PSSI Ancam Pecat Shin Tae-yong Sebab Tak Profesional: “Meeting Pun Dalam Kereta”

Pengarah Teknikal PSSI – Indra Sjafri – menganggap ketua jurulatih Timnas Indonesia Shin Tae Yong banyak alasan dan tidak percaya kepada dirinya sendiri untuk memenuhi target yang ditetapkan oleh PSSI.

Konflik antara PSSI dengan Shin Tae Yong berlaku selepas jurulatih tersebut menuduh PSSI sebagai sudah menyimpang daripada perancangan awal dan mulai meletakkan sasaran tidak realistik.

Ianya berbeza dengan apa yang dinyatakan di dalam kontrak.

PSSI turut mengancam mahu memecat pengendali yang berasal Korea Selatan itu kerana masih tidak pulang ke Indonesia.

Ianya dipercayai kerana kedua dua pihak tidak sepakat untuk lokasi latihan pusat. Seterusnya Shin mengkritik PSSI yang memberikannya tugas dan KPI baharu jauh berbeza dengan ketika dia menerima kontrak.

Shin Tae-yong menyatakan sebelum ini PSSI setuju untuk membenarkan kesemua pasukan di bawah kendaliannya iaitu skuad senior, U-23, dan U-20 berlatih di Korea Selatan.

Namun PSSI pula menyatakan Shin Tae-yong harus memusatkan latihannya di Indonesia.

Dipetik dari laman rasmi PSSI, Indra mengatakan tindakan Shin yang mengkritik PSSI menerusi media Korea Selatan adalah satu bentuk ketidakpercayaan mantan jurulatih Korea Selatan pada Piala Dunia 2018 tersebut.

Selain itu Indra Sjafri menuduh Shin Tae-yong sebagai pembohong apabila menyatakan bahawa PSSI memintanya untuk memberikan jaminan bahawa Indonesia akan menjuarai Piala AFF 2020.

“Sementara calon lain, Luis Milla, pun tidak mampu menjamin hal itu. Pembohong namanya kalau ada seorang jurulatih memberikan jaminan akan menjadi juara dalam sepakbola [bola sepak],” ujar Indra.

“Dia [Shin] ini sebenarnya banyak alasan saja, kerana dia tak yakin mampu memenuhi target berat yang diletakkan federasi kita. PSSI ingin timnas senior Juara Piala AFF 2020, memperbaiki ranking peringkat FIFA, serta sebuah Timnas U-19 yang mampu bermain dalam Piala Dunia U-20 2021,” tegas Indra.

Indra kemudian menganggap Shin Tae Yong tidak profesional dan tidak beretika. Anggapan itu muncul setelah PSSI melakukan mesyuarat atas talian dengan jurulatih juara Liga Juara Juara Asia 2010 tersebut.

“Kita menghormati Shin, tapi lama-lama dia mula menunjukkan sikap sesedap hatinya sendiri. Dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Umum PSSI [Mochamad Iriawan], Shin nampak sesuka hatinya bermesyuarat sambil memandu kereta menggunakan telefon, ketika pengurus PSSI menyertai mesyuarat itu dan duduk di tempat duduk masing masing dengan serius.”

“Alasannya dia ada sudah berjanji mahu pergi ke resort. Ini menunjukkan ketidakprofesionalan dia. Apalagi dia tetap kita bayar gaji sangat besar, meskipun ketika Covid-19 dipotong 50 persen. Takkanlah diajak meeting pun susah kok.”

Shin Tae-yong seorang jurulatih yang lantang mengkritik PSSI. Malah sebelum ini ada beberapa isu beliau lontarkan termasuk pengurusan kecergasan pemain yang lemah.

Selain itu Shin Tae-yong juga mendedahkan ada usaha individu tertentu mahu menjaga kepentingan sendiri dalam PSSI yang membawa kepada pemecatan Ratu Tisha.

Namun PSSI pernah mengingatkan Shin Tae-yong bahawa, dia dibayar gaji, maka dia harus ikut sahaja arahan majikan tanpa banyak songeh.

Shin juga pernah mendedahkan kepada media Korea Selatan bahawa gajinya di Indonesia tertunggak.

Baca yang lain