Caulker Kecam Wigan Tak Bayar Gaji Sebanyak 5 Kali Musim Ini

Wigan Athletic kini benar benar hampir pasti akan disingkirkan daripada Liga Kejuaraan yang merupakan divisyen kedua dalam bola sepak Inggeris.

Ini selepas kelab itu gagal membayar gaji pemain mereka.

Wigan masih tidak membayar gaji pemain mereka untuk bulan Mac.

EFL dalam kenyataan rasminya berkata: “Wigan Athletic, berkuat kuasa serta merta, dipotong 3 mata untuk Liga Kejuaraan 2022/23 kerana gagal membayar gaji pemain pemain mereka pada Mac 2023.”

“Kelab tersebut sebelum ini telah dikenakan tindakan kerana gagal mematuhi terma kontrak standard pada Jun 2022, Julai 2022 dan Oktober 2022.”

“Kesalahan terbaru ini bermakna mereka harus menerima hukuman seperti yang dipersetujui pada Januari 2023, bahawa mereka harus menerima hukuman dari segi kesukanan.”

“Dalam satu lagi pelanggaran yang dibuat, pemilik kelab gagal mendepositkan jumlah imbang akaun sehingga 125% daripada anggaran gaji bulanan dalam akaun kelab.”

“Ini telah menjadi kunci kepada keputusan yang dipersetujui untuk mengelakkan kelab daripada melanggar peraturan kewangan EFL.”

Seterusnya, pemain pertahanan, Steven Caulker telah mengecam kelabnya dengan menyatakan mereka berbohong, bukan sekali dua tetapi sudah 5 kali.

Pemain pemain Wigan memboikot sesi latihan pada Jumaat sebagai protes kepada kegagalan kelab membayar gaji mereka. Dan mereka kecewa kerana pasukan harus menanggung pemotongan 3 mata.

Caulker berkata: “Mereka berbohong kepada kami sebagai pemain mereka dan ini memang satu skandal,” tegas bekas pemain Tottenham, QPR, Liverpool dan England.

“Mungkin ada sebab di sebalik pembayaran lambat kalau sekali dua, namun para pemain telah melaluinya 5 kali musim ini, dan ianya memang tak boleh diterima.”

“Pemain pemain diberitahu setiap hari bahawa duit ‘on the way’ dan kami terus berharap wang itu masuk ke akaun pada sebelah petang.”

“14 hari kemudian, wang itu masih tak masuk lagi. Kemudian kami juga risau dengan bayaran yang akan datang pada 7 April. Kelab sendiri tidak dapat mengesahkan sama ada mereka ada cukup wang nak membayar gaji kami.”

‘Sejak saya tiba di kelab ini pada Januari, saya telah melihat para pemain dan staf kejurulatihan bekerja keras tak kenal lelah untuk mengekalkan kelab ini dalam liga kejuaraan.”

“Sangat sakit melihat apa yang berlaku kini. Tugasan kami menjadi semakin sukar hari demi hari.”

“Ayat popular yang kita pernah dengar ‘terus berdiam diri ketika menyaksikan penindasan akan membuatkan kamu bersalah dan rasa ditindas’.”

“Pendirian saya jelas, saya bersama sama dengan pemain dan staf yang bekerja keras dan jujur di sini, di mana kesihatan mental mereka turut terganggu.”

Kenyataan Caulker itu dikeluarkan selepas kenyataan bersama dibuat oleh pemain pemain Wigan. Di mana mereka senada menyatakan bahawa mereka kecewa dengan kelab yang menipu mereka. Ianya memberikan kesan kepada prestasi mereka di atas padang.

Baca yang lain