“Insiden Sepang Clash Adalah Kehendak Marquez Kerana Dendam Pada Rossi”

Ayah Jorge Lorenzo, Chicho Lorenzo, telah berkongsi pandangannya mengenai konflik yang terjadi di antara Marc Marquez dan Valentino Rossi pada perlumbaan MotoGP Malaysia 2015.

Valentino Rossi (Monster Energy Yamaha) dan Marc Marquez (Repsol Honda) menjadi dua watak MotoGP yang selalu mengundang perhatian peminat.

Selain menunggu aksi mereka di litar, aksi panas dan kontroversi kedua dua mereka juga kerap ditunggu oleh peminat.

Chicho Lorenzo percaya bahawa peristiwa lima tahun lalu ketika di Sepang telah menjadi bukti kepada kemarahan Marquez kepada Rossi dan bertekad mahu menghancurkan The Doctor dengan apa jua cara sekalipun.

Hingga saat ini pun, masih ramai pihak yang tidak pasti sama ada mereka sudah betul-betul berbaik atau sebaliknya.

Berbalik kepada insiden pada MotoGP 2015, Valentino Rossi tengah bersaing hebat dengan rakan sepasukannya ketika itu, Jorge Lorenzo, untuk meraih gelar juara dunia.

Namun, usaha Rossi untuk menambah koleksi kejuaraan dunia MotoGP-nya kandas setelah didapati bersalah atas insiden di Sepang yang melibatkan dirinya dan Marquez.

Pelumba bergelar The Doctor itu didapati sengaja menendang motor Marquez ketika mereka tengah bersaing rapat pada perlumbaan MotoGP Malaysia 2015.

Kesannya, Marquez telah terjatuh dari motornya pada pusingan ketujuh.

Insiden itu yang kemudian dikenali dengan nama Sepang Clash ini pada akhirnya membuatkan Rossi dijatuhi hukuman berat.

Dianggap bersalah, Pengarah Perlumbaan MotoGP mengenakan hukuman dengan mengarahkan Rossi bermula dari petak paling belakang pada perlumbaan terakhir di Valencia, Sepanyol.

The Doctor tetap berjaya menunjukkan kehandalannya menunggang motor ketika itu apabila berjaya menamatkan saingan di tangga keempat.

Tetapi keputusan itu tidak cukup untuk membantunya mengatasi Lorenzo.

Meskipun sudah lima tahun berlalu, skandal itu tidak mudah dilupakan, termasuk bagi ayah Jorge Lorenzo, Chicho Lorenzo.

Dalam satu wawancara, Chicho Lorenzo mengatakan bahawa insiden Sepang Clash itu menjadi bukti bahawa Marc Marquez ingin menghancurkan karier Valentino Rossi.

Beliau menuduh apa yang berlaku ketika itu adalah ‘kehendak’ Marquez sendiri yang dari awal memberikan tekanan kepada Rossi agar pelumba itu hilang fokus.

“Marc Marquez secara penuh fokus ingin menghancurkan karier Valentino Rossi dan menghancurkan peluang Rossi untuk memenangi gelaran juara dunia,” kata Chicho Lorenzo, kepada laman Corsedimoto.

“Strategi yang dilakukannya itu benar-benar merupakan strategi balas dendam,” tambah beliau lagi.

Lebih lanjut, Chicho Lorenzo menilai apa yang dilakukan oleh Marquez saat itu adalah kerana kebenciannya terhadap Valentino Rossi.

“Marc Marquez telah menunjukkan kebencian terhadap saingannya itu dan dia rela melakukan strategi seperti yang dia lakukan kepada Valentino Rossi pada perlumbaan MotoGP Malaysia 2015,” jelas Chicho Lorenzo.

Sumber: Motorcycle Sports

Baca yang lain