Ajax Yakin Timber Tolak Tawaran Manchester United Kerana UCL Dan Minit Perlawanan

Ajax Amsterdam dikatakan yakin akan dapat memujuk pemain pertahanan mereka Jurrien Timber untuk terus kekal bersama dengan juara Belanda itu.

Selain daripada Frenkie De Jong, Erik Ten Hag mahu membawa Jurrien Timber dari Ajax.

Beberapa minggu lalu, Mirror UK melaporkan bahawa Jurrien Timber adalah senarai keutamaan Ten Hag bersama sama dengan Darwin Nunez untuk dibawa masuk ke Old Trafford.

Manchester United turut menjadikan Davi Carmo sebagai sasara  kedua jika rundingan mendapatkan Timber gagal.

Namun pemain itu memang sudah menyatakan bahawa dia tidak terdesak untuk berpindah ke Manchester United pada jendela perpindahan kali ini.

Dia menyerahkan situasi tersebut kepada kelabnya.

Ajax sudah meletakkan tanda harga sekitar EUR50 juta untuk pemain itu. Harga yang dianggap agak tinggi. Itu bukti bahawa Ajax tak terdesak untuk menjual Timber dan merasakan tawaran EUR50 juta barulah cukup untuk mereka mencari pengganti sebagus Timber.

Timber masih lagi bersemangat untuk Ajax terutama sekali dia mahu beraksi di UCL. Menurut Timber, Ajax pun kelab besar dan bermain di UCL.

Timber berkata: “Kata hati saya akan mempengaruhi keputusan saya. Gambaran harus sempurna. Kamu boleh berpindah ke kelab besar, namun adakah kamu mahu bermain?”

Timber tidak pasti sama ada di United dia akan terus mendapat tempat secara automatik seperti di Ajax. Walaupun jelas sekali Ten Hag mahu menjadikannya pengganti kepada Eric Bailly yang dilaporkan dalam senarai jual.

Timber menambah: “Jika kamu tak dapat bermain di sana, lebih baik kekal di Ajax. Ajax pun kelab yang besar juga. Kami bermain di UCL.”

Manchester United gagal melayakkan diri ke UCL pada musim hadapan. Selepas musim yang tak menentu pada musim ini.

Selain itu Timber merasakan perkembangan dia di Ajax akan dapat membantunya menjadi salah seorang pemain yang akan bermain di Piala Dunia 2022 pada hujung tahun ini.

Lantas Ajax bertindak pantas dan menawarkan kontrak baharu kepada pemain tersebut. Sudah tentunya Timber diberikan jaminan di dalam projek Ajax selepas apa yang dia lakukan sepanjang musim musim sebelumnya.

Baru baru ini Fabrizio Romano mendedahkan bahawa Timber semakin hampir menandatangani kontrak baharu dengan Ajax selepas kelab mengadakan rundingan terus dengan ejen pemain itu.

Timber dikatakan mahu terus kekal walaupun ada minat daripada kelab gergasi Inggeris, Manchester United. Namun segalanya masih belum dimeterai di antara Timber dan Ajax.

Selain daripada Timber, Manchester United juga berminat mendapatkan khidmat Pau Torres dari Villarreal.

Man United memang memerlukan bek tengah yang konsisten untuk dipasangkan dengan Harry Maguire. Ini kerana Raphael Varane seringkali cedera. Keadaan itu sangat merisaukan Erik Ten Hag.

Ten Hag sudah menyatakan bahawa Harry Maguire berada dalam senarai pemain penting dalam perancangannya bagi projek baharu di Manchester United.

Ten Hag melihat kualiti Maguire dan sumbangan besarnya selama ini sebagai faktor penting.

Eric Bailly sudah pastinya tidak berada dalam perancangan Ten Hag, kerana pemain itu juga injury prone. Selain itu nama lain yang dikatakan dalam senarai jual Man United ialah Aaron Wan Bissaka.

Man United masih lagi mencari pemain tengah dan penyerang untuk dibawa masuk. Ini kerana mereka kehilangan Nemanja Matic dan juga Paul Pogba serta Juan Mata di bahagian tengah.

Di serangan, mereka kehilangan Edinson Cavani dan Jesse Lingard serta situasi masih tak menentu melibatkan Mason Greenwood.

 

 

Baca yang lain