Henderson Dan Liverpool, Sukar Untuknya Mendapat Kontrak Baharu Yang Lebih Baik Atas Pelbagai Sebab

Terdapat banyak rundingan kontrak sedang berlaku di Liverpool. Sebahagian besar tugas Michael Edward pada pra musim ini adalah mengekalkan pemain terbaik kelab dan melindungi nilai mereka.

Penjaga gol, Alisson dijangka menandatangi kontrak jangka panjang sebelum musim bermula, termasuk rakan senegaranya Fabinho. Liverpool juga bersetuju memberi lanjutan kontrak mewah kepada Virgil Van Dijk, Mohamed Salah dan Sadio Mane.

Kesemua pemain diatas mempunyai baki kontrak semasa sehingga tahun 2023. Kontrak Trent Alexander-Arnold dan Andrew Robertson pula bakal tamat pada tahun 2024 -kelab juga mahu memanjangkan kontrak mereka.

Sementara itu masa depan pemain paling lama berkhidmat di Liverpool, Jordan Henderson masih belum pasti. Walaupun perbincangan tentang kontraknya sudah lama berlaku namun tiada sebarang kemajuan terhasil.

Rundingan masih belum terhenti, perbincangan masih berlangsung tetapi terdapat situasi rumit dan sensitif. Pemilik Liverpool, Fenway Sports Group (FSG) mempunyai keutamaan lain yang lebih penting yang mahu diselesaikan.

Dengan ketidakpastian masa depan Henderson ia bakal menarik minat kelab lain memancing pemain tengah yang memberi inspirasi kepada pasukan itu. Pada hari ini Henderson sudah berusia 31 tahun.

Terdapat persamaan dengan Georginio Wijnaldum, rundingan kontrak tidak menemui persetujuan. Wijnaldum meninggalkan kelab secara percuma menyertai Parist Saint Germain (PSG) -kontrak 3 tahun.

Pada musim lepas Liverpool mempertimbangkan menjual Wijnaldum untuk mengelak dari hilang secara percuma tetapi tidak ada pasukan mahu membelinya.

Pada ketika itu Wijnaldum memasuki usia 31 tahun dan FSG mempunyai polisi melabur untuk pemain muda. FSG tidak akan memberi gaji lumayan dan kontrak panjang kepada pemain berusia.

Situasi Henderson kini kontraknya akan tamat di Anfield pada usia 33 tahun. Pengurus PSG, Mauricio Pochettino dikhabarkan salah seorang yang meminati Henderson dan memantau perkembangannya.

Peluang Henderson menyertai Atletico Madrid juga ada atas faktor dia berkawan baik dengan Luis Suarez.

Sebelum ini PSG dan Atletico Madrid sudah berbelanja besar menandatangani beberapa pemain dengan memberi gaji besar dan timbul persoalan adakah kelab ini masih mempunyai kemampuan untuk membeli pemain lagi.

Cara Liverpool membenarkan Wijnaldum menghabiskan baki kontraknya -tidak berminat untuk sambung- memberi isyarat Henderson boleh dibeli dan kontraknya tidak akan disambung.

Hubungan Henderson dengan Jurgen Klopp sangat baik di dalam dan luar padang. Klopp memberi kredit kerana Henderson memupuk perpaduan dan semangat yang membantu mereka meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara Eropah.

Jika keputusan 100% berada di tangan Klopp sudah pasti rundingan lanjutan kontrak Henderson sudah selesai. Kes Wijnaldum menunjukkan kuasa tentang kontrak pemain tidak terletak di tangan Klopp sepenuhnya.

Jika tidak Wijnaldum sudah pasti kekal di Anfield kerana Klopp cukup bertekad mempertahankannya.

Klopp mempunyai ruang untuk memberi input dalam proses tersebut tetapi keputusan akhir diputuskan oleh presiden FSG, Mike Gordon dan Edward -bergantung kepada situasi kewangan kelab.

Liverpool tidak sewenang-wenangnya memberi kebebasan penuh kepada pengurus pasukan dan Klopp menerima keputusan kelab untuk memastikan kewanangan kelab kekal sihat.

Wijnaldum tahu Klopp mahukannya tetapi merasa dirinya tidak dihargai oleh kelab. Wijnaldum kecewa tetapi tidak ada permusuhan berlaku.

Bagi Gordon dan Edward langkah itu terpaksa dilakukan untuk mengimbangi kewangan kelab dan mereka perlu mengeluarkan nilai emosi dalam setiap keputusan yang dibuat.

Bagi kelab seperti Liverpool yang boleh berdiri dengan model perniagaan tanpa pemilik kaya seperti Manchester City atau PSG, mengekalkan kewangan mereka sentiasa sihat adalah sangat penting.

Mereka harus membuat keputusan yang kadang-kadang sukar untuk kebaikan kelab terutamanya ketika pandemik covid-19 menjejaskan aliran tunai pasukan.

Hari ini, Liverpool tidak boleh membiarkan skuadnya menjadi terlalu ‘tua’.

Mane, Salah, Roberto Firmino, Joel Matip dan Xherdan Shaqiri kesemuanya berusia 29 tahun. Van Dijk dan Thiago Alcatantara pula berusia 30 tahun.

Henderson berusia 31 tahun dan James Milner pula 35 tahun bakal tamat kontrak pada tahun depan. Pengalaman penting untuk membantu pemain muda seperti Curtis Jones (20), Harvey Elliott (18) tetapi perlu ada gabungan yang tepat.

Pengaruh Henderson cukup besar dalam bilik persalinan begitu juga dengan pemangku kapten, James Milner. Masa depan kedua-dua pemain ini barada dalam keraguan.

Namun Liverpool masih mempunyai Van Dijk, Salah dan Robertson dimana ketiga-tiga pemain ini merupakan kapten pasukan bagi pasukan negara masing-masing.

Sebahagian besar perancangan FSG musim ini adalah membina pasukn yang boleh bertahan untuk 3-4 tahun akan datang. Liverpool telah membeli bek tengah berusia 22 tahun, Ibrahima Konate dari RB Leipzig dengan harga £35 juta.

FSG melihat 2022 adalah tahun untuk menyegarkan semula pasukan untuk kesinambungan seterusnya disamping menunggu masalah wabak reda dan kewangan kelab kembali stabil.

Pada musim depan perkara sama akan berlaku, kontrak Naby Keita dan Alex Oxlade-Chamberlain akan berada di tahun terakhir.

Pada musim ini merupakan tempoh kritikal untuk Henderson.

Namun Henderson tidak terlalu mempersoalkan penghargaan yang perlu diberikan kelab kepada dirinya. Dia terlalu menghormati pasukan dan kelab.

Henderson tahu Klopp masih mempunyai rancangan untuknya, tetapi adakah kelab juga mempunyai rancangan untuknya? Apa peranan yang mahu diberikan kepadanya pada masa hadapan?

Baru-baru ini bekas rakan sepasukannya, Adam Lallana berkata Henderson kurang dihargai. Terlalu banyak fokus diberikan tentang kepimpinannya berbanding kualiti sebgai pemain.

Henderson memenangi pemain terbaik tahunan (2020) yang dilakukan oleh Football Writers Association Footballer, tahun dimana Liverpool menang EPL.

Musim lepas, Henderson berperanan sebagai pemain no.6 dan kadang-kadang mengisi posisi bek tengah sebelum dia mengalami kecederaan otot yang memerlukan pembedahan pada Februari.

Staf perubatan kelab sangat tertarik dengan dedikasi dan komitmen Henderson untuk kembali pulih dan bermain di EURO bersama skaud kebangsaan England.

Henderson yang mempunyai hampir 400 penampilan bersama Liverpool yakin musim produktifnya akan tiba pada tahun-tahun mendatang. Dia yakin masih mampu bermain di peringkat tertinggi sehingga usia pertengahan 30an.

Kembali pada musim 2016-17 iaitu musim penuh pertama Klopp di Liverpool. Liverpool kalah 13 kali dari 116 perlawanan -Henderson hanya terlibat 11% dalam kekalahan tersebut. Liverpool bermain 56 kali tanpa Henderson dan mereka kalah 10 kali.

Liverpool menjaringkan 1.27 gol apabila Henderson berada dalam kesebelasan utama. Angka tersebut jatuh kepada 0.59 gol ketika Henderson tidak berada dalam kesebelasan utama.

Situasi tersebut juga berlaku kepada Steven Gerard. Gerrard meninggalkan Liverpool kerana dia merasakan kelab sudah separuh hati untuk mengekalkannya.

Pertemuan antara ejen Gerrard dan ketua eksekutif Ian Ayre hanya berlangsung 15 minit. Gerard ditawarkan lanjutan kontrak 1 tahun dengan pengurangan gaji 40%. Brendan Rodgers memberitahu minit permainannya akan dikurangkan.

“Ia kelihatan seperti saya lebih memerlukan mereka, berbanding mereka memerlukan saya.” tulis Gerard dalam autobiografinya.

Gerard akhirnya menamatkan kariernya di LA Galaxy di Major League Soccer. Pada akhirnya Gerard mengakui dia menyesal tidak kekal -kontrak lanjutan 1 tahun yang ditawarkan- di Liverpool dimana dia mempunyai peluang berkerjasama dengan Klopp.

Sehingga hari ini Henderson belum menolak sebarang kontrak yang ditawarkan oleh Liverpool namun mengikut kes Gerard, dijangka Henderson akan menandatangi tawaran yang akan diterimanya.

Ketika menandatangani kontrak terakhir pada tahun 2018 Henderson berkata dia mahu menamatkan kariernya di Liveroop.

“Tidak ada tempat lain di dunia ini yang saya suka bermain bola sepak. Saya mahu berada disini selama mana yang saya boleh.”

Disudut lain, kelab-kelab bola sepak perlu berkembang tanpa ada terlalu banyak sentimen peribadi. Karier pemain bola sepak pendek dan mereka memahami kelab sentiasa mahu memaksimumkan kekuatannya.

Baca yang lain

Bernardo Silva Singkir Chelsea

Chelsea disingkirkan oleh Manchester City daripada separuh akhir Piala FA 2023/24. Jaringan tunggal oleh Bernardo Silva minit ke-84, membuatkan Chelsea gigit jari