Andrew Robertson: Dari Telefonis Di Hampden Park Kepada Juara di Anfield

Semua manusia mempunyai impian. Impian kebiasaannya akan bermula dari angan-angan. Angan-angan pula percuma. Gunakan angan-angan itu sebagai kekuatan untuk menjadi insan yang berjaya.

Itulah proses yang dilalui oleh seorang manusia bernama Andrew Robertson atau nama manjanya, Robbo. Bermula dari angan-angan, kini beliau mencapai impian. Impiannya menjadi pemain bola sepak professional.

Lihat ciapan di atas. Nampak tak betapa jauhnya perjalanannya untuk mencapai impian?

Jadi marilah bersama penulis kita soroti perjalanan beliau dari menjadi seorang budak telefonis di Hampden Park kepada seorang juara di Anfield.

Dihumban Celtic

Setelah dilepaskan oleh pasukan kesayangannya, Glasgow Celtic ketika berumur 15 tahun atas alasan cliche (badan terlalu kecil), Robbo menyertai pasukan amatur Queen’s Park.

Robbo ketika di Queen’s Park

Impian untuk menjadi pemain bola sepak professional tidak pernah padam. Namun, nak hidup perlukan duit. Nak duit perlukan pekerjaan.

Queen’s Park bukan lah pasukan besar yang mampu memberikan gaji yang lumayan kepada pemainnya. Namun, kebajikan pemain tetap harus dijaga.

Telefonis di Hampden Park

Queen’s Park memberikan Robbo pekerjaan separuh masa dengan menjadi telefonis di Hampden Park, stadium utama pasukan kebangsaan Scotland. Kerjanya menjawab telefon serta mengambil tempahan tiket untuk perlawanan bola sepak dan konsert.

Masa ni la keluarnya ciapan beliau yang menyebut “kehidupan pada usia ini adalah teruk tanpa wang #needajob”.

Diberi Kata Dua

Keluarga Robbo memberikan tempoh setahun kepadanya untuk menjadi pemain professional. Jika tidak, beliau terpaksa melupakan impiannya itu dan memasuki unversiti atau kolej untuk mencerahkan peluangnya mendapat pekerjaan tetap. Sebagai guru pendidikan jasmani misalnya.

Melakukan debut bersama Queen’s Park menentang Berwick Rangers pada Julai 2012 di hadapan 372 penonton ketika berumur 18 tahun.

Pengembaraan Bermula

Aksi cemerlang yang ditunjukkannya sepanjang bersama Queen’s Park menarik perhatian kelab divisyen utama Scotland, Dundee United.

Diangkat sebagai Pemain Muda Terbaik Liga Scotland

Pada musim panas 2013, beliau menandatangani kontrak bersama Dundee. Mengakhiri musim pertama sebagai Pemain Muda Terbaik Liga Scotland. Lebih manis, beliau berjaya membuat penampilan pertama bersama skuad kebangsaan Scotland.

Naik Turun Bersama Hull City

Semusim di Dundee, kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Hull City datang merisik. Bermodalkan hantaran sebanyak £3 juta, Robbo sah menjadi milik The Tigers.

Robbo bersama pertahanan termahal dunia, Harry Maguire

Tidak mengambil masa yang lama untuk mendapat tempat di KC Stadium, Robbo bermain dalam majoriti perlawanan Hull dalam musim pertamanya.

Namun aksi cemerlang beliau gagal membantu Hull untuk kekal di EPL. Hull tersingkir ke Championship.

Robbo rileks. Kekal tenang bersama Hull. Tidak membenarkan Hull berjalan seorang diri di liga bawahan.

Tidak lama Hull terperangkap di Championship. Hanya semusim diperlukan untuk layak semula ke saingan EPL menerusi penentuan play-off di Wembley.

Hull hanya kekal semusim sebelum kembali pulang ke tempat asal, Championship.

Di Puncak Dunia

Kepincangan di bahagian pertahanan memaksa Liverpool mencari pemain baharu. Di bahagian kiri mempunyai dua pilihan, Alberto Moreno dan James Milner. Moreno langsung tak reti bertahan manakala Milner lebih diperlukan di posisi tengah.

Robbo akhirnya dibida Liverpool. Beliau yang dibida dengan tanda harga £8 juta diharap dapat menyelesaikan masalah tersebut.

Taktikal gegenpressing yang diamalkan oleh Jurgen Klopp memerlukan kepantasan dan stamina yang tinggi dari seorang pemain. Ia bertujuan untuk mendapatkan kembali penguasaan bola secepat mungkin. Semua ciri-ciri yang Klopp perlukan sudah ada dalam Robbo.

Mula mendapat tempat di kesebelasan utama setelah Moreno mengalami kecederaan. Selepas itu, Robbo tidak menoleh ke belakang lagi.

Robbo bersama TAA selepas memenangi UCL pada musim 2018/2019

Sepanjang 3 tahun di Liverpool, beliau telah memenangi pelbagai gelaran. Liga Juara-Juara Eropah (UCL), Piala Dunia Kelab dan terbaru, EPL.

Jangan dilupakan pula pengalaman tewas di perlawanan akhir UCL menentang Real Madrid. Robbo dan Liverpool juga pernah tewas di tangan Manchester City dalam perebutan EPL musim lepas. Padahal dah kutip 97 mata tu. Itu semua pengalaman yang mendewasakan kapten Scotland ini.

Kisah Robbo ini menjelaskan kepada kita bahawa tidak salah berangan. Jika ditambah dengan usaha keras dan yakin pada diri sendiri, anda mampu mencapai impian sekaligus mengubah masa depan.

YNWA!

Baca yang lain

Bayern Munich Mahu Unai Emery

Pengurus Aston Villa, Unai Emery kini berada dalam radar Bayern Munich. Bekas pengendali PSG dan pemenang beberapa trofi UEL itu menunjukkan hasil