Premier League Akan Halang Pihak Yang Melanggar Hak Asasi Manusia Daripada Memiliki Kelab EPL

Liga Perdana Inggeris telah meluluskan langkah lebih keras untuk ujian pemilik dan pengarahnya yang akan menghalang sesiapa yang didapati melakukan pelanggaran hak asasi manusia daripada memiliki kelab di EPL.

Pada mesyuarat pemegang saham kelab divisyen tertinggi Inggeris pada hari Khamis, pindaan kepada ujian pemilik baharu itu telah dipersetujui, termasuk beberapa “risiko hilang kelayakan” berdasarkan peraturan baharu.

Pesalah hak asasi manusia – berdasarkan Peraturan Sekatan Hak Asasi Manusia Global – dan individu yang tertakluk kepada sekatan kerajaan tidak akan dibenarkan menjadi pemilik atau pengarah.

Kemudiannya, senarai kesalahan jenayah yang akan mengakibatkan kehilangan kelayakan telah diperluaskan termasuk keganasan, penipuan, rasuah , pengelakan cukai dan jenayah kebencian.

Peraturan, yang akan berkuat kuasa serta-merta, dianggap lebih keras daripada cadangan pengawal selia bebas yang diwujudkan untuk menggantikan ujian yang digunakan oleh Liga Perdana, Persatuan Bola Sepak dan EFL sebelum ini.

Sesiapa yang disiasat untuk kesalahan yang berkaitan akan dihalang daripada menjadi pengarah.

Pemilik dan pengarah akan disemak sebagai sebahagian daripada langkah wajib setiap tahun untuk memastikan pematuhan dengan peraturan.

Menurut The Guardian, ujian pemilik ini telah diperketatkan lagi selepas pengambilalihan Newcastle oleh Dana Pelaburan Awam (PIF) Arab Saudi walaupun rekod hak asasi manusia yang tidak bagus di mata UK.

Amnesty antara badan yang paling lantang menentang pemilikan Saudi di Newcastle.

Ada segelintir pemilik kelab di EPL kecewa dengan Premier League memberikan hak pemilikan Newcastle kepada PIF kerana menurut mereka, kelab itu digunakan sebagai alat ‘mencuci’ nama dengan sukan.

Difahamkan peraturan yang dikemas kini tidak akan menjejaskan putera mahkota Saudi, Mohammed bin Salman, pengerusi PIF, atau mana-mana ahli PIF lain.

Peter Frankental, pengarah hal ehwal ekonomi Amnesty International UK, berkata: “Ia adalah satu langkah ke arah yang betul bahawa hak asasi manusia dan jenayah kebencian kini sedang dipertimbangkan.”

“Tetapi ia akan mewujudkan hanya sedikit perbezaan — melainkan individu berkuasa yang dikaitkan dengan pelanggaran hak asasi manusia yang serius di luar negara — secara muktamad — dihalang daripada mengawal kelab Liga Perdana Inggeris dan menggunakannya untuk mencuci nama negara mereka menggunakan sukan.”

Amnesty mempersoalkan tindakan Premier League sebelum ini yang dianggap tidak tegas ketika melakukan ujian ke atas pemili dari Saudi untuk Newcastle.

Baca yang lain