Klopp: “Mana Boleh Buat Undian Macam Tu, Inter vs Liverpool Perlawanan Yang Bagus Dan Saya Nantikan”

Jurgen Klopp menyatakan bahawa beliau menonton aksi undian Liga Juara Juara Eropah semalam. Dan ketika undian melibatkan Villarreal yang diundi dengan Manchester United, Klopp sudah tahu bahawa undian tersebut patut diadakan semula.

Ini kerana sebagai sebuah sesi undian pertandingan berstatus UCL, adalah tidak sepatutnya kesilapan begitu berlaku.

Klopp bersetuju dengan keputusan untuk mengulang semula undian Liga Juara-Juara dan percaya pasukannya Liverpool sudah bersedia apabila mereka menentang Inter Milan dalam pusingan 16 terakhir.

The Reds pada mulanya diundin bertemu dengan Red Bull Salzburg dalam undian pertama pada pagi Isnin yang berlangsung di ibu pejabat UEFA di Nyon.

Bagaimanapun, kesilapan teknikal bermakna undian asal dibatalkan selepas bola Manchester United tidak berada di dalam balang sebagai salah satu pasukan yang berpotensi menentang Atletico Madrid, dengan United juga diundi menentang Villareal, pasukan yang tidak dapat mereka hadapi kerana sama satu kumpulan sebelum ini.

Ini membawa kepada kebimbangan mengenai kesahihan cabutan itu, dan isu itu dibangkitkan secara langsung oleh Atletico dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di akaun Twitter mereka.

Dan tidak lama selepas kenyataan itu, UEFA mengesahkan bahawa undian akan dilakukan sekali lagi dan yang pertama sah terbatal.

Tetapi walaupun beberapa kelab dikatakan marah dengan keputusan itu, Klopp percaya UEFA membuat keputusan yang tepat untuk melakukannya sekali lagi. Kerana mereka harus memperbaiki kesilapan yang telah mereka lakukan.

Dia berkata: “Sudah tentu. Saya melihatnya secara langsung dan saya fikir, ‘Anda tidak boleh biarkan ia [undian] kekal seperti ini, tiada peluang langsung.’ Sudah pasti, mereka terpaksa melakukannya sekali lagi.”

Liverpool baru sahaja bermain di San Siro minggu lalu apabila mereka bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan AC Milan dalam perlawanan terakhir kumpulan mereka.

Dan walaupun Klopp mengakui bahawa pasukannya berada dalam perlawanan yang sukar, dia sudah tak sabar untuk berdepan dengan pasukan Simone Inzaghi.

Klopp berkata: “Saya terpaksa menunggu 54 tahun untuk bermain di San Siro buat kali pertama… dan kini ia akan menjadi dua kali dalam tiga bulan, jadi itu berita baik!”

“Semuanya baik baik. Sudah tentu, ia adalah undian yang sukar untuk kami, pastinya. Mereka adalah pendahulu liga di Itali; pasukan yang dalam prestasi yang bagus dalam masa yang bagus.”

“Kita akan lihat bagaimana keadaannya sehingga kita bertemu pada bulan Februari.”

Dan Klopp juga percaya pasukannya akan menentang salah satu penyerang paling menarik di dunia ketika ini, Lautaro Martinez.

“Ya, jelas sekali Sanchez dan Dzeko yang kami kenali dengan baik sekali – dan Lautaro Martinez adalah antara penyerang paling menarik di dunia ketika ini, mungkin,” katanya kepada liverpoolfc.com.

“Simone Inzaghi berada di sana, tahun pertamanya, tahun lalu mereka juara, tetapi ini adalah cara Liverpool – ia tidak pernah mudah, tetapi masih tetap ada kemungkinan, jadi mari kita mencubanya.”

“Ia adalah perlawanan Liga Juara-Juara yang tepat, jadi semuanya baik-baik saja dan saya benar-benar menantikannya.”

Perlawanan pertama antara kedua-dua pasukan akan dimainkan di San Siro pada Februari sebelum perlawanan timbal balik dijadualkan berlangsung di Anfield pada awal bulan berikutnya.

Baca yang lain