Kisah Inspirasi Kevin Rodriguez, Dari Divisyen Kedua Ecuador Ke Piala Dunia

Bagi kita semua, nama Kevin Rodriguez ni memang asing. Kerana di Ecuador sendiri peminat mereka terkejut dengan panggilan kebangsaan yang diberikan kepada pemain itu untuk mewakili negara mereka dalam Piala Dunia 2022.

FEF atau FA Ecuador sebelum ini mengeluarkan nama pemain yang akan mewakili negara mereka ke Qatar. Pemain yang bermain untuk Imbabura, di divisyen kedua Ecuador, Kevin Rodriguez menjadi sorotan media di sana.

Ramai yang mempersoalkan bagaimana penyerang divisyen bawahan boleh dipanggil ke Piala Dunia?

Dia pemain yang lahir pada 4 Mac 2000 di Ibarra. Musim ini bermain 31 perlawanan dan 27 kali sebagai kesebelasan. Penyerang tersebut menjadi penjaring terbanyak kelabnya dengan 11 gol.

Rodríguez, dipanggil ‘Leopard’, membuat debut untuk negaranya ketika aksi seri tanpa jaringan menentang Iraq, dalam aksi pemanas badan sebelum Piala Dunia, di venue bertempat di Madrid.

Di mana ketika itu dia masuk pada minit ke-63.

Selepas melihat komitmen pemain itu di pusat latihan dan mendengar sendiri banyak cerita positif tentang pemain itu daripada jurulatih di kelabnya, pengurus Tricolor, Gustavo Alfredo akhirnya memilih pemain itu untuk dibawa ke Qatar.

Dia turut melihat dirinya pada pemain itu. Gustavo Alfredo berkata: “Setiap kali saya melihat Kevin, dia mengingatkan saya pada masa masa sukar saya dahulu. Tahun tahun sukar saya ketika bermain.”

“Dalam setahun saya mengembara lebih 44,000 kilometer menaiki bas untuk bermain bola sepak. Berimpian untuk bermain di liga divisyen 1 di negara saya. Saya tak terfikir soal Piala Dunia. Itu dimensi tahap lain.”

“Namun saya di sini untuk Piala Dunia, dan sedia memberikan orang seperti Kevin peluang.”

“Sejak saya tiba di sini, saya dah kata yang pintu pasukan kebangsaan ini terbuka kepada semua orang. Saya memanggil pemain berusia 37 tahun dan memanggil yang berusia 18 tahun pun ada.”

“Mereka semua ada tempat mereka, dan kesemua mereka layak. Namun ada satu detik di mana saya harus membuat keputusan dan berasaskan polisi saya mahu berikan peluang kepada semua.

“Rodríguez, beraksi cemerlang bersama pasukan Gardenio, salah seorang penyerang terkuat di pertandingan kedua terpenting di negara Ecuador.”

“Setakat ini dia menunjukkan kepada kita bahawa dia tahu cara bermain dengan bagus. Bermain baik dari belakang atau melebarkan bola, mahupun ketikan menyediakan dirinya menerima hantaran. Sangat sukar untuk lawan mengekangnya.”

Musim ini sudah pastinya akan menjadi musim terakhirnya bersama kelab Imbabura, keran kelab kelab besar di Ecuador malah dari negara Amerika Selatan lain dilaporkan sudah mulai mengejar tandatangannya.

Pada aksi pembukaan Piala Dunia di Qatar, Kevin Rodriguez diberikan debut Piala Dunianya menentang tuan rumah Qatar. Dia dimasukkan pada minit ke-90.

Seterusnya, dia turut masuk pada minit ke-90 dalam aksi menentang Belanda. Dia kelihatan sentiasa bersyukur dengan peluang diberikan kepadanya.

Walaupun hanya sekejap beraksi di atas padang, namun dia baru sahaja mencapai impiannya yang akan menjadi kisah inspirasi kepada pemain pemain divisyen bawahan yang lain bahawa, impian ke Piala Dunia itu realisitik!

Baca yang lain