Detik Mengharukan Para Pemain Monchengladbach Menonton Perlawanan Inter Melalui iPad

Para pemain Borussia Monchengladbach berdebar melihat detik akhir pertemuan antara Inter Milan menentang Shakhtar Donestk, melalui skrin iPad sebaik perlawanan antara mereka dengan Madrid tamat.

Pasukan dari Bundesliga itu telah tewas 0-2 kepada Real Madrid dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan saingan liga Juara-juara.

Gol jaringan Karim Benzema telah mengesahkan kedudukan Madrid selaku Juara kumpulan dan berjaya untuk melayakkan diri ke pusingan kalah mati.

Tamat perlawanan tersebut, para pemain Madrid meraikan kejayaan mereka untuk mara ke peringkat seterusnya, dan untuk Borussia Monchengladbach pula, berdebar menanti nasib pasukan mereka.

Nasib Gladback’s ketika itu sudah tidak berada di tangan mereka, sebaliknya mereka perlu berharap kepada Shakhtar Donestk untuk mengikat Inter Milan bagi membuka ruang kepada mereka layak sebagai naib juara.

Seandainya Inter Milan berjaya menewaskan Shakhtar Donestk, ia bermaksud bahawa Borussia Monchengladbach bakal tersingkir.

Perlawanan antara Inter dengan Shakhtar berakhir sedikit lebih lewat berbanding mereka, kerana tambahan masa yang diberikan.

Pelbagai perasaan bercampur baur yang dirasai oleh Borussia Monchengladbach sementara menunggu wisel penamat dibunyikan bagi mengetahui nasib mereka.

Pada awalnya, mereka sekadar menonton perlawanan tersebut melalui skrin iPhone, sebelum kesemua mereka berkerumun untuk menonton kesudahan perlawanan tersebut menerusi skrin iPad.

Detik ketika wisel penamat dibunyikan dan Shakhtar Donestk berjaya mengikat Inter Milan, menjadi satu detik paling bersejarah untuk Borussia Monchengladbach.

Para pemain Borussia Monchengladbach begitu gembira dan meraikan kejayaan manis mereka, untuk pertama kalinya layak ke pusingan 16 terbaik saingan liga Juara-juara dengan penuh beremosi.

Keputusan seri itu membawa Shakhtar Donestk untuk menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan menduduki kedudukan ketiga, seterusnya melayakkan mereka untuk bersaing di Europa League.

Skuad kendalian Antonio Conte pula terpaksa berputih mata kerana menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan berada di kedudukan tercorot.

Selain dari tersingkir dari saingan liga Juara-juara, Inter Milan juga gagal untuk beraksi dalam saingan Europa League kerana berada di kedudukan tercorot dalam saingan peringkat kumpulan.

Kejayaan Borussia Monchengladbach untuk mara ke peringkat seterusnya, membawa maksud bahawa kesemua empat wakil dari Bundesliga berjaya untuk ke pusingan kalah mati buat pertama kali sejak 2014/15.

Baca yang lain