Peminat Terkejut Ten Hag Anggap Mustahil Untuk Laksanakan Gaya Permainan Ajax Di United

Dalam wawancara selepas perlawanan pada petang Ahad, Erik ten Hag mengakui dia “tidak akan pernah” dapat membawa gaya permainan seperti di Ajax ke Manchester United.

Terkenal kerana melaksanakan gaya permainan high pressing di Amsterdam, pengurus Belanda itu mahu pasukan Ajaxnya bermain di kawasan lawan sepanjang masa. Ten Hag bukan sahaja menggalakkan bermain dengan binaan bola dari belakang, tetapi dia mahu pasukannya secara kolektif mengasak ke hadapan.

Namun di United ramai yang mempersoalkan, kenapa falsafah bola sepak Ten Hag di kelab itu masih tak jelas? Mereka membandingkan dengan bagaimana cepatnya Ange Postecoglou membina gaya permainan yang dia mahukan di Spurs atau Roberto De Zerbi di Brighton.

Mikel Arteta di Arsenal walaupun mengambil sedikit masa namun proses itu tetap kelihatan sejak awal walaupun perlaksanannya dulu agar sukar.

Ten Hag dilihat cuba memperkenalkan gaya permainannya ketika aksi pra musim pertamanya menentang Liverpool di Thailand dengan Man United menang 4-0. Ketika itu ramai menyatakan bahawa Ten Hag benar benar akan menamatkan era Pep Guardiola dan Klopp.

Dia berjaya membawa United menamatkan musim lalu di tangga ketiga. Tetapi identiti permainan United dipersoalkan. Mereka juga keliru, di mana gaya Ajax Ten Hag sebelum ini?

Ada kalanya, gaya serangan balas biasa United telah berjaya tetapi lebih kerap tidak berjaya, mereka bergelut apabila melibatkan banyak aspek taktikal permainan – seperti yang dilihat sepanjang kekalahan 3-0 mereka kepada juara bertahan Liga Perdana Inggeris, Manchester City pada hari Ahad.

Malah, selepas wisel sepenuh masa, Ten Hag ditanya bila dia boleh memperkenalkan apa yang dipanggil gaya permainan Ajax. Bercakap kepada Viaplay, Ten Hag ditanya, “Bilakah anda akan dapat bermain bola sepak yang sama dengan Manchester United yang anda tunjukkan dengan Ajax?”

Dia menjawab dengan berkata: “Tidak akan pernah dapat. Kami tidak akan bermain bola sepak seperti itu. Kerana mereka adalah pemain yang berbeza. Ini juga bukan sebab saya datang ke sini. Kami bermain bola sepak yang berbeza daripada yang saya tunjukkan di Ajax kerana saya harus, kerana saya tidak boleh bermain dengan cara yang sama.”

Pengurus berusia 53 tahun itu menambah: “Pemain menentukan cara anda bermain. Ajax mempunyai gaya permainan yang sangat tipikal dan karakter yang jelas, dengan Manchester United saya akan sentiasa menunjukkan bola sepak yang berbeza, saya juga melakukannya tahun lepas. Kami bermain lebih langsung [direct football] di sini kerana saya mempunyai pemain yang sesuai untuk itu di sini.”

Seperti yang anda boleh bayangkan, komen Ten Hag telah mencetuskan perbincangan dan perdebatan besar dalam internet. Seorang peminat berkata: “Seumur hidup saya, saya tidak tahu gaya permainan apa yang dia cuba laksanakan di United. Jenama bola sepak yang ditayangkan musim ini adalah membosankan dan tidak bermaya, terlalu negatif. Masa membimbangkan apabila anda membaca penjelasan ini .”

Seorang lagi mengulas: “Walaupun saya faham maksudnya, ia menimbulkan persoalan mengapa kita membawa masuk pengurus untuk gaya permainannya yang berbeza di Ajax dan menandatangani semua pemain yang dia mahukan untuk membolehkan gaya permainan itu hanya untuk dia berkata: ‘Nah! tidak boleh bermain seperti itu’, ini adalah sesuatu yang 20 kali lebih teruk’.”

Namun ada juga menyatakan, Ten Hag sebenarnya cakap berlapik depan media untuk mengutuk pemain pemain United yang ada tak mampu nak menghantar bola dengan pantas.

Bekas pertahanan Manchester United, Jaap Stam percaya Erik ten Hag telah bergelut untuk menyemai gaya permainan di Old Trafford. Dia pernah menyuarakan pandangan itu kepada BBC.

“Saya sendiri sudah tentu dari Belanda, kita semua menganggap Ten Hag sebagai pengurus yang sangat baik,” kata Stam kepada BBC Football Focus.

“Dia seorang pengurus yang hebat. Dia bermain bola sepak yang sangat baik dengan Ajax, bola sepak berasaskan penguasaan, menyerang, mengekalkan penguasaan, mendominasi, membawa pemain menyerang ruang supaya mereka boleh membuka ruang kepada diri mereka dan mara ke hadapan. Kita semua mengharapkan Ten Hag melakukan itu dengan United juga.”

Stam menambah: “Musim lalu mereka bermain dengan baik dari segi layak ke Liga Juara-Juara Eropah, final Piala FA, dan [memenangi] Piala Carabao, tetapi mereka tidak bermain dengan baik secara taktikal.”

“Dia [Ten Hag] membelanjakan banyak wang, kita perlu jujur dalam hal itu: dia membelanjakan banyak wang untuk mendapatkan pemain yang dia mahukan, jadi anda mengharapkan lebih daripada itu. Tetapi musim ini dan bagaimana mereka bermula tidak meyakinkan cara mereka bermain bola sepak.”

“Anda mahu melihat United bermain – saya tidak akan berkata seperti [Manchester] City – mendominasi, menguasai bola, mengalir bebas, ke hadapan, melepasi pemain lawan, menerima hantaran silang, menamatkan hantaran silang ini, memenangi perlawanan, memenangi bola kedua dan kemudian pergi lagi. Dan itu tidak ada.”

“Ia sedikit disebabkan oleh Ten Hag kerana dia perlu membuat pilihan. Dia sudah lebih semusim mempunyai masa untuk bekerja dengan ramai pemain ini. Tetapi saya masih fikir dia seorang pengurus yang baik dan memerlukan lebih banyak masa untuk akhirnya dia akan dapat melaksanakannya.”

Baca yang lain

Cassano Anggap Leao Perasan Bagus

Antonio Cassano sekali lagi membuat kenyataan kontroversi, kali ini dia mensasarkan kepada Rafael Leao. Dia melabel pemain Milan itu sebagai pemain yang