Mathias Dedahkan Pogba Kuat Main Bomoh Untuk Tangkal Elak Kecederaan & Menyantau Mbappe

Mathias telah menerbitkan satu lagi video dan menuduh bintang Juventus itu membelanjakan berjuta-juta untuk ilmu sihir untuk melindungi dirinya daripada cedera.

Pada hari Ahad, pemain berusia 32 tahun itu menyiarkan video pelik tiga minit dan berjanji untuk mendedahkan maklumat “tergempar” mengenai pemenang Piala Dunianya yang merupakan adiknya sendiri.

Sebagai tindak balas kepada abangnya, Pogba berkata dia telah memberitahu pihak berkuasa Itali dan Perancis bahawa geng penjenayah terancang yang melibatkan abangnya dan rakan-rakan zaman kanak-kanaknya telah memeras ugutnya dengan sejumlah €13 juta dan malah mengheretnya ke sebuah apartmen Paris sambil menggunakan bertopeng pada bulan Mac.

Mereka juga mengganggunya di perkarangan kompleks latihan Juventus.

Mathias, yang pernah bermain di England bersama Crewe dan Crawley, kemudian membalas dan melabel Paul Pogba sebagai penipu besar.

Mathias: Paul kuat main bomoh

Dan dia kini berkongsi video lain, disertai dengan beberapa siri tweet, mendakwa bahawa Pogba membelanjakan sebahagian besar daripada gajinya untuk sihir dan bomoh – terutamanya untuk mengelakkan isu kecederaan timbul.

Unsur sihir adalah bahagian penting dalam cerita itu kerana Pogba memberitahu polis bahawa kumpulan itu mengancam untuk mencipta berita palsu bahawa Pogba meminta seorang bomoh menyihir rakan sepasukan dalam skuad kebangsaan, Kylian Mbappe.

Pogba menafikan sekeras-kerasnya perkara itu tetapi ESPN berkata kem Mbappe serta keluarga pemain itu sedang memerhatikan keadaan dengan teliti dan bos Perancis, Didier Deschamps juga sudah maklum dengan cerita ini.

Merasakan mereka tidak dijaga dari segi kewangan oleh Pogba sejak dia menjadi terkenal, kumpulan dari pinggir timur Paris itu nampaknya telah menuntut sejumlah besar wang daripada bintang Juventus itu.

Pogba sebelum ini memutuskan hubungan persahabatan dengan seorang individu selepas mendapati rakannya itu dengan selamba menggunakan kad kreditnya untuk mencuri €200,000.

Manalah Pogba tak panas hati dan menghalaunya keluar dari rumahnya di Manchester.

Pegawai Perancis berkata dia setakat ini sudah membayar kumpulan itu €100,000 berikutan ugutan berterusan.

Video pertama keluar minggu lalu

Pada hari Ahad lalu, Mathias menyiarkan video pelik tiga minit di media sosial di mana dia berjanji untuk mendedahkan maklumat “menggemparkan” tentang adiknya.

Dia berkata bahawa rakan sepasukan dan penaja Pogba “layak mengetahui perkara tertentu”.

Kemudian pada waktu petang, cerita itu ada plot twist yang luar biasa apabila muncul Pogba telah memberitahu pihak berkuasa Itali dan Perancis bahawa sekumpulan geng jenayah terancang yang melibatkan abangnya telah memeras ugutnya dengan sejumlah €13 juta.

FranceInfo menerbitkan cerita itu, yang memaparkan beberapa butiran yang agak sensasi dan mengejutkan.

Mathias tuduh Paul Pogba manusia paling hipokrit

Dan Mathias, berusia 32 tahun, telah bertindak balas dalam bebenang Twitter dengan menuduh adiknya berbohong kepada polis dan berniat jahat cuba menghantarnya ke penjara.

Selain itu, Mathias juga mendakwa dunia akan melihat bahawa “tiada orang yang lebih pengecut, pengkhianat dan hipokrit” lebih daripada bekas pemain tengah Manchester United itu.

“Apa yang saya jangka telah berlaku. Adik lelaki saya akhirnya mula menunjukkan wajah sebenar. Dia berbohong kepada polis dan mengeluarkan maklumat palsau, anda tidak boleh salahkan saya,” tulis Mathias di Twitter.

“Paul, kamu mahu menutup mulut saya untuk berbohong dan menghantar saya ke penjara. Saya mengesyakinya dan kini ia benar.”

“Versi fakta yang saya katakan telah berlaku dan tidak seperti kamu, saya mempunyai cukup untuk membuktikan kata-kata saya dan pembohongan kamu. Saya akan memberitahu kamu sekali lagi: adik, memanipulasi pemikiran orang lain adalah perkara tidak baik!

“Ini bukan soal wang: Kamu yang libatkan saya [terlebih dahulu] dan saya hampir mati kerana kamu, di mana kamu tinggalkan saya dalam lubang seorang diri ketika kamu sedang melarikan diri dan kamu sekarang nak berpura-pura tidak bersalah.”

“Apabila segala-galanya diketahui umum, orang akan melihat bahawa tiada siapa yang lebih pengecut, pengkhianat dan hipokrit daripada kamu di bumi ini.”

Dalam temu bual dengan penyiasat, Pogba memberitahu mereka bahawa dia diugut oleh dua lelaki dengan menutup kepala mereka yang membawa senjata api di sebuah pangsapuri Paris pada Mac dan mereka menuntut dia menyerahkan dana €13 juta.

Lelaki terbabit dikatakan kawan zaman kanak-kanaknya yang percaya mereka berhak mendapat sebahagian daripada wang yang dinikmati Pogba ketika ini kerana melindungi pemain itu secara senyap senyap selama ini. Mereka meminta wang bayaran untuk perkerjaan melindungi Pogba.

“Pendedahan Mathias Pogba baru-baru ini di media sosial malangnya bukan sesuatu yang mengejutkan,” kata Pogba dalam satu kenyataan.

“Ia datang selepas ugutan dan percubaan peras ugut oleh geng terancang terhadap Paul Pogba.”

“Ini telah dirujuk kepada pihak berkuasa yang berkenaan di Itali dan di Perancis sebulan lalu.”

Baca yang lain