Lukaku Dan Alderweireld Mahu Thierry Henry Jadi Pengurus Baharu Belgium

Jawatan pengurus Belgium masih lagi kosong selepas Piala Dunia 2022 yang lalu.

Di mana Roberto Martinez rasmi meletakkan jawatannya sebaik sahaja Belgium gagal mara dengan lebih jauh dalam pertandingan tersebut.

FA Belgium masih belum melantik pengganti Roberto Martinez.

Dan salah seorang daripada calon yang dipertimbangkan ialah Thierry Henry. Bekas pemain Arsenal dan Barcelona itu menjadi pembantu kepada Roberto Martinez sejak beberapa tahun yang lalu di Belgium.

Henry yang juga merupakan pundit di tv, dianggap calon sesuai untuk menggalas tugasan di Belgium.

Beberapa pemain senior telah menyatakan sokongan mereka. Dua pemain yang terbuka menyokong Thierry Henry ialah Romelu Lukaku dan Toby Alderweireld.

Lukaku memberitahu Sky Sports: “Bagi saya, Thierry Henry adalah orang yang sesuai untuk menjadi ketua jurulatih Belgium yang seterusnya. Saya tidak ada keraguan tentangnya.”

“Saya menyatakan sokongan ini dengan terbuka, dia akan menjadi jurulatih kami yang seterusnya.”

“Dia tahu apa yang kami perlukan. Dia kenal semua pemain di sini.”

“Saya tidak pasti siapa yang akan mereka pilih. Namun pada pandangan saya, Henry yang paling layak.”

Thierry Henry sebelum ini pernah mengendalikan AS Monaco sebelum dia dipecat oleh kelab. Henry kemudian dilantik sebagai pengurus Montreal Impact sebelum dia dibawa masuk oleh Roberto Martinez untuk menjadi pembantunya di Belgium.

Lukaku pernah memuji Henry sebagai jurulatih yang banyak membantunya memahami aspek serangan dan memperbaiki kualiti penyudahnya.

Seorang lagi pemain senior yang menyokong Henry secara terbuka ialah Toby Alderweireld. Menurut Alderweireld Henry memiliki kunci penting untuk membimbing skuad Belgium yang ada pada hari ini.

Alderweireld berkata: “Thierry Henry telah memenangi segalanya di dalam kariernya. Juga, dia seorang yang sangat kenal dengan pasukan ini, dan ini paling penting.”

“Saya faham, rombakan itu penting, namun kamu juga harus tahu dari mana kita bermula. Henry akan menjadi solusi kepada permasalahan besar ini.”

Nampaknya Lukaku dan Alderweireld sudah terbuka menyatakan pilihan mereka.

Ini petanda yang baik buat Henry dalam usahanya menguatkan lagi cv beliau dalam dunia kejurulatihan bola sepak.

Baca yang lain