KDA Ambil Tindakan Undang Undang Ke Atas Wartawan Kerana Fitnah Dan Bocorkan Dokumen LHDN

Kedah ataupun KDA FC mengancam tindakan saman ke atas wartawan sukan terkemuka, Zulhelmi Zainal Azam. Yang menurut mereka telah memberikan persepsi negatif serta fitnah ke atas pasukan tersebut.

Sebelum ini Zulhelmi Zainal Azam telah mendedahkan bahawa pasukan Kedah memiliki tunggakan cukai LHDN.

KDA FC mengeluarkan kenyataan rasmi menerusi CEO pasukan, Khamal Idris Haji Ali. Berikut adalah kenyataan media rasmi KDA FC:

“CIAPAN WARTAWAN ZULHELMI ZAINAL AZAM BERI PERSEPSI NEGATIF DAN FITNAH KEPADA KDA FC

KDA FC merujuk satu ciapan oleh pemegang nama ciapan @zulhelmizainal1 (Zulhelmi Zainal Azam) dibuat pada hari ini 10 Oktober 2022, Isnin pada jam 4.33 petang. Beliau dikenali umum sebagai seorang wartawan sukan dari Astro Arena.

KDA FC menafikan sekeras-kerasnya ciapan beliau dan akan mengambil tindakan selaras dengan undang-undang bagi membersihkan nama dan imej KDA FC. Satu notis tuntutan atas kenyataan fitnah akan diserahkan dalam masa terdekat.

Menerusi ciapan beliau, 1 salinan dokumen dengan kepala surat dari Lembaga Hasil Dalam Negeri kepada Kedah Darul Aman FC bertarikh 24 Ogos 2022 berkenaan Potongan Cukai Berjadual (PCB) 2021 hingga 2022.

Dokumen sulit yang diperolehi secara tidak sah ini telah memberi gambaran buruk kepada kelab seterusnya tanpa fakta menyeluruh berkenaan kandungan surat tersebut. Hanya satu mukasurat dikongsi wartawan berkenaan.

Pihak KDA FC sentiasa menjaga kebajikan pemain dan sentiasa bertanggungjawab atas semua tanggungan termasuklah pembayaran gaji dan cukai pendapatan.

Untuk makluman, surat yang dikongsi oleh wartawan bernama Zulhelmi Zainal Azam sepatutnya hanya berada dalam milikan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kedah Darul Aman FC berkenaan jadual penyelesaian pembayaran cukai dan tidak tertunggak sehingga ke hari ini dan salinan kepada Malaysian Football League (MFL) sebagai makluman penjadualan pembayaran cukai dan tidak tertunggak kepada Badan Perlesenan MFL bagi memenuhi syarat perlesenan tahun hadapan.

KDA FC amat dukacita dengan penyebaran dokumen sulit berkenaan tanpa kebenaran dan rumusan dibuat wartawan tersebut telah memberi persepsi negatif kepada pengurusan kelab serta imej negeri Kedah.

Penyebaran tanpa kebenaran ini adalah suatu bentuk pengkhianatan dan berniat jahat dan KDA FC akan membuat aduan kepada pihak LHDN dan MFL serta menjalankan siasatan dalaman bagi memastikan dokumen sulit tidak menjadi senjata musuh yang cuba memberi gambaran buruk kepada KDA FC.

KDA FC akan memantau semua media yang menggunakan sumber ciapan wartawan Zulhelmi Zainal Azam sebagai tajuk berita dan semua kandungan laporan dan penulisan berkenaan isu ini di media sosial dan media bercetak akan tertakluk kepada tindakan undang-undang.

KDA FC amat menghargai dan menghormati tugas seorang wartawan sukan dalam mendapatkan berita tetapi semua pihak perlu sedar kebebasan dalam menulis bukanlah mutlak tetapi tertakluk kepada tindakan undang-undang.

Sekian, terima kasih.”

 

Baca yang lain