Tips Menghancurkan Barcelona Cara Bartomeu, Kesannya Hutang €1.3B Dan Hilang Messi

Keadaan kewangan di Barcelona baru saja berubah dari yang buruk ke yang lebih teruk. Malah dalam kenyataan medianya sebentar tadi Joan Laporta tanpa berselindung mengutuk pengurusan lama Barca yang menurutnya sangat teruk.

Kelab gergasi Catalan dilaporkan mempunyai hutang lebih dari €500 juta pada akhir tahun lalu. Tidak lama kemudian Barca dikatakan memiliki hutang melebihi satu bilion euro.

Sangat sukar untuk Barcelona pulih. Ditambah dengan penundaan pemilihan presiden selepas Bartomeu angkat kaki.

Pada akhir musim lalu, Barcelona mengeluarkan laporan kewangan mereka dan mendedahkan bahawa mereka telah mengumpulkan hutang kasar €1.2 bilion dan hutang jangka pendek €730 juta.

Bartomeu bagi tutorial menghancurkan kelab sebesar Barca

Tugas yang mustahil dan sukar dilakukan jika anda tidak terlalu bodoh dalam menguruskan kelab. Namun Bartomeu ternyata ada caranya. Jom teman teman!

1. Tawarkan gaji tak masuk akal

Pada era Bartoemu, sebahagian besar hutang mereka dibelanjakan untuk pembayaran gaji pemain yang sangat besar. Barcelona merupakan kelab yang paling tinggi membayar gaji pemain berbanding kelab lain di Eropah.

Angka gaji sahaja hampir 74 peratus daripada jumlah hutang kasar mereka tahun lalu. Ini sangat membimbangkan tetapi rancangan untuk mengurangkan gaji dan membayar pemain selama beberapa bulan selepas impak wabak terus gagal.

Ini kerana hubungan tidak baik Bartomeu dengan pemain pemain Barca.

Bil gaji yang besar bukanlah satu-satunya perkara yang menjerumuskan kelab tersebut ke dalam kemelut kewangan yang serius.

Ianya ditambah oleh wang yang dibelanjakan secara membabi buta untuk perpindahan pemain. Bartomeu membelanjakan wang seperti Sazali membelanjakan wang ayahnya dalam filem Anakku Sazali. Penuh lagak.

2. Nak jadi pembuli tetapi akhirnya dibuli

Dia malah tidak segan silu cuba membuli kelab lain seperti Liverpool dan Borussia Dortmund untuk mendapatkan pemain mereka dengan reputasinya yang teruk dalam pengurusan.

Dia sekarang nak melawan Liverpool yang ada Michael Edwards dan BvB yang ada Michael Zorc — dua top negotiators dalam arena perpindahan. Perisai Bartomeu adalah Barcelona. Kelab besar!

Namun realitinya, dia kemudian dibuli. Ini kerana dia jenis tidak mahu imejnya terjejas gagal mendapatkan pemain, dia tawarkan gaji tak masuk akal dan kemudian menuruti sahaja harga diminta kelab lain.

Dembele dibeli dengan nilai keseluruhan mencecah EUR110 juta. Siapa sanggup bayar? Bartomeu dan BOD beliau di Barca.

3. Terus longgokan hutang, beli dan buang

Perpindahan Philippe Coutinho, Frenkie de Jong, dan Malcom telah membuat mereka berhutang serius dengan beberapa kelab. Tahun lalu, Bartomeu meraikan satu lagi kejayaan apabila kelab berhutang dengan 19 kelab kesemuanya.

Dengan Liverpool sahaja mereka berhutang sebanyak €29 juta untuk Coutinho.

Manakala dengan Ajax mereka berhutang €16 juta, dan dengan Bordeaux mereka berhutang hampir €10 juta, Gremio €21 juta untuk Arthur, dan Bayern Munich belum dibayar sekitar €11 juta untuk Arturo Vidal.

Fakta bahawa Arthur dan Vidal bukan lagi pemain Barcelona semakin merosakkan situasi kewangan kelab.

Ramai pemain dibeli era Bartomeu tak bertahan lama dan tidak menyerlah seperti diharapkan. Coutinho sampai ke sudah ditendang ke sana ke sini. Malcom di mana?

Keadaan wabak sememangnya sangat memburukkan situasi mereka dan membuatkan juga tidak menerima bayaran dari kelab lain termasuk Zenit, Getafe, dan Roma belum lagi membayar sejumlah €46 juta kepada mereka.

Tapi ada juga fans yang selalu bekap cara macam ni dan cakap: Duit kelab bro bukan duit kau pun.

4. Terus cuba membuli dan dibuli balik

Raksasa Sepanyol itu juga berhutang dengan seteru mereka, Atletico Madrid €10 juta untuk perpindahan Antoine Griezmann. Perpindahan Griezmann dianggap perpindahan yang mengerikan lagi keadaan hutang mereka selepas Coutinho dan Dembele gagal memberikan pulangan lebih baik kepada kelab.

Bartomeu menggunakan kaedah sama ketika mendapatkan Dembele dan Coutinho. Dia cuba membuli kelab lain. Namun dia jenis tak sanggup menunggu lama untuk tarik tali lalu dia menunjukkan bahawa dia ada kuasa wang untuk menarik pemain masuk ke sana.

5. Jangan dengar nasihat orang

Perkara itu merisaukan legenda Barca seperti Xavi yang melihat pemain datang ke Barca kerana motivasi wang sebagai motivasi utama.

Ramai tokoh yang menasihati beliau agar lebih berhati hati dalam pengurusan kewangan dan kelab. Termasuk Laporta sendiri yang ketika itu merupakan calon presiden baru. Beberapa calon presiden lain turut mengkritiknya.

Bartomeu pekakkan telinga saja. Ketiga tiga pemain dibeli dengan harga lebih €100 juta dalam masa yang sangat dekat di antaranya.

Mendengar Xavi dan beberapa legenda lain selalu bersuara, maka Bartomeu mengajar satu lagi cara membuang duit pada benda bukan bukan. Dengan mengupah satu syarikat untuk menjadi cyber trooper.

Selain itu, setiap kali orang lain memberikan nasihat dan kritikan, Bartomeu akan buat bodoh.

6. Salahkan orang lain dan serang pemain dan legenda berpengaruh

Ini langkah yang sangat penting. Besilat sana sini. Dia hanya menyalahkan pengurus kalau Barca gagal. Kemudian Abidal pula menyalahkan pemain. Antaranya, Abidal menuduh Messi menjadi dalang kepada pemecatan Enrique. Messi menafikannya dan secara terbuka mengecam Abidal di IG.

Bartomeu seharusnya lebih cekap mengendalikan masalah itu. Tapi dia memilih langkah menggunakan cyber trooper tadi menyerang Messi di alam maya.

Dia tak mahu Messi menjadi sebab kenapa dia kalah dalam pemilihan presiden akan datang.

Pengurusan Barca didakwa telah mengupah syarikat influencer, 13 Ventures, untuk membersihkan dan menyucikan (whitewashing) nama Josep Maria Bartomeu sebagai presiden kelab.

Syarikat ini mengendalikan 100 akaun Twitter dan Facebook. Ianya digelar Barcagate. Yang turut menyerang bini pemain di media sosial termasuk kak Kira Waka Waka dan bini Messi.

Barcelona akan mengadakan pilihan raya presiden pada tahun 2021.

Dalam laporan itu, Josep Maria Bartomeu meminta 13 Ventures menyiarkan kandungan yang mengkritik pemainnya sendiri, termasuk Lionel Messi.

Barcelona juga memabayar beberapa konten untuk mengkritik serangkaian legenda Barcelona seperti Pep Guardiola, Xavi Hernandez, dan Carles Puyol.

Salah satu akaun Facebook di bawah naungan 13 Ventures adalah Alter Sports, yang telah beberapa kali mengemukakan pendapat menyerang Lionel Messi dan isterinya serta Gerard Pique.

Lebih merisaukan, hutang semasa kelab dikatakan sedang menuju ke angka €1.5 billion.

Masih tidak cukup dengan itu, Bartomeu seterusnya sangat lemah dalam pengurusan kewangan.

7. Salahkan wabak

Bartomeu menyalahkan wabak sebagai punca utama kelab Barcelona berhutang besar. Di mana ia menyebabkan kelab kerugian ratusan juta setahun kerana tidak ada perlawanan di dalam stadium berpenyokong.

Bekas timbalan Bartomeu iaitu Jordi Moix yang menyatakan bahawa impak pandemik membawa kepada 50% daripada beban hutang mereka ketika ini.

Sebenarnya, laporan audit menyatakan, kekayaan Barcelona sebenarnya cukup untuk mengatasi impak wabak yang melanda jika kewangan diuruskan dengan betul beberapa tahun lalu.

Audit tersebut juga menyalahkan ketidakcekapan pentadbiran era Bartomeu yang terlalu boros telah merosakkan akaun kelab mereka secara teruk.

Hanya 15% daripada hutang semasa kelab yang mencecah lebih 1 billion euro.

Kesannya mulai ketara (baca dalam nada iklan pantene)

Laporan ini secara satu demi satu menunjukkan betapa teruknya pengurusan Bartomeu dan lembaga pengarahnya sebelum ini. Di mana Barcelona kini diletakkan dalam situasi sangat sukar.

Pada Mei lalu, Joan Laporta sebelum sudah memberikan bayangan kepada umum bahawa ada situasi yang tidak kena di dalam kelab mereka sebaik sahaja audit pertama dimulakan.

Laporta turut menegaskan bahawa ramai akan terkejut dengan realiti sebenar di sebaliknya kerana ada beberapa masalah sangat rumit untuk diselesaikan.

Berpunca daripada pentadbiran yang teruk dan banyak membuat kesilapan, ianya dikatakan menjadi punca kepada masalah yang ada pada hari ini.

Hutang di paras paling gila

Ini adalah simbol kejayaan penting Bartomeu selepas melakukan kesemua tips tips di atas, yang saudara saudari boleh cuba.

Audit daripada Deloitte menyatakan bahawa kelab sebenarnya berhutang lebih €1 billion ataupun sekitar €1.3 billion.

Seterusnya €420 juta daripadanya perlu dilunaskan dalam tahun ini. Musim lalu, Barcelona rugi €487 juta, menambah angka hutang sebelum ini yang sudah €400 juta. Barcelona juga berdepan kerugian sekitar €400 juta lagi kerana tiadanya penyokong masuk ke stadium.

Menjadikan angka potensi hutang mereka mencecah €1.5b.

Biasanya mereka menjana sekurang kurangnya €320 juta daripada kehadiran penyokong. Angka itu sangat tinggi.

Lebih teruk, pada Januari gaji pemain Barcelona untuk bayaran bulan tersebut ditangguhkan keran terpaksa menunggu kelab mendapat presiden baharu terlebih dahulu pada ketika itu.

Walaupun menanggung rugi lebih 300 juta euro daripada stadium kosong, laporan audit itu sebaliknya masih tidak menyatakan bahawa pandemik menjadi punca utama kepada masalah tersebut.

Ini kerana Barcelona sebelum itu memiliki dana kewangan yang sangat besar untuk berdepan impak itu jika ianya diuruskan dengan sebaik mungkin. Barcelona dianggap antara kelab terkaya di Eropah pada musim musim sebelum ini.

Audit Deloitte turut menyatakan bahawa angka kerugian daripada wabak hanya sekitar 10% – 15%.

 

Kelab sebenarnya telah gagal dalam urus tadbir kewangan dan perniagaan. Membeli pemain dengan nilai terlalu besar dan kurang impak. 3 pemain dibeli dengan harga lebigh €100 juta adalah sangat besar.

Kelab terus sukar

Kelab sebelum ini ada duit yang banyak menerusi penjualan Neymar dengan €222 juta. Ini ditambah pendapatan hari perlawanan yang tinggi.

Barcelona kemudian memasuki fasa di mana mereka sukar untuk menyelesaikan banyak masalah. Barcelona juga gagal menjual pemain pada nilai lebih tinggi.

Laporta kemudian menyatakan selepas satu audit keluar, audit dalaman La Liga, rupanya kelab ini berada dalam situasi lebih teruk daripada yang dia sangkakan.

Presiden Barcelona, Joan Laporta menyatakan bahawa, beliau perlu membuat keputusan untuk kelab. Di mana menurutnya Barcelona lebih penting daripada Messi dalam situasi semasa.

Jika Barcelona mahu meneruskan untuk melanjutkan kontrak Messi, ianya membuatkan kelab menanggung kesannya selama 50 tahun.

Messi terpaksa dilepaskan

Barcelona rasminya mengesahkan Messi tidak dapat ditandatangani menjelang musim baru La Liga kerana FFP menyekat usaha itu atas sebab had maksimum kadar gaji pemain yang baru ditetapkan La Liga.

Paling sedih Messi sudah sedia untuk terus kekal dan sanggup dikurangkan gaji 50%. Malangnya situasi itu tak membantu kerana peraturan FFP baru La Liga membuatkan mereka gagal.

Pastinya Bartomeu bangga kerana usahanya tidak mampu dihalang. Messi sebelum ini sanggup melupakan tawaran GBP700 juta keseluruhannya termasuk pakej pencen daripada City untuk kekal bersama Barca.

Tapi legenda paling agung kelab itu terpaksa menerima hakikat pahit. Dia kembali ke Barca untuk menandatangani kontrak yang sudah dipersetujui secara verbal. Messi langsung tak scam walaupun sebelum ini PSG contact dia tawarkan gaji lebih besar. Messi tetap sayangkan Barca.

Tapi tiba di ofis dengan pakai smart smart orang bagitau, maaf kita tak boleh teruskan.

Laporta berkata: “Saya tidak boleh mengambil keputusan yang membuatkan kelab menanggung akibatnya selama 50 tahun.”

“Kelab ini sudah berusia lebih 100 tahun dan ianya lebih besar daripada sesiapa sahaja dan segalanya. Dan ianya malah lebih besar daripada pemain terbaik di dunia. Kami akan sentiasa berterima kasih ke atas beliau di atas segala yang beliau telah lakukan untuk kami.”

“Dalam usaha menyokong prinsip fair play, kami harus mengambil langkah ini atau mengambil keputusan yang meletakkan kelab dalam risiko. Kami tidak boleh meneruskannya dan keputusan harus dibuat, dan kami sudah memutuskannya.”

“Leo nak terus kekal di sini, jadi dia tidak gembira dengan apa yang berlaku. Kami semua di sini pun mahukan dia terus kekal. Untuk Messi, dia harus berdepan realiti. Iaitu realiti yang tak boleh diubah dan dia faham akan perkara itu. Saya doakan yang terbaik untuknya, walau ke mana sahaja dia pergi.”

“Legasi Leo adalah luar biasa. Dia mencipta sejarah. Dia pemain yang paling berjaya dalam sejarah kelab ini. Dia menjadi rujukan pada eranya di mana ianya sangat hebat.”

“Ini adalah era terbaik di dalam sejarah Barca setakat ini. Era baru bermula sekarang. Ianya akan ada sebelum dan selepas era Leo.”

“Kami tak ada enam bulan untuk menyelesaikan semua ini. Kami ada masa yang lebih singkat kerana audit kewangan baru keluar. Angka sebenar membuatkan kami menyedari bahawa situasi ini jauh lebih teruk.”

“Daripada buruk menjadi sangat teruk.”

“Tawaran pertama kami adalah 2 tahun dengan gaji dibayar lima kali dalam tempoh tu. Ketika kami merasakan FFP akan membenarkannya, tiba tiba kriteria baru kewangan keluar. Di sini kami tidak dibenarkan melakukannya. La Liga mendapat tekanan daripada kelab lain agar semua kelab termasuk Barca mengikuti peraturan.”

 

Bartomeu pernah cakap dia tak nak dikenang sebagai presiden yang menjual Messi. Ya itulah keajaiban beliau. Messi blah pada era Laporta.

Diharap tips tips di atas dapat membantu anda dalam usaha menjahamkan kelab atau organisasi, jika anda mahu berbuat demikian.

Baca yang lain

Xavi Sedia U-Turn Dan Kekal Di Barca

Beberapa minggu lalu Xavi menyatakan bahawa dia akan tetap meninggalkan Barcelona walaupun kelab itu menjulang UCL sekalipun. Sebelum itu Xavi sudah menyatakan