Alamak! PSG Umum Ramos Kemudian ‘Delete’ Balik Artikel Sebab Kesilapan Teknikal

Kelab duit tak reti habis dari Perancis, PSG nampaknya secara tidak sengaja telah mengumumkan perekrutan secara percuma pemain pertahanan yang juga legenda Real Madrid iaitu sergio Ramos.

Kenyataan rasmi itu malah dimuat naik di laman rasmi kelab dengan mengumumkan Ramos sudah lulus ujian medikal dan kemudian kedua dua pihak mencapai kesepakatan.

Ramos merupakan pemain ejen bebas yang menjadi rebutan banyak kelab termasuk dikaitkan dengan Chelsea dan Manchester United.

Tetapi nampaknya pemain itu lebih memilih PSG selepas meninggalkan legasi yang gemilang di Bernabeu.

Ramos juga turut diumumkan akan menggunakan jersi nombor 4 di PSG. Selain itu, artikel tersebut turut menulis komen Ramos tentang perpindahan tersebut dan menjelaskan kenapa dia memilih nombor 4.

“Bermain dengan memakai no.4 ni, saya sangat menghargainya, bermula dari kepercayaan karut. Itulah sebabnya kenapa saya memakai jersi no.4 dari awal karier saya.”

“Nombor ini kemudian menemani saya sepanjang karier saya, terus bersama saya, membawa tuah dan kemenangan ketika berdamping bersama.”

“Sekarang nombor empat adalah sebahagian daripada diri saya sebagai seorang insan dan sebagai profesional. Bagi saya, adalah suatu penghormatan kerana dapat memakai nombor ini dalam pasukan hebat, Paris Saint-Germain. Oleh itu, sangat penting untuk memakai nombor ini.”

“Terasa sangat istimewa dapat memakai nombor saya ni di PSG.”

PSG menyatakan ada kesilapan teknikal pada laman rasmi mereka yang membuatkan artikel itu secara tak sengaja dimuat naik di dalam laman rasmi kelab.

Ramos merupakan legenda Real Madrid dan Sepanyol. Beliau terpaksa meninggalkan Real Madrid selepas gagal mencapai kesepakatan kontrak baharu.

Ramos dalam kenyataan media rasminya diiringi linangan air maa, mengakui terkejut kerana dia tak pernah tahu bahawa rundingan kontrak dengan Real Madrid ada tarikh luput.

Sergio Ramos mendakwa meninggalkan Real Madrid kerana kelab itu menarik tawaran kontrak baru mereka, dan beliau tak pernah sesekali mahu meninggalkan kelab itu dengan rela.

Tangisan Ramos tinggalkan Real Madrid

Ramos mengatakan dalam sidang media bahawa dia telah cuba sedaya upaya untuk memintak kelab melanjutkan kontrak dua tahun demi karier dan keluarganya.

Kelab memberitahu Ramos bahawa mereka kekal dengan polisi memberikan kontrak setahun sahaja untuk pemain di atas 30 tahun.

Ramos yang masih mempertimbangkan tawaran setahun itu kemudian menegaskan dia terkejut ketika diberitahu bahawa rundingan kontrak antara mereka sudah berakhir dan menemui tarikh luput ‘seminggu yang lalu’.

Ketika itu Ramos sudah setuju untuk menerima sahaja tawaran setahun itu dengan gaji lebih rendah.

Pemain berusia 35 tahun itu, yang akan menjadi ejen bebas pada 1 Julai, menegaskan dia pastinya akan menolak bergabung dengan kelab seperti Atletico atau Barcelona kerana cintanya kepada Real Madrid. Ramos malah menyatakan dia tak terfikir untuk kembali ke Sevilla – yang bermain dalam satu liga dengan Real Madrid.

Ramos bergabung dengan Real Madrid dari Sevilla dengan harga 27 juta euro pada tahun 2005 dan kemudian menjadi salah seorang pemain terbaik kelab itu di dalam sejarah. Ramos bermain 671 perlawanan dan memenangi 22 trofi, termasuk lima di La Liga dan empat Liga Juara-Juara Eropah.

Meskipun telah menyatakan kekecewaannya atas rundingan yang gagal dengan Real Madrid, Ramos enggan mengkritik presiden Florentino Perez secara langsung, menggambarkan hubungan mereka seperti “ayah dan anak”.

Perez dan Ramos menyampaikan ucapan selamat tinggal pendek dan berpelukan mesra semasa upacara selamat tinggal di Valdebebas, dengan keluarga Ramos di antara mereka yang hadir dalam jumlah kecil kerana SOP.

Ramos mengatakan bahawa mengucapkan selamat tinggal kepada Real Madrid adalah salah satu “saat paling sukar” dalam hidupnya.

Selepas itu, dia menjawab sendiri pertanyaan dari media di ruang sidang media. “Saya tidak pernah mahu meninggalkan Real Madrid,” katanya.

“Saya kembali ke musim semasa lockdown ketika kami memenangi gelaran liga. Kelab itu menawarkan untuk melanjutkan kontrak saya tetapi kerana pandemik ini, ia ditangguhkan.”

“Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, kelab membuat saya tawaran kontrak lanjutan satu tahun, dengan gaji yang lebih rendah, dan saya ingin menekankan bahawa wang tidak pernah menjadi isu dalam rundingan ini. Saya mahukan dua tahun untuk kesinambungan, untuk saya dan keluarga. Tidak pernah ada masalah berkaitan isu wang.”

“Ketika akhirnya saya memutuskan untuk menerima tawaran satu tahun itu dan gaji yang lebih rendah, saya diberitahu bahawa tawaran itu mempunyai tarikh luput yang saya tidak sedar.”

Ramos menegaskan dia tidak tahu mengapa tawaran itu tamat dan mengatakan dia “benar-benar terkejut”.

Baca yang lain