Menang Pun Kena Pecat!

Norwich City akhirnya mencipta kemenangan pertama mereka dalam Liga Perdana Inggeris musim ini. Dan membuatkan hanya Newcastle United sahaja yang masih belum menang sebarang perlawanan.

Norwich berjaya mencipta kemenangan ke atas Brentford 2-1. Namun begitu, Daniel Farke tetap dipecat dan tugasan terakhirnya adalah bercakap kepada wartawan selepas tamat perlawanan.

Pembantu beluau Edmund Riemer, Christopher John dan Chris Domogalla juga dipecat.

The Athletic melaporkan bahawa Norwich melantik Steve Weaver sebagai interim sementara menunggu perlantikan pengurus baharu.

Dan kelab akan melantik pengurus baharu sebelum aksi berdepan Southampton di Carrow Road pada 20 November akan datang.

Sebaik sahaja kemenangan ke atas Brentford, Norwich mengeluarkan kenyataan:

“Norwich City dengan ini mengesahkan bahawa coach Daniel Farke dilepaskan dari jawatannya berkuat kuasa serta merta.”

“Daniel meninggalkan Carrow Road selepas mengendalikan pasukan sebanyak 208 perlawanan kompetitif, dalam empat tahun setengah di sini.”

“Staf kejurulatihan Eddie Riemer, Chris Domogalla dan Christopher John juga akan meninggalkan kelab ini.”

“Kelab akan mengemaskini maklumat staf kejurulatihan pasukan utama selepas ini.”

Pengarah sukan Stuart Webber menambah: “Dalam usaha kita menuntut yang terbaik untuk kelab bola sepak kami, keputusan ini bukanlah sesuatu yang mudah.”

“Saya tahu betapa kuatnya semangat Daniel dan kakitangannya untuk berjaya di peringkat ini, tetapi kami rasa sekarang adalah masa yang sesuai untuk perubahan untuk memberi peluang terbaik untuk mengekalkan status Liga Perdana kami.

“Semua di Norwich City harus berterima kasih selama-lamanya kepada Daniel dan kakitangannya atas peranan penting yang telah mereka mainkan dalam perjalanan kami. Mereka membantu menyampaikan dua gelaran Liga Kejuaraan, banyak detik yang tidak dapat dilupakan dan mereka semua memahami sepenuhnya falsafah kami dan makna menjadi sebahagian daripada kelab bola sepak ini.

“Daniel dan kakitangannya akan sentiasa dialu-alukan kembali ke sini. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka semua atas kerja keras mereka dan mengucapkan selamat maju jaya untuk masa hadapan.”

“Adalah penting untuk kita sekarang melihat ke hadapan. Kami mempunyai baki 27 perlawanan liga dan masih jauh untuk mengharungi musim semasa. Kami tahu kami mempunyai keupayaan dalam skuad ini dan kakitangan kami untuk mula mengutip mata dan mendaki carta liga.”

Norwich kini menduduki tangga ke-19 dalam carta Liga Perdana Inggeris, hanya mengumpul lima mata daripada 11 perlawanan pembukaan mereka. Dan memiliki perbezaan gol sebanyak -21.

Farke asal Jerman dilantik pada April 2017, tiba di Norwich dari Borussia Dortmund II untuk menggantikan Alex Neil.

Setelah menduduki tempat ke-14 dalam Kejuaraan pada 2017-18, musim penuh pertamanya sebagai pengurus, mereka dinaikkan pangkat ke EPL sebagai juara Liga Kejuaraan pada tahun berikutnya.

Walaupun mengalami penyingkiran serta-merta daripada Liga Perdana pada 2019-20, Farke mengekalkan kepercayaan dari pemilik, dan memperoleh satu lagi kepulangan semula ke Liga Perdana Inggers, sekali lagi dengan status sebagai juara Liga Kejuaraan.

Bagaimanapun, pasukan Norwichnya telah memberikan bayangan sekali lagi bahawa mereka seakan akan sukar untuk mengelak satu lagi penyingkiran serta-merta – sehingga kemenangan mereka di Brentford memberikan sedikit sinar.

Baca yang lain