Kelantan FA Saman Penyokong Sendiri Kerana Memfitnah

Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) telah membuat kejutan apabila mereka dilaporkan mengambil tindakan ke atas penyokong sendiri.

KAFA menyatakan ada beberapa individu cuba menuduh KAFA terbabit dalam penipuan. KAFA menegaskan mereka sudah hilang sabar dengan tuduhan tidak berasas seperti itu.

Dipetik dari Harian Metro, Setiausaha Agung KAFA Hussin Deraman menegaskan, pada ketika ini, seorang penyokong yang juga pengguna Facebook, berdepan dengan saman kerana kata kata cacian dan tuduhan yang menjatuhkan reputasi KAFA.

Hussin Deraman menyatakan bahawa KAFA langsung tiada kaitan dengan dakwaan bahawa ada 4 dalang yang menyebabkan kerosakan pada Kelantan FC – sehingga pasukan menanggung kerugian berjuta ringgit.

Hussin Deraman berkata: “Kami tetap mengambil tindakan undang-undang kepada beberapa individu yang dikenal pasti mengeluarkan kenyataan menjatuhkan reputasi KAFA.”

“Tindakan itu perlu dilakukan demi menjaga maruah KAFA yang sebenarnya tiada kaitan dengan empat individu terbabit kerana tidak pernah mencampuri segala urusan Kelantan FC.”

“Setakat ini, seorang pengguna Facebook sudah disaman atas tindakan melampaunya dan selepas ini akan ada lagi menerima nasib sama,” tegas beliau.

4 penipu

Sebelum ini, Kelantan FC mendedahkan ada 4 individu yang terkenal dalam arena bola sepak tempatan yang telah menipu kelab mereka. Kelantan FC mahu mengambil tindakan perundangan ke atas mereka.

Ini kerana mereka dipercayai menjadi dalang yang menyebabkan kerosakan dan kerugian kepada pasukan Kelantan FC.

 

Namun selepas itu Kelantan FC, menerusi Penasihat Undang Undang mereka, menyatakan bahawa kesemua individu tersebut telah membuat permohonan maaf.

Kelantan FC dalam kenyataannya berkata:

“Pihak Kelantan FC sudah menerima surat permohonan maaf dan penangguhan kali ke-2 pada jam 2.30petang dari wakil 4 individu yang terlibat dalam penipuan ini.”

“Mereka berjanji melangsaikan hutang dan memenuhi semua perjanjian termasuk gantirugi yang dijanjikan sebelum 26 Nov 2020.”

“Selepas tarikh 26 Nov 2020, jika mereka gagal melaksanakannya, kami akan meneruskan dengan tindakan undang-undang termasuk saman bagi mendapatkan gantirugi atas kerosakan yg telah berlaku.”

 

Baca yang lain