Nasser Sindir Barca Pakai Tangan Ghaib Elak Muflis, Tebas Sound Balik: “Kamu Buka Tong Gas”

Presiden PSG, Nasser Al-Khelaïfi yang juga merupakan presiden Kesatuan Kelab Eropah, telah mempersoalkan bagaimana Barcelona boleh mendapat wang yang banyak dan keluar daripada kemuflisan dalam beberapa bulan ini.

Barca umum had perbelanjaan luar biasa

Baru baru ini, Barcelona mengumumkan keuntungan €98 juta untuk tahun kewangan 2021/22. Kelab Catalan itu menjangkakan keuntungan €274 juta pada musim ini.

Berapa minggu lalu Barcelona diumumkan sebagai kelab paling berharga di dunia pada pasaran semasa selepas Real Madrid. Barcelona dinilai berharga €5.1 billion

Lembaga pengarah Barcelona mengumumkan bahawa kelab meraih pulangan €1.017 billion. Bermakna mereka berjaya mendapat keuntungan atau pendapatan sekitar €98 juta.

Awal bulan ini Barcelona berjaya meningkatkan had perbelanjaan mereka sebanyak €800 juta.

Bercelona di bawah pengurusan Joan Laporta telah melakukan kerja luar biasa untuk mengelak kelab daripada muflis.

Ketika dia mengambil alih jawatan di Barcelona, kelab menanggung hutang sebanyak €1.3 billion. Ianya berlaku kerana salah tadbir kewangan yang teruk di bawah Bartomeu.

Antara punca adalah pembelian pemain dengan harga terlalu emosi. 3 pemain dibeli dengan harga lebih €100 juta dalam 2 tahun iaitu Ousmane Dembele, Phil Coutinho dan Antoine Griezmann.

Selain itu, Barca ketika itu terbeban dengan bil gaji pemain yang sangat tinggi. Di mana Laporta mengesahkan bahawa Barca telah berjaya mengurangkan bil gaji pemain menerusi rundingan pelarasan gaji.

Barcelona kemudian menjual hak nama stadium kepada Spotify. Seterusnya menjual beberapa aset kelab termasuk hak penyiaran. Barcelona menjana lebih €200 juta daripada penjualan 49% hak Barca Studio.

Pada musim panas lalu, Barcelona mengaktifkan 4 tuas ekonomi mereka untuk membantu mereka mendaftarkan kesemua pemain baharu mereka. Selain daripada menjual dan melepaskan pemain kelab lain untuk mengosongkan bil gaji sambil meningkatkan had perbelanjaan kelab.

Musim ini Barcelona optimis akan menjana keuntungan €274 juta selepas diluluskan dana operasi €1.225 billion. Terutama sekali Nou Camp kembali menerima kehadiran penyokong bermula pada musim ini selepas musim pandemik.

Khelaifi sindir Barca guna dana tangan ghaib

Namun perkembangan itu jelas sekali tidak meyakinkan Khelaifi yang merasakan bahawa ada dana daripada tangan ghaib membantu Barcelona. Mengibaratkan kemungkinan ada manipulasi dari segi penaja dan sebagainya.

Khelaifi berkata: “Peraturan kestabilan kewangan baharu adalah perkembangan positif. Peraturan mengawal kos. Di mana ianya akan menggalakkan pelaburan dan pelabur baharu.”

“Mereka akan membantu memastikan kemampanan bola sepak. Tetapi kita perlu berhati-hati; tahap hutang yang berbahaya dan suntikan modal tangan ghaib bukanlah satu laluan mampan yang kita maksudkan.”

“Kita perlu berfikir jangka panjang, bukan jangka pendek,” kata Al-Khelaïfi yang menyindir Barcelona kerana menjual banyak aset mereka kepada pelabur lain untuk menjadi modal baharu bagi pengoperasian kelab mereka.

Khelaifi menambah: “ECA juga telah bekerjasama rapat dengan UEFA dalam format pertandingan lelaki baharu selepas 2024. Akan ada lebih banyak perlawanan yang menarik.”

“Pertandingan akan lebih inklusif. Hasil kami akan berkembang. Kami telah pun melihatnya di Perancis dan UK. Dan di AS pertumbuhan kami melebihi 150%, dengan penjualan hak Sepanyol.”

“Kami merancang untuk bekerjasama dengan Paramount+ dan semua rakan kongsi media dan pemegang hak kami yang lain tentang cara menjangkau khalayak baharu, menjadi inovatif dan kekal relevan,” tegas Khelaifi dengan yakin.

Sindiran Khelaifi tentang modal ‘magik’ atau tangan ghaib itu tidak disenangi oleh Javier Tebas. Yang merasakan bahawa ianya jelas ditujukan kepada Barcelona.

Menurut Tebas, Barcelona memiliki aset yang besar untuk mereka cairkan bagi menyelamatkan kelab mereka. Sambil Tebas menyindir balik PSG, kalau PSG, Khelaifi mungkin terpaksa membuka lebih banyak saluran gas untuk menyelamatkan kelab mereka.

Tebas berkata: “Tiada tangan ghaib pun di sana. Barcelona menjual sebahagian aset kelab mereka untuk menampung kerugian, berbanding, PSG membuka tong gas [untuk selamatkan kelab jika berada dalam situasi Barca].”

“Untuk kestabilan dalam bola sepak, perkara pertama kamu kena buat adalah membayar hutang kamu bukan?”

Ini bukan kali pertama Tebas tidak berpuas hati dengan PSG. Dia pernah menyatakan bahawa UEFA pilih kasih kepada PSG ketika perpindahan Neymar dengan menyatakan mustahil PSG tak terkena salah laku FFP dengan membayar EUR212 juta untuk tebus klausa pelepasan Neymar. Kerana kelab itu tiada pendapatan sebesar itu.

Seterusnya Tebas turut bengang ketika Lionel Messi menyertai PSG dengan menganggap PSG sudah memiliki bil gaji pemain yang melampau.

Terbaru, Tebas yakin bahawa PSG akan terkena hukuman FFP jika mereka melanjutkan kontrak Mbappe dengan nilai yang sangat tinggi. Itu juga tak berlaku. PSG masih tidak dikenakan tindakan.

Baca yang lain