Bournemouth Malukan Man United 3-0 Di Old Trafford

Ianya adalah hari di mana Erik Ten Hag, Harry Maguire dan Alejandro Garnacho meraikan kejayaan mereka memenangi 3 anugerah individu; Pengurus Terbaik Bulanan, Pemain Terbaik Bulanan dan Gol Terbaik Bulanan untuk November.

Sebelum perlawanan, Ten Hag menyatakan treble anugerah individu ini bukti kelab sedang menuju ke destinasi yang tepat. Beliau juga menggariskan bagaimana anugerah ini boleh menjadi sumber inspirasi dan motivasi pasukan yang sangat diperlukan ketika ini.

Namun pesta keraian anugerah itu telah dirosakkan oleh Bournemouth.

Prestasi cemerlang Bournemouth berterusan apabila Cherries memperoleh kemenangan pertama mereka di Old Trafford dengan bergaya ke atas Manchester United.

Anak buah Erik ten Hag telah meningkat ke tangga keenam hasil enam kemenangan dalam lapan perlawanan Liga Perdana Inggeris sebelum ini.

Tetapi persembahan yang mengerikan meletakkan kedudukan pengurus Belanda itu kembali di bawah tekanan. Dengan kemungkinan mereka juga akan tersingkir dari Liga Juara-Juara pada peringkat kumpulan pada pertengahan minggu ini jika gagal menewaskan Bayern Munich sebelum kunjungan ke Anfield menentang Liverpool.

Bekas pemain Liverpool, Dominic Solanke meletakkan Bournemouth di depan selepas hanya lima minit apabila dia menyambar hantaran lintang Lewis Cook.

Solanke kemudian melakukan percubaan terkena tiang dan Antoine Semenyo turut hampir menjaringkan gol apabila Bournemouth terus mendapat peluang yang lebih baik dalam perlawanan ini.

Tetapi mereka terpaksa menunggu sehingga 68 minit untuk menggandakan kelebihan apabila Philip Billing bangkit untuk menanduk masuk hantaran lintang Marcus Tavernier. Pertahanan lemah Man United dihukum.

Marcos Senesi kemudian mencatatkan gol ketiga untuk kemenangan bersejarah bagi anak anak buah Andoni Iraola mendahului 10 mata daripada zon penyingkiran hasil kemenangan keempat dalam lima perlawanan.

Man United hampir dimalukan lebih teruk, mujur VAR membatalkan gol keempat Bournemouth.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila Bruno Fernandes dilayangkan kad kuning yang bermakna dia akan terlepas aksi di Anfield selepas ini.

Saksikan highlight perlawanan kat sini je:

Baca yang lain