Krisis Ekonomi Sri Lanka Terburuk, Kerajaan Minta Rakyat Di Luar Negara Dermakan Wang

Kerajaan Sri Lanka meminta rakyatnya di luar negara menghantar wang ke negara mereka untuk membantu dalam membeli keperluan makanan dan bahan api mereka. Ini selepas negara itu gagal membayar hutang asingnya sebanyak $51 bilion di tengah-tengah krisis ekonomi paling teruk yang melanda sejak beberapa tahun kebelakangan ini – sejak 70 tahun lalu.

Gabenor bank pusat Sri Lanka Nandalal Weerasinghe dipetik oleh agensi berita AFP berkata beliau memerlukan bantuan rakyat di luar negara untuk “menyokong negara pada masa kritikal ini dengan menderma pertukaran asing” ke dalam negara mereka.

Beliau membuat seruan itu sehari selepas kerajaan mengumumkan penggantungan pembayaran semua hutang asing.

Sri Lanka menangguhkan pembayaran hutang ini bagi menjimatkan belanjawan Sri Lanka sebanyak $200 juta. Di mana mereka sepatutnya membayar faedah ke atas hutang yang perlu dibayar pada Isnin lalu.

Bajet sedia ada akan dialihkan untuk memenuhi keperluan bahan api, ubat-ubatan dan keperluan asas lain yang semakin berkurangan.

Menurut Weerasinghe, Bank Pusat telah menyediakan akaun di AS, UK dan Jerman untuk menampung sumbangan daripada ekspatriat.

Dia berjanji kepada ekspatriat bahawa wang itu hanya akan digunakan untuk memenuhi keperluan mendesak.

“Bank akan memastikan pemindahan mata wang asing itu hanya akan digunakan untuk mengimport keperluan asas termasuk makanan, bahan api dan ubat-ubatan,” kata Weerasinghe dalam satu kenyataan.

Tetapi seruan Weerasinghe disambut dengan keraguan oleh ekspatriat di luar negara.

“Kami tidak keberatan membantu, tetapi kami tidak boleh mempercayai kerajaan dengan wang kami,” kata seorang doktor Sri Lanka di Australia kepada AFP, dan dia meminta namanya dirahsiakan.

Seorang lagi ekspatriat yang bekerja sebagai pakar perisian berkata dia tidak pasti wang yang didermakan itu akan digunakan oleh mereka yang memerlukan atau disonglap oleh kerajaan yang penuh korup. Hal ini kerana ramai sudah serik dengan kaedah sama diguanakan kerajaan ketika meminta sumbangan daripada ekspatriat untuk dana bantuan Tsunami.

Wang sumbangan mereka ketika itu tidak diaudit dengan betul dan tidak tahu ke mana perginya.

“Ini boleh berakhir seperti dana tsunami,” katanya kepada AFP, merujuk kepada berjuta-juta dolar bantuan yang diterima Sri Lanka selepas tsunami Disember 2004 membunuh sekurang-kurangnya 31,000 orang.

Kebanyakan derma asing yang sepatutnya untuk mangsa tsunami dilaporkan berakhir dalam poket ahli politik, termasuk Perdana Menteri Mahinda Rajapaksa yang terpaksa memulangkan dana bantuan yang dikreditkan ke akaun peribadinya.

Kerajaan kini mengenakan larangan import yang meluas untuk memulihara rizab mata wang asing yang semakin berkurangan, dan menggunakannya untuk membayar hutang yang kini terpaksa dimungkiri buat masa ini.

Ia juga membawa kepada kekurangan barangan yang mencetuskan kemarahan orang ramai. Penduduk beratur seharian suntuk di pelbagai tempat di pulau tersebut untuk mendapatkan petrol dan minyak tanah. Minyak tanah masih digunakan oleh keluarga miskin untuk memasak dan digunakan sebagai pelita.

Sekurang-kurangnya lapan orang maut ketika menunggu dalam barisan untuk mendapatkan minyak sejak bulan lalu kerana bersesak dalam keadaan kehausan dan kelaparan.

Pakar ekonomi berkata krisis itu telah diburukkan lagi oleh salah urus kerajaan, pinjaman terkumpul bertahun-tahun dan pemotongan cukai yang tidak cekap.

Orang ramai cuba menyerbu rumah pegawai kerajaan, kemudian pihak keselamatan terpaksa menyuraikan mereka menggunakan gas pemedih mata dan peluru getah.

Beribu-ribu orang malah berkhemah di hadapan pejabat Presiden Gotabaya Rajapaksa di Colombo selama lima hari berturut-turut dan meminta beliau berundur.

Pegawai kerajaan berkata kesan wabak dan perang di Ukrane telah menyebabkan Sri Lanka “tidak mungkin” membayar hutangnya.

Sri Lanka merancang untuk memulakan rundingan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) minggu depan untuk membincangkan dana pinjaman bagi memulihkan ekonomi mereka.

Kementerian Kewangan Sri Lanka berkata ia mempunyai “rekod sempurna” mengenai pembayaran balik hutang sejak negara itu merdeka daripada Britain pada 1948

Baca yang lain

Sancho Tak Mahu Pulang Ke United

Koresponden Patrick Berger mendedahkan bahawa Jadon Sancho sudah tak ada hati untuk bermain untuk Manchester United lagi. Pemain itu tidak mahu kembali