Penyokong Garuda Troll Poster KETUM PSSI Serta Niatnya Mahu Masuk Dressing Room Untuk Sesi Motivasi

Niat ketua umum (KETUM) PSSI, Mochamad Iriawan untuk memasuki bilik persalinan pasukan kebangsaan Indonesia menjelang perlawanan akhir Piala AFF 2020 menentang Thailand, nampaknya mendapat kecaman daripada peminat bola sepak Indonesia.

Ini kerana menurut mereka Iriawan hanya akan mengganggu konsentrasi dan juga sesi taklimat taktikal Shin Tae Yong.

Iriawan sudah membayangkan bahawa dia mahu memberikan kata kata motivasi di bilik persalinan Indonesia ketika aksi final menentang Thailand.

Iriawan membuat panggilan video dengan Evan Dimas dan Asnawi Mangkualam. Dalam video tersebut, Evan dan Asnawi meminta agar Ketum PSSI itu turut datang ke Singapura memberikan sokongan.

Iriawan segera menjawab bahawa dia memang mahu datang malah sudah bercadang untuk berada di bilik persalinan pemain pasukan kebangsaan Indonesia pada aksi final kedua 1 Januari akan datang.

“Saya akan ke sana pada 31hb (Singapura),” kata Mochamad Iriawan.

“Saya cuba turun ke bilik persalinan. Saya masih perlu mendapatkan kebenaran AFF,” katanya lagi.

Ternyata kenyataan itu kurang disenangi ramai pihak. Selain daripada tidak mahu Iriawan menganggu sesi taklimat pasukan bersama ketua jurulatih. Lagipun masa bukannya lama, ianya sangat terhad.

Mereka juga tidak mahu sebarang risiko kepada pemain dan pegawai mereka.

Ini kerana Piala AFF 2020 menggunakan sistem bubble yang sangat ketat. Jika ada pegawai ataupun orang luar yang datang memasuki bubble itu, ianya dikhuatiri akan mencemarkan gelembung tersebut.

Malah, ramai juga yang tidak mahu perkara seperti pembawaan wabak dari luar ke dalam bilik persalinan berlaku.

Mereka mencadangkan agar Iriawan memberikan sahaja kata kata motivasi itu menerusi video sebelum perlawanan. Dan ketika hari perlawanan, serahkan sahaja kepada Shin Tae Yong.

Bukan itu sahaja, netizen Indonesia turut menyindir poster di akaun rasmi Iriawan yang terpampang besar wajahnya bersama Timnas Indonesia. Mereka bertanya, kenapa tidak gambar Shin Tae Yong di situ?

Shin Tae Yong dikatakan lebih wajar berada di tengah tengah poster itu, kerana dia menjadi perhatian ramai termasuk media dari luar Indonesia. Yang menghargai kerja kerasnya dan juga dedikasi beliau kepada pasukan kebangsaan Indonesia.

Ketua Jurulatih Indonesia, Shin Tae Yong mengingatkan media bahawa dia ada lebih 20 piala dalam kariernya sebagai jurulatih.

Itu sudah cukup untuk membuktikan bahawa dia adalah orang yang tepat dalam memberikan motivasi kepada Timnas Indonesia menjelang aksi final Piala AFF Suzuki berdepan dengan Thailand dan sekaligus menjuarainya.

Ini adalah kali keenam Indonesia mara ke final. Dan ianya juga merupakan final keempat menentang Thailand. Dalam 3 final terdahulu berdepan dengan Gajah Putih, Indonesia terciduk kesemua aksi final tersebut.

Selain daripada badi final, Indonesia juga memikirkan badi final menentang Thailand dalam sejarah bola sepak mereka.

Pasti agak janggal memikirkan negara seperti Indonesia yang dianggap kuasa besar di Asean untuk acara bola sepak, tetapi tak pernah sekalipun mengecap nikmat kejuaraan.

Antara final yang pedih untuk mereka ketika terkulai di tangan King Gopal pada satu ketika dahulu di hadapan peminat mereka sendiri di Stadium Gelora Bung Karno.

Semua itu terangkum dalam liku liku sejarah bola sepak Garuda yang sudah banyak menempuhi pahit getir hidup dan pengorbanan. Segalanya dihadapi demi kejayaan.

Bola Sepak Indonesia juga pernah digantung oleh FIFA kerana isu masalah liga mereka.

Malah dalam kejohanan kali ini, Indonesia dilarang bertanding menggunakan bendera Indonesia dan menggunakan bendera PSSI. Ini kerana negara mereka berdepan dengan hukuman salah laku oleh WADA.

Indonesia mahu menamatkan kemarau gelaran selama 25 tahun dan kini di bawah kendalian Shin Tae-yong, bekas pemain kebangsaan pasukan kebangsaan Korea Selatan, tokoh tersebut dianggap sangat berkaliber untuk membantu Garuda.

Shin Tae Yong dikenali dengan ketegasannya serta taktikalnya yang fleksibel. Beliau berjaya mengikat Vietnam dengan taktikal yang defensif. Pada masa yang sama menyediakan taktikal yang ofensif dengan penghasilan gol sangat banyak dalam perlawanan lain.

Shin Tae Yong berkata: “Sudah tentu saya mahu menjadi juara tetapi menjulang trofi tidak berlaku hanya kerana anda menginginkannya, menjadi juara hanya akan datang kepada anda apabila anda melakukan yang terbaik dalam setiap perlawanan.”

“Sebagai jurulatih saya sudah memenangi lebih 20 kejuaraan dan daripada pengalaman itu saya mahu menanamkan mentaliti yang kuat dalam diri pemain dan cuba menjadi juara. Mentaliti itu adalah sesuatu yang saya terus beritahu pemain.”

Pada perlawanan akhir pertama Piala AFF, skuad Garuda tidak akan dapat menurunkan tonggak pertahanan kiri, Pratama Arhan, kerana penggantungan.

Bagi Thailand sendiri, sudah pasti mereka tidak dapat beraksi dengan bek kiri, Theerathon Bunmathan akibat digantung manakala penjaga gol Chatchai Budprom mengalami kecederaan pada penghujung babak di separuh akhir lalu.

Jurulatih Pasukan Gajah Putih Alexandre Polking berkata beliau tetap yakin kerana skuadnya mempunyai kualiti yang mencukupi untuk menampung ketidakhadiran pemain pemain tersebut.

“Malangnya Chatchai telah mengalami ACL dan itu berita sedih untuk kami. Theerathon adalah salah seorang pemain kami yang paling berpengalaman dan dia telah mengharungi kejohanan yang hebat pada kali ini, tetapi kami mempunyai pemain lain yang berkualiti yang telah menunggu peluang mereka untuk menonjolkan diri mereka.”

“Kami sedang bersedia untuk pertembungan selama 180 minit dan kami perlu bersedia untuk semua situasi yang berbeza. Sudah tentu kami tahu tentang rekod Indonesia tetapi kami juga mahu memenangi satu lagi kejuaraan untuk Thailand dan itulah yang kami sedang persiapkan.”

Indonesia kali ini sudah tidak mahu lagi menjadi bahan jenaka peminat pasukan lawan. Kerana sebelum ini Indonesia bergelar hampir juara sebanyak 5 kali. Terbanyak dari kalangan negara yang bertanding dalam kejohanan ini.

Baca yang lain