Honda Sedia Lepaskan Marquez Jika Itu Yang Dia Mahu

Marc Marquez dilaporkan mengancam akan meninggalkan Honda jika prestasinya terus merosot.

Marquez menyalahkan motosikal Honda sebagai semakin ketinggalan berbanding dengan lawan yang lain.

Musim lalu sahaja, Marquez sudah beberapa kali meroyan dengan prestasi hambar motosikal Honda yang menurutnya sangat teruk terutama sekali di laluan lurus.

Pengurus Repsol Honda, Alberto Puig nampaknya tidak lagi terlalu memujuk Marquez apabila dia sendiri menyatakan bahawa Honda sedia melepaskan Marquez jika itu kehendak pelumba itu.

Ketika ini dia masih percaya Marquez akan terus bersama Honda kerana kontraknya masih ada. Namun jika pelumba itu memutuskan untuk menamatkan kontrak lebih awal, makan team Repsol Honda akan sedia duduk semeja membincangkannya.

“Buat masa ini, saya rasa dia akan terus kekal kerana dia terikat kontrak,” kata Puig.

“Namun setiap orang berhak melakukannya [memilih haluan masing masing], dia berhak mendapatkan apa yang dia mahukan.”

“Kami bukan sebuah organisasi yang mahu memiliki orang yang tidak gembira berada di dalamnya.”

Ditanya tentang, adakah Honda boleh berjanji akan membantu Marquez kembali menjuarai kejuaraan dunia?

Puig menambah: “Dengan rasa hormat saya kepada Marquez, saya nak katakan bahawa saya tidak ada bola ajaib [untuk mencipta keajaiban sekelip mata].”

Buat masa ini Marquez menegaskan bahawa dia mahu fokus kepada percutiannya dan memanfaatkan waktu untuk pemulihan.

“Masa untuk saya berehat selama satu setengah bulan ini, ia akan membantu memulihkan diri saya dari segenap sisi,” tegas bekas juara dunia 8 kali itu.

“Daripada pengalaman saya, kamu tak akan dapat membuat apa apa keputusan apabila berada dalam keadaan saya sekarang ini. Pertama sekali saya harus pulih dahulu secara fizikal dan mental.”

“Ini adalah tempoh paling sukar dalam karier saya. Namun saya tetap bahagia dalam kehidupan seharian saya sebagai insan. Saya kekal percaya bahawa saya akan dapat mengharungi segala cabaran ini.”

Bercakap tentang, laporan bahawa dia sedia meninggalkan Honda, Marquez tidak menolak kemungkinan itu. Dia bertekad, apa sahaja warna pasukan diwakilinya, dia akan memberikan yang terbaik.

Cuma pada masa ini, fokus utama dia adalah pada pemulihan.

Baca yang lain