[RASMI] Tan Cheng Hoe Kendalikan Selangor: ‘Pasukan Ini Ada Potensi Besar!’

Selangor dengan rasminya mengumumkan Tan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih pasukan itu.

Tan Cheng Hoe sebelum ini menggalas jawatan terakhir sebagai ketua jurualatih pasukan kebangsaan Malaysia.

Di peringkat kelab, pasukan terakhir yang dilatih oleh Tan Cheng Hoe adalah Kedah. Di mana dia membantu Kedah naik ke Liga Super dan memenangi Piala Malaysia 2016 dan kemudian memenangi 1 Piala Sumbangsih pada 2017.

Dikenali dengan corak pengendalian taktikal moden ketika di Kedah, Tan Cheng Hoe dianggap sebagai jurulatih beprestasi tinggi, dan membuatkan dia dilantik menjadi pembantu jurulatih Malaysia.

Pemecatan Nelo Vingada membolehkan Tan Cheng Hoe dinaikkan jawatan ke ketua jurulatih Harimau Malaya.

Selangor dalam kenyataan rasminya menulis:

Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) hari ini mengumumkan Tan Cheng Hoe sebagai Ketua Jurulatih baharu pasukan utama Gergasi Merah bagi memberi ruang kepada beliau membuat persediaan awal serta merancang untuk musim hadapan.

Ketua Jurulatih berusia 54 tahun ini pernah mengendali pasukan Kebangsaan dari tahun 2018 sehingga 2021. Di bawah bimbingannya, pasukan Malaysia telah berjaya menjadi Naib Juara Kejohanan AFF 2018 di samping mempamerkan antara persembahan terbaik skuad negara dalam kempen pusingan kelayakan Piala Dunia 2022.

Selain itu, Tan Cheng Hoe turut pernah mengecapi beberapa kejayaan sepanjang karier kejurulatihan beliau seperti ketika bersama pasukan Kedah dengan menjuarai Piala Malaysia 2016 dan Piala Sumbangsih 2017. Beliau juga merupakan penerima Anugerah Jurulatih Terbaik Bolasepak Malaysia (FAM) 2016.

Berdasarkan pencapaian dan pengalaman beliau, Kelab percaya bahawa Tan Cheng Hoe merupakan calon terbaik untuk membawa pasukan ini ke peringkat lebih tinggi pada musim hadapan.

“Bagi saya, Selangor FC merupakan satu Kelab yang berpotensi besar dengan adanya pihak pengurusan yang bagus serta pemain yang berkualiti. Saya berbesar hati untuk saya menabur bakti kepada pasukan ini. Kalau diberikan peluang, saya yakin ramai jurulatih mahu mengendali pasukan seperti Selangor FC. Ini motivasi terbaik untuk saya melaksanakan tugas sebagai jurulatih baharu pasukan,” ujar Tan Cheng Hoe.

Tambah beliau lagi, “Saya amat berterima kasih kerana diberi peluang untuk bersama dengan pasukan lebih awal bagi membantu saya membuat perancangan lebih rapi untuk musim hadapan. Saya yakin boleh membawa pasukan ke satu tahap lebih baik dengan kerjasama daripada semua pihak terutamanya para pemain, pihak pengurusan serta barisan jurulatih. Sama-sama berusaha keras untuk memastikan Selangor FC berada di landasan yang terbaik.”

“Dalam jangka masa yang terdekat ini, saya berharap pemain dapat faham dengan corak permainan yang akan saya terapkan. Di samping itu, saya juga perlu memahami setiap pemain dalam pasukan kerana setiap individu adalah berlainan, mereka mempunyai karakter dan cara bermain tersendiri, penting untuk saya tahu semua itu. Saya rasa kualiti yang mereka ada mampu membantu saya mewujudkan semangat juang tinggi dalam pasukan.”

Selain pelantikan Ketua Jurulatih Pasukan Utama, Selangor FC juga ingin mengumumkan pelantikan Penasihat Teknikal Pasukan Utama yang bakal digalas oleh bekas pemain dan juga seorang lagenda Gergasi Merah, K. Sanbagamaran. Selain menjadi ketua pasukan Selangor, K. Sanbagamaran juga mempunyai lebih 300 penampilan serta telah memenangi sembilan kejuaraan bersama pasukan ini. Untuk makluman, pihak Kelab juga akan membuat beberapa pengumuman rasmi berkenaan pelantikan Pengarah Sukan dan Pengarah Teknikal dalam masa terdekat.

Selangor FC ingin mengucapkan terima kasih kepada Nidzam Jamil yang telah mengemudi pasukan sebagai Ketua Jurulatih Interim sepanjang tempoh kekosongan ini, dan beliau kini akan kembali memegang jawatan sebagai Penolong Jurulatih kepada Tan Cheng Hoe.

Selamat maju jaya kami ucapkan kepada Tan Cheng Hoe di atas pelantikan ini. Semoga dapat membawa pasukan Merah Kuning ke peringkat yang lebih tinggi untuk masa hadapan.

Demi Kebanggaan!

Saksikan video pengenalan Tan Cheng Hoe yang ringkas di sini:

 

Baca yang lain