Bale Suruh Bellingham Jadi Boneka Kalau Nak Kekal Lama Di Real Madrid

Gareth Bale menasihati Jude Bellingham agar “bermain permainan ikut rentak media dan penyokong” serta menjadi boneka media Sepanyol jika mahu mengelakkan diri daripada dikritik.

Gareth Bale pernah menjadi pembelian rekod dunia ketika menyertai Real Madrid dari Spurs. Dia menempa banyak kejayaan di Real Madrid namun pada masa yang sama banyak terlibat dengan kontroversi di luar padang.

Bale pernah mewujudkan gandingan BBC yang luar biasa bersama Karim Benzema dan Ronaldo. Dia juga sentiasa menjelmakan magisnya dalam perlawanan besar, misalnya jaringan dalam final UCL.

Tetapi Bale mendedahkan kariernya di Real Madrid menjadi rumit kerana media seringkali mengutuknya kerana tidak berpuas hati dengan cara dia.

Ini kerana Bale seringkali tidak mahu melayan media dan peminat yang kadangkala mengganggu masa rehatkan. Bale seorang pemain yang fokus kepada bola sepak sahaja dan lepas habis perlawanan dia mahu terus balik ke rumah.

Pada hujung minggu apabila cuti dia mahu melakukan perkara lain yang dia suka seperti bermain golf. Media di sana tak suka dan mengejinya, kerana mereka mahu Bale lebih banyak masa melayan mereka dengan banyak aktiviti di luar padang.

Bellingham menjadi sensasi baharu di Real Madrid sejak menyertai kelab itu. Dan perkara itu telah menarik perhatian Bale untuk ulas.

Bale berkata: “Nasihat terbaik saya adalah main sahaja game diorang [ikut kehendak media]. Jika kamu tak dapat main game yang mereka mahukan atau turuti apa media mahukan, atau bercakap dengan mereka, pada asasnya jadi boneka mereka saja, maka kamu akan dihentam teruk.”

“Kamu akan melihat ramai ‘Galaticos’, mereka ni sebenarnya [wartawan yang] berlagak seperti Galaticos, jadi buat sahaja apa yang dimahukan media, mainkan sahaja game itu ketika di Real Madrid.”

“Inilah sebabnya kenapa saya mengalami sedikit kejatuhan di Madrid [kerana tekanan daripada media]. Saya tak nak buat itu buat ini. Saya cuma nak main bola sepak dan balik. Mereka sakit hati dengan saya dan membuatkan mereka menyerang saya.”

“Jadi nasihat saya, secara jujur, ikut saja rentak di Real Madrid ketika di luar padang. Kamu kena banyak bercakap selepas perlawanan. Oh ya, tak lupa, pastikan kamu fasih berbahasa Sepanyol dan perkara seperti itu untuk melayan mereka.”

Bekas pemain Birmingham, Jude Bellingham sudah menggariskan cita citanya bersama Real Madrid. Dia berkata: “Dengan wang yang besar digunakan untuk membeli saya, bermakna saya harus membalas balik dengan prestasi cemerlang di atas padang, sama ada dengan gol atau assist atau persembahan yang membantu pasukan memenangi perlawanan.”

“Ini adalah kelab yang saya mahu kekal berada di sini untuk 10 ke 15 tahun lagi dalam hidup saya. Saya sangat sukakannya.”

Baca yang lain