Marquez Sindir Rossi: “Dia Bukan Pesaing Kejuaraan Musim Lalu, MotoGP Tetap Akan Meriah Tanpanya”

Pelumba Repsol Honda, Marc Marquez, menyatakan bahawa MotoGP 2022 akan tetap meriah walaupun tanpa Valentino Rossi. Ini kerana menurut Marquez, dalam beberapa tahun terakhir sebelum bersara, Rossi bukannya pencabar kejuaraan. Namun MotoGP tetap menjadi perhatian dunia.

MotoGP 2022 menandakan era baharu selepas ketiadaan Valentino Rossi daripada barisan pelumba di trek.

Pelumba legenda itu akhirnya menggantung topi keledarnya pada penghujung tahun lalu berikutan beberapa siri keputusan buruk pada separuh pertama musim MotoGP 2021.

Ketiadaan Rossi menjadi salah satu topik hangat memandangkan juara dunia sembilan kali itu adalah pelumba yang paling popular dalam MotoGP dalam dua dekad lalu. Malah seringkali dianggap sebagai individu yang telah menaikkan nama MotoGP sehingga ianya menjadi lebih terkenal.

Namun begitu, tidak semua pelumba merindui Rossi. Salah seorang daripada mereka ialah Marc Marquez, yang menjadi musuh ketat The Doctor sejak pertelingkahan mereka pada musim 2015.

Marquez menyatakan bahawa, mereka sudah move on dan bersedia untuk memulakan musim baharu tanpa Rossi.

Mungkin kerana bosan sentiasa diajukan soalan mengenai Rossi, dia membuat komen pedas tentang kesan persaraan pelumba itu untuk MotoGP.

Di mana Marquez mengingatkan wartawan bahawa, Rossi bukannya pesaing kejuaraan yang penting dalam beberapa musim kebelakangan ini. Marquez malah menyatakan bahawa dia hanya memfokuskan kepada pelumba pelumba yang laju berbanding dengan Rossi.

Dalam erti kata lain, Rossi sudah tidak memiliki magisnya lagi dalam beberapa musim terakhirnya. Oleh sebab itu Marquez sudah lama menganggap Rossi sebagai bukan pelumba yang harus diberikan perhatian.

“Dia bukan salah seorang pesaing untuk perebutan kejuaraan dan sejak beberapa tahun kebelakangan ini saya hanya memberi perhatian kepada pelumba yang laju,” kata Marquez kepad GPOne.

“Maksud saya, dia [Rossi] bukannya pencabar kejuaraan pada musim lalu. ”

“MotoGP kehilangan ikon tetapi kejuaraan diteruskan, dan saya fikir musim ini akan menjadi musim yang baik,” sambung beliau lagi.

Kali terakhir Rossi benar-benar terlibat dalam persaingan kejuaraan adalah pada 2016 apabila dia menamatkan saingan sebagai naib juara kejuaraan.

Kemenangan terakhirnya adalah pada 2017 walaupun pada beberapa kesempatan berikutnya dia nampaknya berpeluang untuk menang.

Sememangnya tidak dapat dinafikan The Doctor merupakan pelumba motosikal paling berpengaruh dan popular dalam sejarah.

Beliau malah menjadi inspirasi banyak pelumba generasi baharu pada hari ini. Bos Yamaha iaitu Lin Jarvis menganggap Rossi adalah jenama yang sangat penting dalam membawa naik nama MotoGP. Di mana beliau berpendapat, tak semua orang kenal MotoGP tetapi semua orang akan kenal Valentino Rossi.

Jarvis memaksudkan, ramai orang di luar sana yang hanya mengetahui MotoGP. Namun informasi lain di dalamnya, mereka kurang arif. Sebaliknya mereka akan sentiasa tahu nama Valentino Rossi.

“Jika anda bertanya mengenai MotoGP, tidak semua orang tahu itu, tetapi jika anda bertanya mengenai Valentino Rossi, semua orang mengenalinya,” kata Lin Jarvis.

Salah seorang pesaing Valentino Rossi dalam acara MotoGP, Andrea Dovizioso juga mengiktiraf sumbangan Rossi kepada MotoGP.

Menurut Dovizioso, selaku pelumba dan pengikut MotoGP dari kecil, beliau berterima kasih atas sumbangan Rossi dalam membantu memberikan kesedaran kepada dunia dan menaikkan nama MotoGP.

“Dahulu, sukan yang kita terlibat ini adalah sukan khas untuk golongan tertentu. Dan sekarang diikuti oleh kanak kanak sehingga ke nenek tu. Dari golongan muda sehinggalah mereka yang berusia 80 tahun,” kata Andrea Dovizioso.

Rakan karib Valentino Rossi, Alessio Salucci, menyatakan harinya akan tiba juga, Rossi akan meninggalkan MotoGP. Namun beliau yakin The Doctor akan meninggalkan legenda yang tidak ada gantinya.

“Legasi adalah banyak perkara: kemenangan, peminat, keseronokan di trek. Membangun bersa-sama, sama ada berlumba di MotoGP atau bahkan ketika berada di akademi (VR46),” kata Salucci.

Valentino Rossi sendiri telah menyiapkan rancangan sekiranya dia bersara dari acara MotoGP. Dia mahu memastikan pasukannya, SKY VR46, untuk berada di kelas perdana MotoGP.”

Baca yang lain

Xavi Sedia U-Turn Dan Kekal Di Barca

Beberapa minggu lalu Xavi menyatakan bahawa dia akan tetap meninggalkan Barcelona walaupun kelab itu menjulang UCL sekalipun. Sebelum itu Xavi sudah menyatakan