Girondins Bordeaux: Satu Lagi Kejatuhan Dinasti Di Perancis Kerana Kegagalan Urus Tadbir

Lebih kurang 12-13 tahun yang lepas, sebelum kedatangan pemilik Qatar yang membuatkan Paris Saint-Germain dominan di Perancis, Girondins Bordeaux adalah salah satu kelab terbaik di sana, memenangi kejuaraan Ligue 1 pada tahun 2009, dan layak sehingga ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah pada tahun 2010.

Legenda Perancis seperti Zinedine Zidane, Jean Tigana, dan Alain Giresse pernah beraksi dalam seragam Bordeaux di Stade Chaban Delmas, termasuklah bintang-bintang muda yang lain seperti Yoann Gourcuff pada kemuncaknya dan Aurelien Tchouameni yang kini bersama Real Madrid.

Itu cerita dahulu, sebelum pasukan dilanda krisis.

Girondins Bordeaux sekarang sedang menuju ke arah bankrap. Awal bulan Jun, DNCG (badan penyelia kewangan bola sepak Perancis) telah meletakkan kelab ini tidak lagi mempunyai hak untuk beraksi musim depan.

Mereka memiliki hutang yang mencecah 40 juta, satu jumlah yang agak besar di dalam liga. Ketika sesi pendengaran oleh DNCG, mereka memutuskan Bordeaux yang sebelum itu sepatutnya beraksi di liga divisyen dua diturunkan ke divisyen tiga.

Bagaimana ini semua boleh berlaku?

Sebelum ini lagi, Bordeaux telah melalui beberapa siri musim yang agak teruk.

Perubahan pemilikan yang huru hara, pertukaran tampuk pengurusan, dan gagal untuk kompeten dalam setiap aspek.

2013 adalah pemula kepada segala malapetaka yang berlaku hari ini.

Tahun itu, Bordeaux adalah juara Coupe de France setelah mengalahkan Evian. Seperti sumpahan, kemenangan itu menjadi permulaan kepada malapetaka yang berlaku pada hari mendatang.

Pada Oktober 2013, ‘Serge the Llama’ yang dibawa keluar daripada sarkas oleh sekumpulan pelajar mabuk telah menjadi sensasi di internet. Kelab cuba menunggang populariti haiwan ini, membawanya masuk pusing padang di stadium sebelum kalah kepada Nantes 3-0.

Kemudian, pada tahun yang sama juga, pemain tengah mereka iaitu Andre Poko telah didenda dan dibuang daripada kelab kerana berswafoto sambil menghisap shisha dengan mengenakan jersi pesaing mereka iaitu Marseille.

Sejak kemenangan Coupe de France, kelab mengalami penurunan dalam prestasi, berpindah ke sebuah stadium yang terlalu besar dan mahal untuk kelab. Matmut Atlantique yang dibuka pada tahun 2015 menjelang Euro 2016.

Ia menjadi lebih tragis semasa musim 2017/18, satu lagi kempen yang penuh dengan turun naik. Beberapa siri keputusan perlawanan yang teruk membawa kepada pemecatan Jocelyn Gourvenec. Kapten pasukan iaitu Jeremy Toulalan melakukan protes dengan menamatkan kontrak secara serta merta.

Melihat kepada situasi yang kucar kacir, Bordeaux cuba menenangkan hati penyokong dengan melantik Gus Poyet.

Ia berhasil, pasukan mula beraksi cemerlang pada separuh musim yang kedua dan mereka berjaya kembali ke saingan Eropah setelah menamatkan liga di kedudukan keenam.

Di sebalik semua yang dilalui, perubahan pemilikan kelab juga sedang rancak berlaku.

M6, pemilik sejak sekian lama mahu berundur dari kelab setelah beberapa tahun gagal mendapatkan keuntungan.

Urus niaga dengan sebuah syarikat pelaburan daripada Amerika Syarikat iaitu GACP telah disahkan, ditandatangani pada bulan November 2018, 14 bulan selepas kali pertama dua entiti ini berhubung.

Penukaran hak milik secara tidak langsung telah mengganggu proses keluar masuk pemain sehingga bulan Ogos.

Malcom dijual kepada Barcelona dengan yuran perpindahan sebanyak £36.5 juta. Lebih ramai pemain telah keluar. Keputusan menjual Gaetan Laborde kepada Montpellier telah mengundang kemarahan Gus Poyet yang terus mengkritik kelab secara terbuka.

Kelab mengambil keputusan untuk memecat Poyet serta merta. Ada ura-ura untuk membawa Thierry Henry sebagai pengurus baru, sebelum kembali membawa masuk Ricardo, pengurus yang pernah bersama mereka ketika pertengahan 2000an.

Apabila tersebar berita yang Ricardo tidak mempunyai lesen kejurulatihan, Eric Bedouet (fisio kelab) tampil sebagai pengurus interim, sehingga kedatangan Paulo Sousa pada tahun 2019.

Musim 2019/20, Sousa hanya mampu membawa pasukan menamatkan saingan liga di kedudukan ke 12, di mana musim itu juga liga tidak sempat dihabiskan kerana pandemik. Jean-Louis Gasset, bekas pembantu Laurent Blanc mengambil alih posisi pengurus yang baru.

Dalam pada itu, GACP dan presiden kelab iaitu Joe daGrosa telah ditolak keluar oleh pemilik saham yang lain. King Street, pemegang saham terbesar telah membeli kesemua saham minoriti di dalam kelab.

Ketika kehadirannya pada tahun 2018, daGrosa pernah berjanji untuk membawa kelab kembali ke saingan Liga Juara-Juara dalam tempoh tiga tahun. Pelan yang ingin dibawa itu gagal.

Pada musim 2020-21, bola sepak Perancis telah dilanda masalah kewangan berikutan pandemik, membawa kepada penamatan awal saingan liga, dan juga keruntuhan perjanjian hak penyiaran.

Situasi Bordeaux yang sudah tidak menentu diburukkan dengan kenyataan pemilik mereka sendiri yang tidak akan melabur lagi di dalam kelab.

Penyokong melakukan protes ke atas presiden kelab iaitu Frederic Loungepee.

Dalam keadaan kelab yang akan tersingkir ke Ligue 2, pembidaan untuk hak pemilikan kelab kembali berlaku.

Gerard Lopez, ahli perniagaan Sepanyol-Luxembourg yang juga keluar daripada Lille disebabkan hutang sebelum itu berjaya mendapat hak penuh pemilikan Bordeaux.

Lopez merupakan teman baik Vladimir Putin, bermasalah besar juga kerana berhadapan dengan tuduhan salah laku pemalsuan di Luxembourg.

Vladimir Petkovic dilantik sebagai pengurus pada musim lepas. Bordeaux mengakhiri liga di kedudukan terakhir, bolos secara keseluruhan dengan jaringan yang agak besar (91).

Kelab membuang penajaan baju mereka, Winamax yang juga sebuah syarikat judi, kerana membuat lawak tentang situasi teruk mereka di media sosial.

Pergeseran berlaku di antara kelompok penyokong yang menyokong Lopez dan penjaga gol pasukan, Benoit Costil ketika kekalahan kepada Montpellier. Costil bertekak dengan ketua penyokong dan dituduh melontarkan kata-kata perkauman.

Kelab mengambil keputusan drastik untuk membuang pemain berpengaruh seperti Benoit Costil dan Laurent Koscielny.

Kelab memberikan Koscielny tugas sebagai duta kelab kerana tidak mahu membayar pampasan sekiranya memilih untuk menamatkan kontrak.

Perbincangan berlaku di antara Lopez dan pemiutang mengenai hutang kelab. €10 juta yang dibawa oleh syarikat milik Lopez iaitu Joga Bonito, penjualan hak penyiaran, dan pembayaran dana kepada pasukan tersingkir liga sepatutnya boleh mengurangkan isu, tetapi DNCG mahukan defisit bagi menampung perkara ini.

Bordeaux gagal dalam rayuan di mahkamah dan mereka diarahkan untuk diturunkan ke National 1, liga divisyen tiga bola sepak Perancis.

Kelab kini berisiko untuk diisytiharkan sebagai muflis namun masih lagi boleh membuat rayuan berikut di French Olympic Committee.

Agak keraguan juga untuk mereka berjaya. Kemungkinan besar, Bordeaux akan memulakan musim hadapan sebagai pasukan amatur di liga divisyen lima.

Rumusan

FC Girondins de Bordeaux, juara liga 6 kali, dengan 102 tahun sejarah. Kelab yang kaya dengan tradisi dan budaya hampir hilang sekelip mata saja.

Ia sangat menyedihkan untuk melihat sebuah pasukan yang pernuh dengan nilai sejarah dalam bola sepak Perancis kini berada dalam situasi yang teruk, sehingga menyingkirkan terus daripada medan liga profesional.

Girondins Bordeaux bukanlah kelab tunggal yang melalui fasa kejatuhan dek kerana kegagalan pengurusan dalam melakukan urus tadbir di dalam kelab ketika krisis ekonomi.

Pengurusan kewangan adalah salah satu aspek penting yang masih lagi gagal dibaiki dalam kebanyakan kelab bola sepak.

Apa yang menimpa terhadap Bordeaux ini boleh dijadikan petunjuk sebenar tentang pentingnya nilai dan ilmu dalam memegang mana-mana jawatan.

Sumber: The Guardian

Baca yang lain