Antara 5 Pemain Yang Hebat Menjadi Pengurus Yang Power

Mengambil bekas pemain sebagai pengurus seakan menjadi trend bola sepak pada masa kini.

Frank Lampard, Steven Gerrard dan Mikel Arteta, sekadar menyebut beberapa nama antara contoh individu yang sebelum ini merupakan bekas pemain yang kini menggalas tugas dari bangku simpanan.

Mari bersama penulis melihat antara contoh individu yang telah berjaya sebagai pemain dan juga pengurus.

Mereka yang tersenarai adalah individu yang masih aktif dalam pengurusan.

Diego Simeone

El Cholo mengumpul 106 penampilan bersama skuad kebangsaan Argentina. Pernah berkelana ke Itali dan Sepanyol sebelum menamatkan kariernya sebagai pemain di Argentina.

Impak sebagai pengurus yang paling diingati ialah memecah dominasi Real Madrid dan Barcelona dengan memenangi La Liga bersama Atletico Madrid.

Membawa Los Rojiblancos dalam dua perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) namun tewas kedua-duanya kepada lawan yang sama, Real Madrid.

Pencapaian sebagai Pemain: 1 Piala UEFA, 1 La Liga, 1 Serie A, 2 Copa America
Pencapaian sebagai Pengurus: 2 Piala Europa, 2 Liga Argentina, 1 La Liga, 2 Finalis UCL

Josep Guardiola

Merupakan pemain utama dalam skuad “Dream Team” Barcelona di bawah kendalian Johan Cryuff sebelum mencipta “Dream Team” beliau sendiri di setiap kelab yang dikendalikannya.

Kini dianggap sebagai pengurus terbaik dunia, Pep telah datang dan menakluki setiap liga yang disertai sepanjang karier pengurusannya.

Paling diingati, memenangi “sextuple” atau 6 kejuaraan dalam kalendar setahun pada tahun 2009 bersama Barcelona.

Pencapaian sebagai Pemain: 1 UCL, 1 Cup Winner’s Cup, 6 La Liga, Emas Olimpik
Pencapaian sebagai Pengurus: 2 UCL, 3 La Liga, 3 Bundesliga, 2 EPL

Carlo Ancelloti

Memenangi 5 kejuaraan UCL sebagai pemain dan pengurus sudah cukup menggambarkan betapa unggulnya karier bola sepak beliau.

Merupakan pemain tunjang skuad AC Milan yang mendominasi Itali dan Eropah di bawah kendalian Arrigo Sacchi pada hujung 80an dan awal 90an.

Membawa Real Madrid memenangi UCL pada tahun 2014 serta melengkapkan La Decima atau kejuaraan UCL kesepuluh buat Los Blancos.

Masih ingat detik 92:48?

Pencapaian sebagai Pemain: 2 UCL, 3 Serie A
Pencapaian sebagai Pengurus: 3 UCL, 1 Piala Intertoto, 1 Serie A, 1 EPL, 1 Ligue 1, 1 Bundesliga

Zinedine Zidane

Dianggap antara pemain bola sepak terbaik sepanjang zaman, Zidane telah memenangi semua kejuaraan utama sebagai pemain.

Sebut saja apa yang belum beliau menangi. Piala Dunia? Piala Eropah? UCL? Semua telah dijulang oleh beliau.

Pemain Terbaik Dunia dan Ballon D’or juga antara anugerah individu yang pernah dimenanginya.

Ramai menganggap kejayaan Zizou membawa Real Madrid memenangi UCL pada musim pertamanya dianggap nasib.

Hanya mengharapkan pemain-pemain bintang seperti Cristiano Ronaldo dan Sergio Ramos. Bukan kerana kebijaksanaan taktikal beliau.

Namun jika menang tiga kali berturut-turut dipanggil apa tuan-tuan?

Jawapannya anda sendiri tentukan.

Pencapaian sebagai Pemain: 1 Piala Dunia, 1 Euro, 1 UCL, 2 Serie A, 1 La Liga, 2 Piala Intertoto
Pencapaian sebagai Pengurus: 3 UCL, 1 La Liga

Didier Deschamps

Deschamps menyertai Mario Zagallo dan Franz Beckenbauer sebagai individu yang memenangi Piala Dunia sebagai pemain dan pengurus apabila membimbing Perancis menjulang piala berprestij itu pada tahun 2018.

Merupakan kapten ketika zaman kemuncak pasukan kebangsaan Perancis. “The Water Carrier” memimpin Perancis memenangi Piala Dunia pada tahun 1998 di tempat sendiri dan Piala Eropah pada tahun 2000.

Memenangi UCL sebagai pemain dengan dua kelab berbeza, Juventus dan Marseille. 5 pingat kejuaraan liga di dua negara turut berada dalam koleksi peribadi beliau.

Pencapaian sebagai Pemain: 1 Piala Dunia, 1 Euro, 2 UCL, 3 Serie A, 2 Ligue 1, 1 Piala Intertoto
Pencapaian sebagai Pengurus: 1 Piala Dunia, 1 Ligue 1, 1 Finalis UCL, 1 Finalis Euro

Nota: Jumlah dikira tanpa piala peringkat domestik.

Baca yang lain