Bos Yamaha: ‘Rossi Ke Yamaha SRT Masih Jauh Daripada Muktamad’

Pengarah Urusan Yamaha, Lin Jarvis, tidak menafikan bahawa perpindahan Valentino Rossi ke pasukan Petronas Yamaha SRT masih tertangguh.

Dan beliau membayangkan bahawa segalanya masih jauh daripada muktamad. Sebelum ini beberapa media melaporkan Rossi dalam proses akhir untuk memuktamadkan kontrak dengan SRT dan tinggal nak buat pengumuman rasmi je.

Tetapi ia tidak begitu. Malah rundingan kini dalam fasa sangat rumit.

Masa depan Valentino Rossi kemungkinan besar akan dijawab dalam siri MotoGP San Marino 2020 yang akan berlangsung pada 11-13 September.

Setakat ini, apa yang sudah disahkan iaitu Rossi tidak lagi menjadi pelumba Monster Energy Yamaha musim depan.

Pelumba Itali yang digelar The Doctor tidak mendapat lanjutan kontrak, bermakna musim ini adalah musim terakhirnya dengan pasukan kilang Jepun itu.

Kedudukan Rossi akan diisi oleh Fabio Quartararo, yang kini berlumba untuk pasukan satelit Yamaha, Petronas Yamaha SRT.

Perjanjian lisan juga telah berlaku antara Valentino Rossi dan Petronas Yamaha SRT.

Namun, pengumuman rasmi mengenai perpindahan The Doctor ke pasukan dari Malaysia tersebut masih belum sah secara rasmi.

Memberikan komen tentang hal ini, Lin Jarvis secara terbuka mengatakan bahawa dialah yang menyebabkan proses perpindahan pelumba berusia 41 tahun itu ditangguhkan.

“Perkara yang menanggunhkannya adalah saya. Prosesnya rumit kerana ada tiga pihak yang terlibat,” kata Jarvis, seperti yang dipetik dari halaman GP Paddock.

Penglibatan tiga pihak Lin Jarvis yang dimaksudkan adalah Valentino Rossi, Yamaha dan Petronas.

Itulah yang menjadikan proses perpindahan Rossi dari pasukan Yamaha kilang ke pasukan satelit Petronas SRT memerlukan masa dan prosedur yang sedikit lebih rumit daripada perpindahan penunggang lain.

“Sudah jelas bahawa Valentino akan pergi kepada Yamaha,” kata Jarvis.

“Namun, dia akan dimasukkan dalam tim Petronas yang memiliki penaja, jadi kami memerlukan perjanjian tiga pihak dan akan memerlukan waktu untuk mengaturnya,” jelasnya.

Walaupun tidak mudah, namun beliau berharap perpindahan Valentino Rossi ke Petronas Yamaha SRT dapat diumumkan pada siri MotoGP San Marino 2020.

Beberapa hari lalu, Prinsipal Yamaha SRT Datuk Razlan menyatakan bahawa segalanya masih tidak mustahil ketika ini.

Beliau masih belum dapat mengesahkan kedudukan Rossi di dalam pasukan. Malah tidak menolak kemungkinan akan memasukkan nama Hafizh Syahrin di dalam pasukan.

Ini selepas beliau mengesahkan nama Hafizh Syahrin di antara pelumba yang dalam senarai mereka.

Datuk Razlan Razali menegaskan beliau berada dalam keadaan dilema pada ketika ini.

Razlan juga menyatakan dia seorang yang patriotik dan seboleh bolehnya beliau mahu meletakkan seorang pelumba dari Malaysia di dalam pasukannya musim hadapan.

Namun beliau terpaksa akur bahawa, itu tidak cukup untuk membuat keputusan akhir.

Razlan: Saya dalam dilema

Dipetik dari Stadium Astro, Razlan berkata: “Saya memang tersepit dalam hal ini.”

“Saya seorang yang patriotik, kalau boleh saya nak letakkan pelumba negara kita.”

“Bukan tidak boleh tapi kami perlu berlandaskan keputusan.”

“Bila sudah sampai di tahap MotoGP, seseorang pelumba itu perlu menyerlah, bukan lagi masa untuk pendedahannya selama setahun dua.”

“Dia sepatutnya sudah tahu untuk mengendalikan jentera MotoGP,” katanya.

Selain daripada itu Datuk Razlan Razali turut menyarankan Hafizh Syahrin melantik pengurus yang berkaliber dalam mengendalikan isu kontrak dan kariernya dalam MotoGP.

Sementara itu, pihak Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bersimpati dengan Hafizh Syahrin dan sedia menjadi pelantar kepada pelumba itu mendapatkan bantuan bagi meneruskan perjalanan dalam saingan MotoGP.

“SIC sememangnya di bawah agensi KBS (Kementerian Belia Sukan).

“SIC telah dipilih untuk memantau bakat-bakat pelumba negara dalam MotoGP.

“Apa-apa bantuan yang disalurkan KBS perlu melalui SIC dan kami sentiasa membantu pelumba negara dalam MotoGP,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Azhan Shaffriman Hanif.”

Hafizh Syahrin, yang mula mencipta nama apabila beraksi dalam saingan Moto2 selama tiga tahun dan musim terbaik ialah pada 2016.

Lalu Hafizh berjaya mendapatkan tempat dan status sebagai pelumba MotoGP.

Namun Hafizh Syahrin sukar memberi saingan pada dua musim di motogp dan kembali ke moto2 tahun ini.

Musim ini pencapaian Hafizh Syahrin dalam Moto2 boleh dikatakan memberangsangkan sebelum beliau terpaksa berehat seketika kerana kecederaan selepas terlibat kemalangan.

Rossi mahu terus berlumba

Valentino Rossi sudah bertekad akan meneruskan kariernya dalam MotoGP dan sanggup untuk beraksi di pasukan satelit.

Sebagai tambahan, gaji Rossi di pasukan satelit Yamaha akan ditanggung oleh Yamaha.

Rossi, Quartararo, Qatar MotoGP

Rossi menegaskan beliau sudah tidak memikirkan soal lain seperti isu gaji pada fasa kariernya ketika ini. Kerana menurutnya yang penting terus berpeluang bersaing di pentas tertinggi.

Baca yang lain