Bini Ronaldo Persoal Tindakan Santos Simpan Lakinya: “Kamu Tak Boleh Layan Pemain Terbaik Dunia Macam Tu”

Isteri Cristiano Ronaldo, Georgina Rodríguez telah membidas pengurus Portugal, Fernando Santos selepas kekalahan mengejut mereka di Piala Dunia kepada Maghribi pada hari Sabtu.

Maghribi menjadi negara Afrika pertama dalam sejarah mara ke peringkat separuh akhir Piala Dunia selepas tandukan kuat Youssef En-Nesyri sudah cukup untuk memberikan mereka kemenangan.

Ini berkemungkinan besar perlawanan Piala Dunia terakhir Ronaldo, dan pemain berusia 37 tahun itu menamatkannya dengan linangan air mata ketika dia bergegas menuruni terowong selepas sepenuh masa.

Penyerang legenda itu memulakan permainan di bangku simpanan, ketika Santos menamakan kesebelasan utama yang sama yang beberapa hari sebelum itu telah membelasah Switzerland 6-1 dalam pusingan 16 akhir.

Bekas pemain Manchester United itu dibawa masuk selepas 50 minit aksi, untuk mencuba dan mencari gol penyamaan tetapi selain daripada satu percubaan yang baik pada masa kecederaan, dia tidak memberi kesan kepada permainan, ketika Maghribi bertahan dengan cemerlang berdepan Portugal yang buntu dan membazir peluang.

Keputusan untuk menggugurkan Ronaldo ke bangku simpanan dalam aksi berdepan Switzerland adalah agak kontroversi. Namun memandangkan Goncalo Ramos meledak hatrik dalam perlawanan itu, pastinya difahami kenapa pemain itu bermula di hadapan Ronaldo.

Namun Georgina Rodriguez tidak dapat menerimanya. Menulis di IG miliknya, wanita dari Argentina itu berkata:

“Hari ini sahabat dan juga jurulatih kamu [Fernando Santos] telah membuat keputusan yang salah.”

“Sahabat itulah yang kamu selalu luahkan kata kata penuh kekaguman dan hormat. Orang yang sama yang, apabila meletakkan kamu di padang, melihat bagaimana segala-galanya berubah, tetapi sudah terlambat.”

“Kamu tidak boleh memandang rendah pemain terbaik dunia, senjatanya yang paling berkuasa. Lebih-lebih lagi jika seseorang itu membela mereka yang tidak layak.”

“Hidup memberikan kita pelajaran. Hari ini kita tidak kalah, kita belajar. Kami mengagumi kamu,” tegas Rodriguez.

Rodríguez sebelum ini mengkritik tindakan Santos meletakkan Ronaldo di bangku simpanan dan menggunakan pemain itu sebagai penggantian lewat menentang Switzerland.

Kritikan yang sama juga dibuat oleh kakak Ronaldo, Elma Aveiro yang berkata: ‘”Saya tidak tahu mengapa dan saya tidak faham, tetapi saya pasti kita akan mendapat jawapan daripada Tuhan nanti, dia tidak gagal, mari kita lihat.”

Sebelum ini Fernando Santos pernah ditanya sama ada dia menyesal kerana meletakkan Cristiano Ronaldo di bangku simpanan? Santos menjawab tidak sama sekali.

“Saya tidak menyesal meletakkan Ronaldo di bangku simpanan. Pasukan tersebut bermaian dengan sangat baik ketika berdepan Switzerland.”

“Cristiano seorang pemain yang hebat dan kami akan turunkan dia ketika kami rasa perlu. Jadi, saya tidak rasa menyesal dengan tindakan saya.”

Ronaldo kini perlu menyelesaikan isu kelab baharunya. Ini kerana dia kini adalah pemain tanpa kelab.

Ronaldo dan Man United mencapai kesepakatan untuk penamatan kontrak atas persetujuan bersama.

Ronaldo tidak menuntut sebarang baki gajinya yang tinggal. Sementara Man United pula setuju untuk tidak mengenakan sebarang tindakan meminta bayaran daripada Ronaldo selepas pemain itu terlibat wawancara kontroversi yang membuatkan kontraknya dengan kelab itu ditamatkan.

Ronaldo menerima tawaran dari Al Nassr dari Arab Saudi menawarkan EUR200 juta semusim termasuk pakej tajaan khas.

Namun pemain itu dilaporkan tidak berminat dengan tawaran tersebut setakat ini kerana fokusnya adalah mahu bermain di UCL.

Ronaldo turut dalam proses meminta bayaran tunggakan gajinya di Juventus yang dilaporkan mencecah EUR19 juta. Tunggakan gaji itu adalah gaji yang dia setuju untuk ditunda bayaran ketika berdepan pandemik.

Baca yang lain