Penyokong Arsenal Pelik Dengan Alasan Edu Lanjutkan Kontrak Luiz

Adakah ini sebab kroni sesama Brazil? Tanya seorang penyokong Arsenal.

Ada juga yang tak dapat menghadam bagaimana David Luiz diberikan kontrak lanjutan setahun?

Dalam kenyataan media Arsenal, mereka mengumumkan lanjutan perkhidmatan beberapa pemain.

David Luiz diberikan kontrak lanjutan setahun. Sebelum ini laporan menyatakan David Luiz tak melayan lanjutan jangka pendek untuk bermain sehingga akhir musim ini sahaja – di mana musim ini tamat lewat.

Lalu Arsenal memberikan kontrak setahun kepada pemain Brazil itu.

Pemain bek tengah Pablo Mari dan Cedric Soares pula mendapat kontrak jangka panjang.

Dani Ceballos setuju untuk terus kekal sehingga tamat musim ini.

Kemaskini tersebut tidak begitu mengujakan penyokong yang masih menunggu berita kontrak baharu Aubameyang dan Bukayo Saka.

Pengarah Teknikal Arsenal, Edu berkata:

“Saya sangat gembira kerana kami akan memiliki pemain-pemain ini dalam skuad kami untuk masa akan datang. ”

“Mereka telah menjadi sebahagian daripada rancangan teknikal jangka panjang yang saya dan Mikel sedang bangunka.”

“Mereka akan memberikan keseimbangan yang tepat untuk skuad kami.”

Berkenaan dengan kontrak David Luiz, Edu memberitahu, pemain itu terus ditagih khidmatnya kerana beliau telah banyak bermain pada musim ini.

Alasan itu sangat tidak masuk akal bagi penyokong Arsenal.

Edu berkata: “David adalah pemain yang sangat penting bagi kami. Dia telah bermain dalam sebahagian besar perlawanan kami musim ini dan penting bagi pasukan.”

“Hantarannya, komunikasi dengan pasukan di dalam dan luar padang [sangat penting]. Dia menolong semua orang.”

Lalu ada yang mengingatkan bahawa, oleh kerana Luiz banyak bermainlah Arsenal berada dalam kedudukan mereka sekarang ini.

Edu kemudiannya menyatakan Arsenal telah setuju untuk menebus kontrak Pablo Mari dan Cedric Soares secara tetap.

“Dengan Pablo, kami semua kecewa kerana dia cedera di dalam aksi menentang Manchester City. ”

“Sejak Mikel [Arteta] tiba di sini, dia meminta bek tengah yang berkaki kiri.”

“Kami sangat gembira dengan Pablo – disiplinnya, cara dia berlatih, mental dan kualitinya. Malangnya, dia mengalami kecederaan itu — tetapi tentunya kami sangat gembira untuk menjaganya di sini untuk masa depan.”

“Cedric juga akan menjadi pemain penting. Dia tidak bernasib baik dengan kecederaan tetapi dia hampir bersedia dan memberi kita lebih banyak kekuatan di posisi bek kanan.”

“Kami juga gembira Dani akan menamatkan musim di sini. Dia memberikan sumbangan yang baik dan kami sudah tak sabar untuk menamatkan musim dengan cemerlang pada musim ini. ”

Sebelum ini Arsenal dikaitkan dengan nama seperti Thiago Silva dan Upamecano. Adakah Arsenal akan terus melabur untuk bek tengah selepas ini?

Baca yang lain