Shearer Pertahankan CR7 Yang Dikritik: “Tanpa Ronaldo, Man United Lebih Teruk”

Alan Shearer tampil mempertahankan Cristiano Ronaldo dan menganggap bahawa tuduhan bahawa Ronaldo punca masalah di Manchester United adalah naratif palsu.

Ronaldo terus menjadi subjek kritikan ramai pihak kerana dianggap telah menyukarkan rakan sepasukannya kerana terpaksa bermain dalam sistem yang dikehendakinya.

Setelah melengkapkan kepulangan sensasi ke Old Trafford musim panas lalu, pemenang Ballon d’Or lima kali itu telah menjaringkan 14 gol dalam 26 penampilan di semua pertandingan semasa kedatangannya buat kali kedua.

Ronaldo, bagaimanapun, gagal menemui sasaran dalam enam perlawanan terakhirnya. Ianya adalah kemarau gol paling panjang untuk Ronaldo.

Akibatnya, United terus mengejar ketinggalan dalam perlumbaan kelayakan Liga Juara-Juara Eropah, manakala pemain berusia 37 tahun itu juga telah dikritik kerana bahasa gerak badannya yang dianggap ‘negatif’, pengaruh buruk terhadap rakan sepasukan dan menunjukkan kekecewaannya apabila digantikan dalam perlawanan.

Ronaldo kemudian dianggap sebagai memberikan tekanan kepada pengurus untuk mengeluarkannya. Shearer tidak menafikan perkara itu, namun baginya, itu memang sudah sikap Ronaldo secara semulajadi.

Bagaimanapun, menurut Shearer, bekas bintang Real Madrid itu bukanlah orang yang harus dilemparkan dengan kritikan sedemikian. Kerana dia bukan masalah dalam Man United sekarang ini.

Semasa kolum terbaharunya untuk The Athletic, pundit dan legenda EPL itu berkata: “Ronaldo mesti tengah berfikir; ‘Apa yang telah saya lalui’?”

“Dia adalah pemain yang sukar dipercayai – antara yang paling hebat yang pernah wujud dalam planet ini – tetapi dia juga berusia 37 tahun.”

“Beliau menentang untuk diketepikan atau dikeluarkan kerana intipati penampilan beliau ialah kemahuan yang tiada tandingan untuk menang dan keazaman tinggi yang tidak pernah dikalahkan.”

“Dia mahu bermain setiap minit dalam setiap perlawanan dan apabila sikap itu dah tiada, maka Ronaldo pun ‘dah tiada’. Tetapi, sudah tentu, ia juga memberi tekanan kepada pengurus.”

Shearer menambah: “Saya tidak menyalahkan Ronaldo atas apa-apa yang berlaku di sana.”

“Dia mempunyai hak untuk percaya bahawa jika bukan kerana dia mereka akan jauh lebih teruk daripada mereka yang ada sekarang ini. Dia betul.”

Shearer menyatakan dia akan rasa sangat kecewa jika benar ada pemain pemain muda yang tidak selesa dengan kehadiran Ronaldo di dalam pasukan. Ronaldo sebelum ini pernah meluahkan kekecewaannya dengan sikap segelintir pemain muda yang malas buat extra training dan kemudian tidak mengawal pemakanan.

Kerana menurutnya, kehadiran Ronaldo dalam pasukan adalah impian semua pemain muda. Ini kerana mereka boleh belajar dan mendapatkan nasihat daripada pemain sepertinya.

“Mempunyai Ronaldo di kelab sepatutnya menjadi impian bagi pemain yang lebih muda dan jika mereka tidak meminta nasihatnya dan memahami segala-galanya, maka mereka sepatutnya begitu. Bagi saya, ia adalah naratif palsu.”

Ronaldo dedah pemain muda United hari ini tak nak dengar nasihat

Cristiano Ronaldo mendedahkan bahawa ada segelintir pemain pemain muda pada hari ini tidak boleh menerima kritikan membina daripada pemain lebih senior.

Manchester United pada awal musim ini dicanang akan menjadi pencabar kejuaraan sebenar selepas menadatangani bintang seperti Varane, Sancho dan kepulangan semula Ronaldo.

Musim lalu Man United menamatkan saingan di tanggan kedua di belakang Man City. Itu yang membuatkan harapan ke atas United sangat tinggi.

Walaupun masih berada dalam persaingan Piala FA dan aksi UCL, namun dalam persaingan liga, United kini fokus kepada cuba menempatkan diri dalam 4 teratas berbanding dengan mencabar kejuaraan.

Ronaldo menyertai semula Manchester United pada deadline day – dalam jendela perpindahan lalu. Kini merupakan penjaring terbanyak kelab pada musim ini dengan 14 gol.

Ronaldo merupakan salah seorang pemain yang berusia di atas 30 tahun yang masih menjadi pemain utama kelab. Malah masih menjadi penjaring utama dalam pasukannya.

Cristiano Ronaldo kemudian secara terbuka menyuarakan kritikan ke atas pemain pemain muda pada hari ini yang tak suka mendengar kritikan daripada pemain pemain lebih berpengalaman.

“Pemain yang sudah matang, lebih tua, mereka sentiasa boleh membantu pemain pemain muda,” kata Ronaldo kepada produksi Premier League.

“Namun saya tidak boleh memberikan kamu contoh, jika saya memberikan kamu nasihat, walaupun kamu lebih muda daripada saya, jika kamu tak menyematkannya dalam kehidupan seharian, kamu akan dalam kesulitan.”

“Saya masih ingat, ketika saya berusia 18, 19, 20 tahun, ada beberapa pemain yang lebih tua bercakap dengan saya, ‘Cristiano kamu tahu kamu harus memperbaiki diri’.”

“Mereka ini [pemain lebih senior] tahun lebih banyak perkara daripada kamu, mereka lebih berpengalaman daripada kamu.”

“Mereka sudah melalui banyak peristiwa perit. Namun untuk pemain yang lebih muda, mereka tak dapat menerima kalau kamu mengkritik mereka.”

“Saya tak mahu mengaitkan perkara ini dengan pemain kami secara umumnya. Namun saya ada anak, saya tahu. Kadangkala, apabila kamu terlalu berkeras, mereka melakukan perkara bertentangan. Jadi, kamu harus mencari keseimbangan dalam bercakap dengan mereka.”

“Tetapi, pada pandangan saya, yang paling penting adalah, ianya harus dari dalam diri kamu. Kamu harus bangga dengan diri kamu, melihat cermin dan berkata, dengar sini, saya akan memberikan segalanya.”

“Saya rasa, kami semua harus melakukannya. Kerana ini adalah tahun baru, kita sudah menukar lembaran baru, kita berpeluang memenangi banyak kejayaan. Kita harus percaya, jika tidak ianya akan menjadi mimpi ngeri.”

“Saya tak nak berada di sini untuk berada di tempat keenam atau ketujuh atau kelima. Saya datang ke sini untuk menang [trofi] dan bersaing.”

“Secara individu adalah sangat penting. Kami ada di sini untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan saya, sokongan, nasihat. Saya akan menjadi orang pertama yang akan membantu kamu, tetapi jika kamu tak mahu mendapatkan bantuan sesiapa, lakukan tugas kamu, lihat diri kamu sendiri dan lakukan yang terbaik untuk membantu pasukan.”

Ronaldo kemudian menyatakan bahawa dia masih belum memikirkan soal persaraan. Malah masih berusaha untuk memastikan fizikalnya terus mampu bersaing dengan pemain pemain di usia 20-an.

“Secara genetik saya berasa seperti 30 tahun. Saya menjaga tubuh badan dan minda saya dengan sebaiknya.”

“Saya nak tahu sama ada saya masih boleh beraksi sehingga saya berusia 40, 41 atau 42. Ianya dedikasi yang memerlukan masa yang banyak, jam yang banyak, hari yang banyak, berminggu minggu, berbulan bulan dan bertahun tahun untuk dapat bersaing dengan pemain pemain yang berusia 20-an ini.”

Baca yang lain