Khalid Jamlus Dilema Nak Terima Tawaran AMD Kerana Keluarga

Bekas penyerang pasukan kebangsaan, Khalid Jamlus menyatakan beliau kini di dalam dilema.

Khalid sebelum ini menyatakan bahawa beliau mahu kembali menjadi jurulatih. Namun tidak berpeluang untuk menjadi jurulatih, terutama sekali sebagai jurulatih pasukan liga utama.

Khalid Jamlus turut melelong beberapa memorabilia peribadi miliknya kepada umum untuk mendapatkan wang.

Situasi beliau mendapat perhatian daripada Kementerian Belia dan Sukan yang kemudian menawarkan jawatan menjadi jurulatih di Akademi Mokhtar Dahari.

Khalid Jamlus turut memberi bayangan akan ke Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang berpangkalan di Gambang, Pahang.

Namun kini beliau dalam dilema kerana ada perkara lain yang perlu dipertimbangkannya, walaupun memang sudah menjadi impiannya untuk berkhidmat di akademi elit bola sepak negara itu.

Dipetik daripada Berita Harian, Khalid berkata: “Sebenarnya, memanglah cita cita nak ke arah sana (AMD). Siapa yang tidak mahu ke sana kerana nampak laluan lebih mudah.”

“Tetapi saya kena fikirkan kehidupan dan komitmen sebab kalau baru kahwin ataupun anak sudah besar, memang saya akan pergi kerana ada cita-cita yang nak dikejar.

“Tetapi fikirkan anak masih kecil, (lima, tujuh dan sembilan tahun), susah. Saya sedang fikirkan mengenai perkara ini bagaimana sama ada nak kejar (AMD) atau nak fikir keluarga,” katanya ketika ditemui pada Sesi Bertemu Peminat di Bangi.

Lantaran itu, Khalid masih berharap dan menunggu rezeki yang datang daripada sekitar Lembah Klang yang menurut beliau akan memudahkan urusan hariannya dan dalam masa yang sama dapat meneruskan kerjayanya dalam bidang bola sepak.

Namun begitu Khalid Jamlus tetap bersemangat untuk melanjutkan lagi lesen kejurulatihannya dengan mengambil lesen kelas A.

“Sebelum ini, saya tinggalkan keluarga selama tiga ke empat tahun untuk bekerja di luar Kuala Lumpur. Di situ saya nampak kesusahan dan kepayahan untuk menguruskan keluarga ketika ini.”

“Kalau saya ke sana (AMD), saya kena fikirkan ini. Harapnya jika ada rezeki berdekatan, dapatlah memudahkan saya sikit. Tetapi apa yang sah, saya akan ambil kursus kejurulatihan kelas A dahulu,” katanya.

Dalam karier kejurulatihannya, Khalid Jamlus pernah menyertai barisan kejurulatihan Sime Darby FC sebelum dilantik sebagai pembantu jurulatih PDRM FA.

Dalam perkembangan yang berkaitan, dalam sesi pertemuan yang sama Khalid Jamlus mendedahkan bahawa Kasut Emas beliau sudah ada pembeli yang sanggup membayar RM99,999 untuk memilikinya.

Baca yang lain