergi jahanam la woi!”

“Saya memang dah tak boleh tahan dan mengharapkan respon dari beliau. Namun ternyata, beliau seorang pengecut!” jelas Zlatan dalam bukunya.

2. Iker Casillas & Jose Mourinho

Pada musim 2012/2013, seperti kebiasaan Iker Casillas memulakan musim sebagai kapten dan penjaga gol utama Real Madrid. Beliau kemudian mengalami ‘kecederaan’ dan digantikan oleh penjaga gol simpanan, Antonio Adan.

Pada perlawanan seterusnya, beliau terus memanaskan bangku simpanan walaupun telah fit to play. Namun setelah Adan dilayangkan kad merah, Mourinho terpaksa memasukkan Casillas.

Kapten Real itu terus memulakan perlawanan walaupun Adan telah kembali dari penggantungan. Malang menimpa apabila Casillas mengalami kecederaan tangan dan Real Madrid mengesahkan bahawa mereka akan kehilangan khidmat beliau buat masa yang lama.

Real yang terdesak membida Diego Lopez sebagai pengganti Casillas. Lopez terus menjadi penjaga gol utama setelah kembalinya Casillas dari kecederaan panjang.

Ini seterusnya menguatkan spekulasi bahawa hubungan kapten dan pengurus Los Blancos ibarat retak menanti belah.

Ketika ditanya oleh media mengapa Casillas tidak bermula sebagai penjaga gol utama, beliau menjawab dengan nada sinis;

Pemain saya ingin dilayan dengan cara yang sama. Masalah terjadi apabila ada pemain yang merasakan dia lebih istimewa berbanding pemain lain.”

Media tidak dibenarkan berada di padang latihan? Benar. Media tidak tahu kesebelasan utama kami? Benar. Saya tidak meletakkan anak emas anda di kesebelasan utama? Benar,” ulas Mourinho.

Ada ura-ura yang mengatakan bahawa Casillas membocorkan rahsia bilik persalinan kepada teman wanitanya, Sara Carbonero yang juga merupakan seorang wartawan.

Ada juga laporan mengatakan bahawa Mourinho bengang dengan hubungan baik diantara Casillas dengan pemain Barcelona.

Hanya tuhan yang tahu masalah sebenar mereka.

3. Diego Costa & Antonio Conte

Pemain Sepanyol kelahiran Brazil itu merupakan antara tunjang Chelsea ketika mereka memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim pertama Conte di Stamford Bridge.

Perbalahan diantara dua insan yang berhati kering ini diketahui umum setelah Costa mendedahkan bahawa beliau diberitahu tidak termasuk dalam pelan musim seterusnya melalui kiriman pesanan ringkas dari pengurus berbangsa Itali itu.

Kami menjadikan beliau (Conte) juara Inggeris, dan selepas itu beliau mengatakan khidmat saya tidak diperlukan dengan hanya menggunakan pesanan ringkas“, ujar Costa.

Costa bertindak balas dengan tidak menyertai rakan sepasukannya di Cobham dan kekal bersama keluarganya di Brazil. Insiden ini berterusan sehingga Atletico Madrid mencapai persetujuan untuk membelinya semula.

Menurut laporan, Conte tidak berpuas hati dengan tindakan Costa yang mendesak Chelsea melepaskan beliau untuk ke Liga China untuk menyertai Tianjin Quanjian yang menawarkan kontrak yang lumayan.

Conte tidak mengendahkan permintaan Costa kerana ini akan merencatkan usaha beliau untuk menjuarai EPL dan kesukaran mencari penyerang yang mantap serta cepat menyesuaikan diri dengan taktikal beliau pada jendela perpindahan musim sejuk.

Tindakan Costa yang selalu bercerita mengenai Atletico Madrid juga mengundang kemarahan Conte. Dalam beberapa temu bual, Costa tanpa segan silu menyatakan hasrat beliau yang ingin kembali ke Madrid untuk berkhidmat bersama Diego Simeone.

Conte adalah seorang pengurus yang mengharapkan kesetiaan dan komitmen dari semua pemainnya dan Costa tidak termasuk dalam kategori itu.

Bahasa mudahnya, sebelum jadi toksik, baik humban keluar sahaja. Tak begitu tuan-tuan?

Rumusan

Hubungan insaniah di antara pengurus dan pemain merupakan satu elemen penting dalam membina satu unit yang kuat dalam bolasepak moden.

Kedua-dua pihak perlu menyelesaikan konflik yang dihadapi secara professional. Lebih elok pertemuaan secara empat mata diadakan bagi menyatakan hasrat masing-masing. Bukannya hanya menggunakan telefon dan mengutuk di media.

Baca yang lain