Dari Doha Hamidin Umum Harga Tiket Piala AFF Turun Lagi, Hanya RM30 Untuk Tempat Terbuka

Selama FAM mengumumkan penurunan harga tiket selepas mendapat pelbagai reaksi daripada para peminat.

Namun penurunan tiket hanya RM5 untuk tempat duduk terbuka kepada RM45 masih dianggap agak mahal.

FAM dalam kenyataan rasminya mendedahkan bagaimana presiden mereka, Datuk Hamidin menjadi orang yang berjuang dalam penurunan harga tiket.

Pada hari ini, Hamidin menjadi ‘wira’ sekali lagi apabila berjaya menurunkan harga tiket sekali lagi.

Berikut kenyataan daripada FAM:

FAM TURUN HARGA TIKET AFF KE RM30

Selepas menerima pelbagai reaksi daripada penyokong Harimau Malaya, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan ini mengumumkan bahawa harga tiket bagi dua perlawanan peringkat kumpulan Piala Mitsubishi Electric

AFF 2022 menentang Laos dan Singapura akan diturunkan kepada serendah RM30.

Tiket Terbuka yang sebelum ini berharga RM50 dan RM45, kini diturunkan ke RM30; tiket Premium yang sebelum ini berharga RM70 dan RM60, kini diturunkan ke RM50; tiket Grandstand yang sebelum ini berharga RM100 dan RM70, kini diturunkan ke RM60; manakala tiket kanak-kanak (6-12 tahun) yang sebelum ini berharga RM10, kini diturunkan ke RM5.

Untuk makluman semua, peningkatan harga tiket bagi edisi 2022 ini berbanding edisi 2018 terpaksa dibuat oleh FAM disebabkan peningkatan kos-kos berkaitan dalam tempoh empat tahun ini termasuk kos pengurusan dan penganjuran perlawanan.

Selepas mengambil kira keluhan penyokong, FAM semalam telah mengumumkan untuk penurunan harga tiket asal berkenaan kepada RM45 bagi tempat duduk terbuka, RM60 tempat duduk Premier dan RM70 tempat duduk Grandstand, namun rata-rata penyokong masih mengharapkan penurunan harga yang lebih.

Saya yang kini berada di Doha, Qatar terpanggil untuk meneliti semula perkara ini dan telah mengarahkan sekali lagi kepada Jawatankuasa Tiket dan Stadium FAM yang dipengerusikan oleh Naib Presiden FAM, Dato’ Posa Haji Majais supaya mendapatkan juga solusi terbaik dalam memastikan situasi menang-menang dapat dicapai di antara FAM dan penyokong.

Selepas pelbagai pandangan, penelitian dan perincian dibuat, maka Jawatankuasa Tiket dan Stadium FAM telah bersetuju dengan cadangan saya supaya harga tiket berkenaan dikurangkan lagi bagi memastikan ia dapat diterima oleh semua penyokong.

Sebagai Presiden FAM, saya perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya yang mana kita mahu peningkatan prestasi yang ditunjukkan oleh skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon ketika ini dapat berjalan seiring dengan sokongan padu kehadiran penyokong di stadium pada setiap perlawanan.

Saya juga berprihatin dengan keadaan ekonomi semasa yang masih tidak stabil dan mengambil kira juga majoriti penyokong bola sepak adalah daripada golongan B40 yang mana pengurangan harga tiket kepada serendah RM30 ini diharap mampu menggalakkan lagi kehadiran penyokong ke stadium di sepanjang kempen Piala Mitsubishi Electric AFF 2022.

Bagaimanapun, FAM tidak dapat memberikan harga promosi kombo seperti yang pernah dibuat ketika Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun lalu kerana perlawanan peringkat kumpulan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 hanya membabitkan dua perlawanan yang mana jaraknya agak jauh iaitu beza 10 hari bagi kedua-dua perlawanan, berbanding tiga perlawanan dalam tempoh selang tujuh hari pada Kelayakan Piala Asia 2023.

Bagi penyokong yang telah pun membeli tiket berkenaan pada harga asal ataupun harga yang telah diturunkan semalam, proses pemulangan (refund) untuk amaun yang berlebihan itu akan diuruskan oleh pihak Ticket Hotline.

Akhir kata, saya menjemput dan mengalu-alukan kehadiran lebih ramai penyokong Harimau Malaya untuk sama-sama membanjiri Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 24 Disember ini bagi perlawanan menentang Laos dan pada 3 Januari depan bagi perlawanan menentang Singapura.

Semoga kehadiran lebih ramai penyokong ini akan dapat meningkatkan lagi prestasi, semangat dan persembahan barisan pemain Harimau Malaya. Semua ini adalah demi lencana di dada!

 

Jadi diharap dengan harga tiket yang baharu itu, maka SNBJ akan meriah dengan kehadiran ramai penyokong Harimau Malaya.

Baca yang lain