Detik Liu Xiang Bawa Harapan Rakyat Negaranya Ke Garisan Penamat Walaupun Kesakitan

Liu Xiang adalah nama yang terpahat dalam sejarah sukan dunia. Beliau menjadi atlet pertama dari China yang menang acara balapan di Olimpik.

Dalam sukan anda boleh memecahkan mana-mana rekod, tetapi anda tidak boleh memecahkan rekod ‘yang pertama’!

Liu Xiang atlet yang lahir pada 13 Julai 1983 di Putuo, China. Beliau menunjukkan keupayaan luar biasa dalam acara 100 meter lari berhalangan sejak remaja.

Berada Di Puncak!

Pada 2001, Liu Xiang memenangi emas dalam temasya sukan Asia Timur di Jepun. Tidak lama selepas itu, beliau memenangi acara yang sama dalam kejohanan di antara universiti.

Keupayaan Liu Xiang terus meningkat naik apabila berjaya mara ke separuh akhir kejohanan dunia di Canada.

Selepas itu beliau menang pingat gangsa dalam acara 110 meter berhalangan di Kejohanan Dunia Tertutup IAAF 2003 dan juga Kejohanan Dunia.

Pada 2004, Liu Xiang menyertai Olimpik Athens sebagai salah seorang peserta pilihan. Dan Liu Xiang membuatkan negaranya bangga.

Ini apabila Liu Xiang berjaya memenangi emas dalam acara 110 meter lari berhalangan di Sukan Olimpik Athens 2004 dan memecahkan rekod Olimpik.

China memiliki banyak pingat dalam sukan Olimpik di pelbagai lapangan namun dalam acara balapan, ini adalah yang pertama.

Kejayaan beliau di Athens telah menjadikan Liu Xiang ikon di negara beliau. Liu Xiang mulai menjadi harapan rakyat China dalam beberapa temasya.

Namun, Liu Xiang berjaya mengendalikan tekanan di bahunya dengan baik. Pada tahun 2006, Liu Xiang mencipta rekod dunia baru di Lausanne Switzerland dengan catatan 12.88 saat.

Pada 2007, beliau meneruskan dominasi beliau dan menjadi juara dunia pertama dalam kejohanan dunia yang berlangsung di Jepun.

Malangnya pada 2008, Liu Xiang tidak dapat menyertai kejohanan Grand Prix Reebok di New York kerana kecederaan hamstring.

Liu kembali ke China dan meneruskan latihan di sana untuk mempersiapkan diri menghadapi temasya olimpik di negaranya pada 2008. Itu adalah sasaran utama beliau! Emas olimpik di bumi sendiri.

Harapan China

Pada Sukan Olimpik Beijing 2008, Liu Xiang menjadi bualan media di seluruh dunia terutama sekali di China. Wajahnya ada di mana-mana dengan banyak poster serta cendera mata Liu Xiang.

Liu Xiang masih belum cergas sepenuhnya daripada masalah hamstring. Dia menceritakan detik dia menahan sedikit kesakitan pada peringkat saringan.

Namun dia menahannya. Wajah peminat-peminat dari China di seluruh penjuru stadium membuatkan dia menggagahkan dirinya untuk meneruskan larian.

Doktor memang menasihatkan Liu Xiang untuk menarik diri daripada Sukan Olimpik Beijing, namun harapan negara beliau untuk beliau terlalu tinggi.

Ini kerana beliau hadir dengan reputasi juara bertahan olimpik, juara dunia dan pemegang rekod dunia.

Liu merancang untuk mengawal lariannya supaya tidak menggunakan tenaga maksima. Takut ia akan membuatkan kecederaan teruk.

Namun ia tidak berjaya! Liu Xiang yang sudah memulakan larian terpaksa berpatah balik kerana ada peserta yang melakukan ‘false start’.

Pada ketika itu Liu Xiang sudah merasakan kesakitan itu semakin teruk.

Liu Xiang akhirnya menarik diri!

Beliau gagal memulakan perlumbaan di hadapan puluhan ribu rakyat China di tempat kelahirannya! Liu Xiang keluar daripada trek dan ramai yang tergamam melihat prospek emas mereka sedang dalam kesakitan.

Perkara yang tidak mahu diingati beliau apabila mengenangkan yang dirinya tidak pernah memulakan perlumbaan di bumi sendiri selepas mejuari Olimpik 2004 dan kejohanan dunia.

Kecederan lama beliau di achilles tendon membuatkan Liu Xiang menarik diri. Jurulatih beliau menitiskan air mata ketika itu.

Selepas beberapa bulan, Liu Xiang kembali cergas. Dan beliau mensasarkan Sukan Olimpik London untuk menebus kekecewaan di China.

Pada 2011, beliau kembali kepada prestasi terbaik beliau. Memenangi emas dalam Terbuka Shanghai. Dan Liu Xiang mara ke Sukan Olimpik London 2012. Beliau mahu menang emas!

Tamatkan Perlumbaan Di London!

Nama Liu Xiang sekali lagi menjadi perhatian. Rakyat China di belakang beliau sekali lagi. Liu Xiang bersedia untuk memulakan sekali lagi saringan pertama.

Selepas melakukan permulaan yang bertenaga, kecederaan tendon menyerang beliau sekali lagi dan Liu Xiang tersungkur hanya pada halangan pertama. Liu Xiang memegang bahagian tendonnya yang benar-benar sakit.

Jurulatih kecergasan beliau, Feng Shuyong memberitahu yang keadaan tendon beliau kali ini paling teruk dan Liu Xiang tidak mampu menggerakkan kakinya ketika itu.

Liu Xiang yang sudah keluar daripada trek telah kembali semula untuk menamatkan perlumbaan olimpik terakhir beliau. Liu Xiang hanya mampu melompat terhincut-hincut dengan kaki kiri beliau.

Seluruh stadium memberikan semangat dan sokongan kepada beliau. Detik yang sangat mengharukan dan menyentuh hati semua.

Liu masuk ke dalam lorong beliau untuk mencium penghadang terakhir dan kemudian menuju ke garisan penamat. Beliau sebelum tidak mahu tewas di tangan kecederaan beliau sekali lagi seperti di Beijing.

Biarlah perjuangan kali ini adalah pertarungan peribadi antara Lu Xiang dengan kecederaan. Dan hari itu beliau menang dalam pertarungan di antara mereka ‘berdua’.

Lu Xiang juga mahu menamatkan perlumbaan itu walaupun tidak dikira. Kerana bagi seorang olimpian, ianya bukan tentang bagaimana kamu memulakan perlumbaan, tetapi bagaimana kamu mengakhiri apa yang telah kamu mulakan. Setelah bertahun lamanya mempersiapkan diri.

Ya! Ini adalah pertarungan beliau dengan kecederaan! Beliau disambut rakan peserta lain dan dibawa keluar menggunakan kerusi roda. Jurulatih beliau sekali lagi menitiskan air mata dan berkata:

“Melihat dia berpatah balik ke dalam trek dan melompat-lompat kesakitan adalah semangat olimpik sejati. Liu Xiang membuktikan yang dia sentiasa ingin menamatkan perlumbaan.”

“Dia datang ke sini untuk menamatkan perlumbaan bukannya untuk memulakannya semata-mata.”

Liu Xiang memenangi hati ramai pihak terutama sekali rakyat China yang melihat semangat beliau membawa harapan negara yang tak terlaksana ketika di Beijing.

Beliau tetap berlari membawa harapan dan sokongan rakyat China selama ini kepadanya. Walaupun kakinya sakit, momen beliau menamatkan larian itu dengan masuk semula ke trek amat menyentuh hati.

Beliau kemudian mencium palang tanda itu adalah ucapan perpisahannya ke atas perkara yang dia cintai dan menjadi teman hidupnya selama ini.

Ketika pulang ke China, beliau diarak sebagai wira oleh semua termasuk ketua politik dariada doktrin yang berbeza.

Syarikat seperti Nike dan Coca Cola memberikan Liu Xiang kontrak mewah kerana kisah sensasi beliau menamatkan perlumbaan di London. Semangat yang menjadi inspirasi semua.

Bersara

Pada 7 April 2015, beliau mengumumkan persaraan beliau di Weibo. Satu upacara khas diadakan oleh Kesatuan Olimpik China. Liu Xiang menitiskan air mata beliau.

“Saya bersara! Saya mahu memulakan pengembaraan yang baru. Walaupun hati saya masih berkobar-kobar mahu berlumba tetapi kaki saya berkata ‘jangan’!”

Itulah kisah legenda Liu Xiang! Sehingga ke hari ini, China masih belum ada pengganti untuk beliau. Liu Xiang mengejutkan dunia dengan emas di Athens!

Beliau melalui karier yang indah walaupun 2 temasya olimpik terakhir beliau agak perit untuk dikenang. Namun begitu, Lu Xiang memahatkan namanya dalam sejarah dan penanda aras yang tinggi untuk generasi baru atlet balapan di China.

Baca yang lain