Hantar Resepi Kepada Kawan, Ambil Beras Di Rumah Mertua Antara Alasan Ingkar PKP

Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya mengesahkan mereka menahan 5 individu yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Kesemua mereka ditahan dalam dua tangkapan di pusat pentabiran persekutan negara.

Berita Harian melaporkan kesemua yang ditangkap adalah berusia 18-34 tahun.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan, mengesahkan kes pertama melibatkan dua lelaki yang ditahan kerana ingkar PKP.

Mereka ditahan ketika sekatan jalan raya di Lebuh Sentosa, Presint 7 pada jam 2.50 petang semalam.

Rosly juga menegaskan bahawa dua lelaki tersebut telah memberikan alasan yang tak masuk akal, tak munasabah.

Di mana mereka menyatakan terpaksa keluar ke rumah rakan untuk memberikan resepi masakan.

Dalam dunia yang serba canggih hari ini, perkara seperti itu boleh dilakukan dengan menghantar mesej menerusi WhatsApp dan aplikasi yang lain.

Tangkapan kedua pula membabitkan tiga pelajar antarabangsa universiti swasta masing-masing wanita warga Djibouti dan dua lelaki asal Kenya dan Sudan dalam SJR di Presint 14 pada jam 5.50 petang semalam.

Ketika soal siasat ketiga-tiga pelajar itu gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang asal sebaliknya hanya mampu menunjukkan salinan.

Bercakap kepada BH Online, Rosly berkata: “Pelajar berkenaan memberikan alasan tidak munasabah kerana mahu ke rumah rakan untuk mengambil wang dan selepas diarahkan berpatah balik mereka memberi pelbagai alasan sebelum ditahan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.”

“Tiga pelajar itu ditahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah dan melanggar perintah PKP.”

Selain daripada alasan nak bagi resepi dekat kawan, ada juga yang memberikan alasan nak ambil beras di rumah mertua.

Selepas disiasat, rupa rupanya mertua dia ada 30 kilometer jauhnya daripada tempat dia ditahan.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Ganti Jimmy, berkata: “Pelbagai alasan tidak munasabah diberi, selain ada yang enggan bekerjasama apabila polis mengarahkan mereka berpatah balik ke kediaman masing-masing.

“Yang kata kononnya nak mengambil beras di rumah mentua di Pasir Puteh sejauh 30 km itu apabila disiasat ternyata hanya alasan.”

“Daripada 10 orang yang ditahan, enam sudah didakwa di mahkamah. Kita beri amaran kepada orang ramai supaya mematuhi PKP dan tidak keluar tanpa urusan penting,” katanya.

Diharap korang jangan melanggar perintak PKP ni. Hanya keluar rumah jika keadaan sangat memerlukan dan atas urusan penting.

Melanggar PKP adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 270 Kanun Keseksaan Perintah Kawalan Pergerakan dan Peraturan 7 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Sumber: BH Online

Baca yang lain