Kerajaan UK Goyang Dengan Syarikat Judi Dan Sedia U-Turn Beri Kelonggaran

Sebelum ini kerajaan UK menyatakan bahawa mereka akan mengharamkan tajaan syarikat perjudian dalam bola sepak. Ini selepas berlaku peningkatan mendadak penaja dari kalangan syarikat judi terutama sekali di EPL.

Ianya dianggap tidak memberikan imej yang baik kepada sukan. Terutama sekali, sukan itu turut ditonton generasi muda.

Larangan tersebut termasuk larangan mana mana individu yang terlibat dengan EPL sama ada jurulatih atau pemain, dilarang terlibat dalam iklan atau mempromosi perjudian.

Memang sebelum ini kerajaan UK mengharamkan iklan judi. Namun selepas itu mereka membenarkannya pula. Dan kemudian mereka kembali berikrar akan menamatkan tajaan daripada syarikat judi.

Namun begitu, laporan The Times minggu lalu menyatakan bahawa kerajaan UK bersedia untuk menerbitkan undang-undang baharu yang mengecualikan kelab bola sepak Britain daripada larangan penajaan syarikat judi atas alasan bahawa syarikat judi semakin memberikan manfaat kepada industri sukan di negara itu.

Hampir separuh daripada kelab Liga Perdana musim lalu mempunyai syarikat pertaruhan atau perjudian sebagai penaja utama mereka. Penajaan jersi Sportsbook di liga utama England dilaporkan menaja secara terkumpul £100 juta sepanjang musim 2021/22.

Terdapat bantahan bahawa hubungan antara bola sepak dan pertaruhan yang dianggap tidak sesuai.

Larangan ke atas tajaan jersi telah dijangkakan – malah terdapat laporan pada bulan Mei ia telah dimasukkan dalam draf untuk dibahaskan di parlimen.

The Times kemudiannya menyatakan bahawa usaha itu akhirnya berubah. Ini kerana berlaku penentangan besar besaran dari kalangan taikun syarikat judi.

Kerajaan dikatakan telah akur. Dan sedia memberikan pengecualian kepada kelab kelab bola sepak. Ini selepas pengaruh dan kepentingan, firma pertaruhan dalam bola sepak yang semakin dominan.

Peraturan khas itu akan diumumkan dalam masa terdekat ini. Dijangka kerajaan akan terus membenarkan tajaan syarikat perjudian dalam bola sepak yang menjadi industri penting dalam ekonomi di UK.

Syarikat perjudian menjana sebanyak £14.2 bilion pada 2020. Dominasi syarikat judi dalam penajaan membuatkan ramai semakin risau bahawa bola sepak akan dikawal oleh perjudian. Di mana akan berlaku skandal mengatur perlawanan yang sistematik.

Syarikat judi menyatakan bahawa perjudian dalam sukan sudah menjadi norma baharu yang kian sebati dengan masyarakat. Namun malangnya mereka tidak menyebut tentang kesan buruknya.

The Times memetik kajian oleh Public Health England (PHE) dari September lalu yang mendapati bahawa, dianggarkan 409 kes bunuh diri dikaitkan dengan perjudian di England setiap tahun.

PHE juga menganggarkan bahawa masalah perjudian menyebabkan beban ekonomi sebanyak £1.27 bilion setahun. Laporan 2019 oleh Suruhanjaya Perjudian dan badan amal Gamble Aware mendedahkan bahawa lima peratus daripada penjudi yang bermasalah telah cuba membunuh diri pada tahun sebelumnya.

Di England, salah satu peristiwa yang turut menyumbang kepada semakin ramai orang berjudi adalah ketika Leicester menjulang kejuaraan EPL pada 2015/16. Di mana ada yang memenangi pertaruhan dengan nisbah 5000:1.

Baca yang lain