Arsenal Anggap £50 Juta Untuk Gabriel Jesus Terlalu Mahal

Mikel Arteta sudah lama mengikuti perkembangan Gabriel Jesus di Manchester City.

Arteta merupakan jurulatih yang sangat rapat dengan penyerang Brazil itu ketika menjadi pembantu Pep Guardiola di Manchester City.

Guardiola malah mengarahkan Arteta untuk membantu Jesus memperbaiki penyudahnya. Dan Arteta telah memberikan bantuan yang sangat baik kepada pemain itu.

Beberapa bulan lalu, Gabriel Jesus mengumumkan bahawa dia tak akan melanjutkan kontraknya bersama Manchester City.

Pemain itu akan memasuki tahun akhir kontraknya pada musim hadapan. Dia akan pergi secara percuma jika Man City tidak menjualnya pada perpindahan kali ini atau selewat lewatnya Januari.

Dengan kehadiran Erling Haaland dan Alvarez yang akan memperkuatkan pasukan Man City musim hadapan, tempat untuk Gabriel Jesus dalam pasukan utama kelihatan semakin sukar.

Alavarez sudah disahkan akan bersama skuad City secara terus, tidak akan dipinjamkan ke mana mana pasukan.

Erling Haaland merupakan penyerang no.9 yang Pep Guardiola sudah tak sabar untuk menjadikannya penggempur utama pasukan mereka.

Oleh itu, Gabriel Jesus sangat sukar untuk menempatkan diri. Musim ini pun dia banyak bermain di posisi luarnya iaitu di bahagian sayap ataupun penyerang kedua.

Pada masa yang sama, Gabriel Jesus mahu menjadikan awal musim 2022/23 sebagai platform penting untuk menjamin tempatnya dalam Piala Dunia bersama dengan skuad Brazil.

Piala Dunia Qatar 2022 telah dianjak ke akhir tahun ini.

Oleh itu, juara England, Manchester City sudah sedia untuk menjual Gabriel Jesus. Dengan Arsenal menjadi kelab yang paling aktif memburu pemain itu.

Perbincangan dengan ejen pemain tersebut juga sudah dibuat.

Gabriel Jesus ssendiri dikatakan sedia untuk mengorbankan bola sepak UCL untuk menyertai Arsenal kerana Arteta.

Namun kesepakatan gagal dicapai setakat ini apabila Man City dikatakan meminta £50 juta untuk pemain tersebut.

Arsenal merasakan bahawa nilai itu terlalu tinggi untuk Gabriel Jesus yang bakal menjadi ejen bebas selepas musim hadapan.

Arsenal kehilangan Pierre Emerick Aubameyang pada pertengahan musim ini. Dan gagal mendapatkan Dusan Vlahovic yang memilih Juventus.

Squad depth Arsenal di barisan serangan semakin menipis apabila Alexandre Lacazette pula memutuskan untuk meninggalkan pasukan itu selepas tamat musim ini.

Jadi, penyerang no.9 adalah keutamaan Arsenal pada ketika ini.

Selain daripada Gabriel Jesus, Arsenal juga berminat mendapatkan Oleksandr Zinchenko. Tetapi mereka juga merasakan bahawa Man City akan meletakkan harga yang tinggi daripada yang mereka harapkan.

Oleh itu Arsenal sudah sedia melupakan 2 pemain tersebut untuk mengejar sasaran yang lain.

Bek sisi Brighton, Marc Cucurella yang menjadi pemain terbaik tahunan kelab itu, antara pemain yang dipertimbangkan Arsenal dalam jendela perpindahan akan datang.

Selepas peristiwa Nicolas Pepe, Arsenal dikatakan sangat berhati hati dalam membeli pemain dengan nilai yang terlalu tinggi serta terbuai dengan emosi, asalkan dapat sign.

Arsenal terlepas slot ke UCL musim ini pada minggu minggu terakhir. Dan mereka akan beraksi di UEL pada musim hadapan.

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta yakin bahawa projek mereka berada di landasan yang tepat.

Arsenal kali terakhir beraksi di UCL adalah pada musim 2016/17. Mereka mahu menamatkan kemarau penyertaan itu serta merta.

Dengan prestasi pemain muda seperti Bukayo Saka, Martin Odegaard dan Emile Smith Rowe yang semakin meningkat, Arsenal dilihat memiliki bakat yang baik.

Mereka cuma perlu menambahkan beberapa pemain bintang untuk menguatkan lagi skuad mereka.

Baca yang lain