Mahu Membantu, Sebaliknya Lelaki Ini Ditikam Dan Dibakar Kerana Dituduh Punca Kebakaran

Seorang pelukis muda di Algeria, cuba membantu sebuah perkampungan yang terbakar teruk. Namun niat sucinya itu tidak kesampaian malah bertukar tragedi.

Pelukis yang bernama Ben Ismail malah dipukul, ditikam dan dibakar hidup hidup oleh sekumpulan penduduk di Kabylie, timur Algeria.

Pada 9 Ogos, Algeria mengalami kebakaran terburuk dalam sejarah negara: sekitar 71 titik kebakaran yang merebak di 18 wilayah, dan kebakaran itu berlaku selama tiga hari. Sekurang-kurangnya 90 orang mati dan berpuluh-puluh cedera.

Wilayah Kabylie, di sebelah timur Ibu Kota Algeria, paling teruk dilanda. Gambar dan video yang menunjukkan rumah-rumah di lereng bukit terbakar. Ianya dikongsi di media sosial.

Penduduk kampung yang terpaksa meninggalkan rumah mereka dan berusaha memadamkan api menggunakan penyapu, dahan pokok dan air dari baldi.

Dua hari selepas api marak, pelukis bernama Djamel Ben Ismail mengumumkan dalam tweet bahawa dia akan menempuh perjalanan lebih dari 200 batu (322km) dari rumahnya di Miliana untuk “menolong saudara kita” menangani kebakaran tersebut.

Di laman Facebooknya, dia turut meminta pengikutnya menyumbangkan bantuan apa sahaja kepada mangsa kebakaran.

Ben Ismail digambarkan oleh seorang rakannya sebagai “seorang pelukis muda yang suka bermain gitar, baik hati dan peramah … bukan seorang yang ganas.”

Tetapi setelah sampai di provinsi Tizi Ouzou di Algeria, wilayah Kabilye, pelukis itu mati dengan tragis.

Pada 11 Ogos, rakaman video didakwa mula beredar menunjukkan Ben Ismail diserang dan dipukul serta ditikam. Ada seseorang di situ menuduhnya sebagai punca yang memulakan kebakaran, dan penduduk setempat pun percayakannya. Mereka lalu menyeksa dan membakarnya sebelum membawa mayatnya ke tengah tengah dataran di kampung.

Ada mereka yang turut berswafoto di hadapan jenazah Ben Ismail menganggap mereka meraikan kemenangan yang sebenarnya satu kesilapan.

Video tersebut mencetuskan kemarahan orang ramai. Kerana ramai pengikut Ben Ismail mengikuti perjalanan pelukis itu sejak dari awal ketika dia mahu pergi membantu mangsa kebakaran.

Ibunya terkejut mendengar berita itu menerusi berita yang dibacanya. Dan dia masih terkejut dan tidak dapat menerima cara anaknya diseksa dan dibakar.

Peminat Ben Ismail meminta semua orang agar memadam dan tidak berkongsi lagi video sadistik itu.

Ayah Ben Ismail mengatakan bahawa hatinya “hancur” ketika mengetahui kematian anaknya. “Anak saya pergi untuk membantu saudara-saudaranya dari Kabyle, wilayah yang dia sangat sukai. Mereka membakarnya hidup-hidup,” katanya.

Ben Ismail seringkali berkunjung ke kawasan itu untuk menikmati keindahan tempat tersebut dan dia ada beberapa orang rakan di sana.

Agensi media tempatan melaporkan, segalanya bermula apabila ada orang yang berkongsi maklumat palsu dengan menyatakan bahawa seorang lelaki dengan plat kereta yang dinyatakan adalah punca kebakaran.

Berita itu dikongsi di media sosial dan kumpulan seperti WhatsApp. Dan di satu tempat, ada penduduk melihat Ben Ismail keluar dari keretanya. Lalu mereka menangkapnya.

Ben Ismail sangat terkejut, namun dia tidak dapat melawan orang yang ramai.

Malam sebelum kematian Ben Ismail, Perdana Menteri Aymen Benabderrahmane mengatakan kebakaran itu adalah hasil daripada sabotaj dan “tindakan jenayah”.

Pada hari yang sama, Menteri Dalam Negeri Kamel Beldjoud mengunjungi Tizi Ouzou, memberitahu wartawan bahawa kebakaran itu disebabkan oleh “penjenayah yang penuh dengan kebencian terhadap negara kita”.

Tindakan menteri itu dianggap sebagai punca yang mencetuskan pelbagai spekulasi dan khabar angin.

Menurut BBC, sebaliknya ramai pakar berpendapat sebaliknya. Di mana mereka menyebut perubahan iklim sebagai penyebab kebakaran, serta menjadi sebab kenapa api merebak pantas.

Sebelum itu, ramalan cuaca menyebut bahawa negara itu bakal berdepan suhu panas sehinggu 46 darjah celcius.

Minggu yang sama, pakar dari PBB memberi amaran kepada beberapa negara akan berhadapan gelombang panas, kekeringan dan banjir yang semakin melampau di seluruh dunia.

Berikutan kematian Ben Ismail, kemarahan masyarakat mulai mengecam ahli politik yang menurut mereka menjadikan isu kebakaran itu sebagai isu politik dan memberikan penilaian tidak tepat terhadap punca kebakaran. Sehingga orang seperti Ben Ismail menjadi mangsa.

Mereka menuntut keadilan di atas kematian tragis itu. Setakat ini, 61 orang telah ditangkap berikutan kematian Ben Ismail, kerana disyaki menjadi anggota Gerakan Penentuan Diri Kabylie ataupun Movement for the self-determination (MAK).

Gerakan itu diisytiharkan sebagai organisasi pengganas oleh pihak berkuasa Algeria pada bulan Mei.

Pada 17 Ogos, TV kerajaan menyiarkan “pengakuan” pembunuhan disyaki MAK, walaupun siasatan masih dijalankan.

Baca yang lain