Benzema Label Deschamps Badut Kerana Tuduh Dia Sendiri Tinggalkan Perancis

Sebaik sahaja anda menyangka kisah ‘panas’ antara Didier Deschamps – Karim Benzema telah berakhir, rupanya drama mereka memasuki episod baharu.

Dalam temu bual dengan Le Parisien, pengurus yang memenangi Piala Dunia 2018 itu memberikan versi terbaru fakta mengenai penarikan diri Benzema daripada Piala Dunia di Qatar.

Menurut Deschamps, bukan dia yang menyisihkan Benzema, tetapi pemain itu sendiri yang meninggalkan pasukan Perancis secara mengejut.

“Dalam setiap situasi, akan ada kebenaran di sebaliknya, dan Karim tahu itu. Dia menyertai kami pada 14 November selepas melakukan beberapa aktiviti dengan kelabnya. Dia mengikuti program individu dan jadual latihannya dirombak semula.”

“Saya memang tidak mengharapkan dia akan terlibat cergas sepenuhnya menentang Australia, tidak seperti Raphael Varane.”

“Ketika Karim cedera, doktor pasukan kami bersamanya di klinik Aspetar untuk imbasan MRI.

“Karim menunjukkan hasil imbasan itu dan pegawai perubatan yang mengikuti perkembangannya dari Real Madrid, yang turut memberikan pandangannya.”

“Ketika dia kembali ke hotel, ianya sudah lewat malam. Saya berjumpa dengan Karim dan dengan doktor yang memberikan saya keputusan imbasan itu.”

“Kami bercakap di situ kira kira 20 minit. Sebelum saya beredar saya memberitahunya: ‘Karim tidak perlu terburu buru, ini bukannya keperluan mendesak atau kecemasan. Kamu boleh aturkan kepulangan kamu dengan pengurus pasukan.”

“Ketika saya bangun [pada pagi esok], saya mendapat tahu dia dah pergi. Itu adalah keputusannya, dia mungkin tak akan menceritakannya, saya faham dan menghormatinya.”

Kenyataan Deschamps itu membuatkan Benzema memberikan respon menyindir keyakinan jurulatih itu menyatakan sedemikian dan meletakkan emoji badut.

Dia turut berkongsi video meme yang sama dia gunakan ketika mengkritik kemenangan Messi dalam FIFA Best. Video yang menyebut: ‘Pembohong, pembohong’

Sambil dia mengucapkan: “Selamat malam Didier ‘Suci’ ” dengan satu lagi emoji badut.

Karim Benzema sebenarnya masih ada peluang untuk beraksi dengan Perancis pada aksi final Piala Dunia 2022. Kerana dia kembali cergas. Dan namanya tidak digugurkan dalam senarai pemain.

Namun Deschamps ketika itu menyatakan bahawa mereka tidak perlukan khidmat pemenang Ballon d’Or tersebut.

Selepas kalah di tangan Argentina, Benzema mengumumkan persaraannya daripada peringkat antarabangsa.

Dia dikatakan kecewa dengan sikap Deschamps.

Dalam kenyataannya Benzema berkata: “Saya telah berusaha dan belajar daripada kesilapan sepanjang karier saya untuk sampai ke tahap yang saya ada hari ini. Dan saya bangga dengannya.”

“Saya telah menulis cerita saya sendiri dan kisah kita berakhir di sini.”

Pengumuman itu benar benar mengejutkan ramai pihak. Kerana menurut mereka Benzema masih lagi berada dalam prestasi terbaiknya.

Malah dia merupakan no.9 terbaik yang Perancis ada pada hari ini. Perancis masih ada kempen kelayakan Euro selepas ini dan Benzema juga berpeluang untuk beraksi dalam Euro akan datang.

Benzema sebelum ini menjadi nadi pasukan kebangsaan Perancis dalam Euro 2020 dan Piala Negara Negara Eropah. Dia tampil semula ketika itu selepas 6 tahun dibekukan daripada panggilan kebangsaan.

Piala Dunia 2022 dianggap impian menjadi kenyataan buat Benzema ketika dia tersenarai dalam panggilan. Malangnya dia terpaksa menarik diri kerana masalah kecederaan.

Sebenarnya hubungan tegang Benzema dengan Deschamps pernah berlaku beberapa tahu lalu. Ketika itu Deschamps berterusan meminggirkannya walaupun Benzema sudah mengelak hukuman daripada kes salah laku ugutan dan video tak senonoh melibatkan Valbuena.

Benzema seringkali mengkritik Deschamps sehingga pernah membandingkan penyerang yang dipanggil Deschamps, iaitu Giroud sebagai gokart dan dia adalah Ferrari.

Baca yang lain