Anggota Wyatt Family, Luke Harper Meninggal Dunia Di Usia 41 Tahun

Dunia gusti profesional dikejutkan dengan berita pemergian bekas penggusti WWE, Luke Harper yang meninggal dunia kerana masalah paru-paru di usia 41 tahun.

Jonathan Huber atau dikenali sebagai Mr. Brodie Lee oleh peminat AEW telah mencipta nama dalam dunia gusti profesional ini sejak lebih satu dekad lalu.

Pemergian beliau sememangnya berita duka untuk dunia gusti profesional dan ianya merupakan hal yang sangat mengejutkan.

Huber meninggalkan seorang isteri bernama Synndy Swan yang juga merupakan seorang penggusti dan dua orang anak.

Luke Harper mengahwini Synndy atau nama sebenarnya Amanda pada tahun 2008 yang lalu dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua orang anak yang kini berusia lapan dan tiga tahun.

Synndy telah mengumumkan berita tentang kematian mendiang suaminya itu menerusi satu muat naik di laman Instagram miliknya.

“Saya tidak sanggup menulis semua perkataan ini. Hati saya sedang terluka.”

“Orang melihat dia sebagai seorang yang hebat @brodielee (fka Luke Harper) tapi bagi saya, dia adalah kawan baik, suami, dan seorang ayah yang terbaik untuk anak-anak kami.”

“Tiada kata yang boleh diungkapkan untuk saya luar rasa cinta saya terhadapnya atau untuk jelaskan bagaimana hancurnya hati saya ketika ini.”

“Dia meninggalkan ramai orang-orang yang sangat menyayanginya, dia bertarung dengan jangkitan yang melibatkan bahagian paru-parunya.”

Luke Harper sememangnya seorang penggusti yang paling berjaya dalam membawa watak jahat dan menyeramkan.

Bekas anggota kumpulan The Wyatt Family itu telah mengikat perjanjian bersama WWE sejak dari tahun 2012, dan beliau ketika itu dihantar untuk beraksi di Florida Championship Wrestling.

Selepas cemerlang di pusat perkembangan bakat itu, WWE telah membawa Harper untuk menyertai jenama NXT dan menggabungkan beliau dengan Bray Wyatt dan Erick Rowan.

Pakatan mereka dikenali sebagai The Wyatt Family dan kumpulan mereka antara yang paling digeruni lawan dengan gimik yang mereka bawa.

Ketika awal kemunculan mereka ke acara main roaster, The Wyatt Family menjadi antara pakatan paling berjaya dan terkenal.

Luke pernah memenangi sabuk kejuaraan regu dunia WWE di bawah jenama NXT dan RAW ketika bersama The Wyatt Family.

Beliau kemudiannya mewujudkan pakatan baru bersama Erick Rowan yang diberi nama The Bludgeon Brothers dan membuat kemunculan mereka di acara SmackDown Live.

Gandingan mereka dianggap terlalu kuat dan sukar untuk ditandingi di SmackDown, memandangkan division regu pada ketika itu lebih tertumpu di acara RAW dan NXT.

Tidak dinafikan karier Erick dan Luke agak tenggelam selepas mereka berpisah dengan Bray Wyatt, dan gimik Bludgeon Brothers telah menyelamatkan karier mereka.

Beliau juga pernah bergerak secara solo sepanjang kariernya bersama WWE, dan antara kejayaan terhebatnya adalah, Luke Harper pernah menyandang sabuk kejuaraan Antara Benua WWE.

Pada bulan Mac 2019, Luke Harper telah dilepaskan oleh WWE dan beliau kemudiannya pergi mencuba nasib bersama AEW.

Luke Harper menggunakan nama Mr. Brodie Lee “The Exalted One” ketika bersama AEW dan beliau tidak menunggu lama untuk bersinar di sana.

Brodie berjaya menjuarai AEW TNT Championship pada bulan Ogos tahun yang sama dan beliau juga menjadi ketua untuk pakatan “The Dark Oder Faction”.

Tidak sempat untuk peminat terus menyaksikan beliau mencipta nama di AEW, Brodie Lee telah menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Ramai penggusti yang memberi penghormatan terakhir kepada mendiang melalui laman twitter masing-masing.

Bukan hanya penggusti dari AEW, malahan penggusti dari WWE dan beberapa jenama lain turut memberi penghormatan terakhir kepadanya.

‘The Fiend’ antara yang paling terkesan dengan pemergian mendiang dan telah memuat naik status yang penuh beremosi di laman twitter miliknya.

Baca yang lain