Kanada Jana RM10.73 Billion Jual Ganja, Pusher Haram Kini Semakin Sukar Cari Makan

Penjualan ganja di Kanada kini meningkat dua kali ganda kepada $2.6 billion/ RM10.73 billion untuk kewangan tahun 2020. Salah satu sebab utamanya adalah, semakin ramai permintaan untuk ganja yang sah di sisi undang undang berbanding dengan yang haram.

Seterusnya, dengan penghasilan lebih banyak produk ganja, para peniaga kini ada lebih banyak stok untuk berhadapan dengan permintaan. Jadi, ianya telah menjamin kestabilan serta lebihan stok yang membawa kepada penurunan harga ganja di kedai kedai runcit dan kedai ubat yang berlesen.

Menurut laporan Brightfield Group, jumlah orang dewasa mengambil ganja meningkat kepada 118% pada 2020. Di Ontorio saja, 299 kedai ganja baru yang dibuka.

Pada akhir tahun 2020, seramai 52% orang dewasa menggunakan ganja riadah [recreational] telah membeli dari kedai runcit, manakala hanya 33% sahaja membeli dari dealer / pusher haram.

Ini kerana semakin banyak produk dan pilihan mereka di pasaran dengan harga yang jauh lebih rendah daripada yang dijual oleh dealer ini di pasaran gelap.

Harga ganja telah menurun 10% pada 2020 berbanding 2019. Kesannya, kerajaan menjana lebih banyak hasil cukai kerana lebih ramai pengguna membeli ganja sah berbanding ganja haram yang mahal. Lagipun, membeli yang sah adalah sah di sisi undang undang berbanding yang haram tu – di mana kalau kantoi boleh kena tindakan.

Oleh itu, situasi semasa ini dilihat bakal melumpuhkan industri penjualan ganja secara haram di Kanada jika mereka terus gagal bersaing dengan kedai kedai berlesen ini.

Pada 2019, Kanada menjadi negara Barat pertama membenarkan dan mengatur penjualan serta penggunaan ganja secara rekreasi selepas hampir seabad dianggap sebagai bahan terlarang.

Perubahan itu diterima baik peminat dan pelabur ganja dalam industri baru yang menyaksikan harga saham bahan itu melonjak di bursa saham Toronto dan New York. Namun ia tetap dipersoalkan sebahagian pakar kesihatan dan ahli politik pembangkang.

“Kami tidak menghalalkan ganja kerana kami fikir ia baik untuk kesihatan. Kami melakukannya kerana tahu ia tidak baik untuk anak-anak kita,” kata Perdana Menteri Justin Trudeau pada malam menjelang penguatkuasaan baru itu.

“Kami tahu kami perlu melakukan sesuatu yang lebih baik untuk melindungi anak-anak dan menghapuskan atau mengurangkan keuntungan yang dikaut jenayah terancang secara besar-besaran.”

Akta K a n a b i s, yang sekali gus memenuhi janji dibuat Trudeau dalam kempen pilihan raya 2015 lalu, menjadikan Kanada negara kedua selepas Uruguay untuk menghalalkan penggunaan dadah.

Pelaksanaannya akan diteliti dan dibincangkan penduduk Kanada menjelang pilihan raya pada 2019, begitu juga negara-negara lain yang menurut Trudeau berkemungkinan akan turut serta jika langkah itu terbukti berjaya.

Pada 2013, Trudeau sendiri mengakui pernah menghisap ganja lima hingga enam kali sepanjang hidupnya, termasuk di majlis makan malam bersama rakan selepas dipilih ke parlimen.

Tambah beliau, abangnya Michel sendiri sedang berdepan tuduhan memiliki ganja dalam jumlah yang kecil sebelum terbunuh dalam runtuhan salji pada 1998.

Insiden itu turut mempengaruhi keputusannya mencadangkan supaya penggunaan ganja dihalalkan.

Bagaimanapun, pentadbiran Trudeau memberitahu AFP, beliau tidak merancang untuk membeli atau menggunakan ganja sebaik saja ia disahkan.

Statistik Kanada menunjukkan 5.4 juta penduduk Kanada akan membeli ganja daripada kedai-kedai ubat yang sah. Sekitar 4.9 juta daripadanya pernah menghisap ganja.

Kedai-kedai di St. John di wilayah Newfoundland mula menjual ganja kepada peminat-peminatnya pada jam 12.01 tengah malam (waktu tempatan) hari ini.

“Saya menyediakan lebih banyak pilihan berbanding peniaga di pasaran gelap, jadi anda mempunyai lebih banyak pilihan di kedai kami. Harganya juga setanding,” kata pemilik kedai THC Distribution, Thomas Clarke kepada penyiar awam CBC.

Di bawah peraturan baru, penduduk Kanada berusia sekurang-kurangnya 18 atau 19 tahun akan dibenarkan membeli sehingga 30 gram ganja dan menanam sehingga empat pokok di rumah.

Baca yang lain

Xavi Sedia U-Turn Dan Kekal Di Barca

Beberapa minggu lalu Xavi menyatakan bahawa dia akan tetap meninggalkan Barcelona walaupun kelab itu menjulang UCL sekalipun. Sebelum itu Xavi sudah menyatakan