[Preview Euro 2020] Jerman: Joachim Lōw Mahu Tamatkan Dinasti Bersama Die Mannschaft Dengan Bergaya

Kami di Axello.Net akan membawakan siri preview mengenai satu pasukan pilihan yang akan bertanding di Euro 2020 setiap hari sehingga bermulanya pertandingan pada 12 Jun 2021.

Jurulatih Jerman, Joachim Löw yang popular dengan gayanya mengorek hidung ketika berfikir akan digantikan dengan Hansi Flick sejurus tamat kejohanan Euro 2020 ini.

Beliau yang mula menjadi jurulatih Die Mannschaft pada 2006 merupakan antara jurulatih Jerman terbaik sepanjang zaman dengan rekod layak sekurang-kurangnya ke separuh akhir dalam 5 dari 6 kejohanan major yang disertai. Berjaya memenangi Piala Dunia di Brazil pada 2014 dan sebelum itu naib juara Euro 2008.

Walaupun dengan rekod dahsyat dalam setiap penyertaan, Jerman kali ini turun sebagai underdog. Namun harus diingat, Jerman sering kali turn up bila kejohanan bermula.

Pusingan Kelayakan

Tidak mempunyai masalah menjadi juara Kumpulan C apabila menamatkan pusingan kelayakan dengan mencatat 21 mata. Menang 7 dan tewas sekali kepada Belanda di Munich.

Jerman berjaya menjaringkan 30 gol dan hanya bolos 7 kali dalam 8 perlawanan. Kemenangan terbesar dicatatkan ketika menewaskan Estonia 8-0 di Opel Arena.

Formasi & Taktikal

Lōw bereksperimen dengan formasi 3-4-3 dan 4-3-3 sejak akhir-akhir ini. Dalam 2 perlawanan persahabatan terakhir menentang Denmark dan Latvia, beliau menggunakan formasi 3-4-3 dan memberi bayangan akan mengekalkan formasi tersebut pada Euro 2020.

Neuer sebagai kapten dan sweeper keeper menjaga gawang. Rudiger-Hummels-Sule sebagai trio pertahanan tengah. Pemain Atalanta, Robin Gosens dan Lukas Klosterman menjadi calon pasangan wing back utama mereka.

Duo midfield akan menjadi rebutan pemain berkelas dunia seperti Gundogan dan Leon Goretzka yang mempunyai koleksi gol yang memberangsangkan di peringkat kelab.

Belum kira hantaran padu yang boleh dibekalkan oleh Joshua Kimmich dan Toni Kroos. Hanya Löw sahaja tahu bagaimana untuk memuatkan mereka dalam 1 pasukan.

Pemenang Liga Juara-Juara Eropah, Kai Havertz dan Timo Werner memberi pilihan kepada Jerman. 2 speed merchant Bayern Munich, Leroy Sane dan Serge Gnabry mempunyai keupayaan dalam mengubah pace perlawanan manakala pemain veteran, Thomas Muller boleh mengisi slot sebagai false 9 jika diperlukan.

Senarai Pemain

Penjaga Gol: Manuel Neuer (Bayern Munich), Bernd Leno (Arsenal), Kevin Trapp (Frankfurt)

Pertahanan: Matthias Ginter (Monchengladbach), Antonio Rudiger (Chelsea), Robin Gosens (Atalanta), Christian Gunter (Freiburg), Marcel Halstenberg (Leipzig), Mats Hummels (Dortmund), Lukas Klostermann (Leipzig), Robin Koch (Leeds), Niklas Sule (Bayern Munich)

Tengah: Ilkay Gundogan (Manchester City), Toni Kroos (Real Madrid), Emre Can (Dortmund), Joshua Kimmich (Bayern), Thomas Muller (Bayern Munich), Jamal Musiala (Bayern Munich), Leon Goretzka (Bayern Munich), Kai Havertz (Chelsea), Jonas Hofmann (Monchengladbach), Florian Neuhaus (Monchengladbach)

Penyerang: Timo Werner (Chelsea), Kevin Volland (Monaco), Leroy Sane (Bayern Munich), Serge Gnabry (Bayern Munich)

Pemain Tumpuan: Serge Gnabry

Walaupun prestasinya musim ini bersama Bayern agak menurun berbanding ketika mengecap treble musim lalu, beliau masih lagi berjaya menjaringkan 11 gol dan 7 assists dalam semua pertandingan.

Serge Gnabry mempunyai rekod mengkagumkan ketika menyarung jersi kebangsaan, menjaringkan 16 gol dalam 22 caps yang dimiliki.

Bukan sekadar mempunyai pecutan yang laju, Gnabry boleh membuat pemain pertahanan menggelupur dengan skil gelecekan yang mengelirukan.

Gaya direct yang sering ditunjukkannya bermaksud beliau akan selalu meletakkan dirinya di depan gawang lawan untuk menjaringkan gol dan menjadi ancaman utama lawan Jerman pada Euro 2020.

Ramalan: Separuh akhir.

Baca yang lain