Reaksi Van Persie Ketika Anaknya Merungut Salahkan Jurulatih

Robin Van Persie pernah berkongsi cerita tentang anaknya yang tidak berpuas hati dan merungut dengan jurulatihnya kerana duduk di bangku simpanan.

Banyak kes yang kita dengar di Malaysia, ibu bapa akan mengamuk kalau mendapat tahu Coach tak nak turunkan atau pilih anak mereka.

Namun bukan Van Persie. Walaupun dia seorang megastar dan legenda.

Ternyata Robin Van Persie tidak gemar dengan sikap anaknya yang suka merungut dan menyalahkan orang lain

Robin Van Persie antara penyerang terbaik di dalam generasinya. Dia memutuskan untuk bersara pada 2019 selepas 22 tahun berkarier secara profesional. Kariernya sangat gemilang.

Anaknya pernah bermain untuk pasukan remaja Feyenoord B-14. Dan pada satu hari, Feyenoord B-14 berhadapan dengan Ajax B-14. Anaknya bernama Shaqueel tidak diturunkan.
Membuatkan Shaqueel benar benar bengang dan meluahkan rungutannya kepada ayahnya.

Van Persie berkongsi cerita: “Dia agak bengang dan mood tak baik, kecewa. Dia masa tu tak berpuas hati tentang jurulatih, dan saya berkata kepadanya: ‘Shaqueel, kamu kedengaran seperti seorang ‘loser’ apabila bercakap macam tu’.”

“‘Kamu salahkan dia, salahkan dia ini, salahkan ini, salahkan segalanya, namun tak sekalipun saya dengar kamu salahkan diri sendiri’.”

“‘Seorang pemenang, mereka akan mengawal keadaan, mereka akan menyalahkan diri mereka sendiri dan cuba merenungi di mana mereka boleh memperbaiki diri’.”

“‘Ini sebenarnya perkara yang kamu harus fikirkan. Tanya diri kamu sendiri. Kamu nak jadi loser atau kamu seorang winner?'”

“‘Tak kisahlah kamu pilih yang mana [loser atau winner], sebab saya tetap ayah kamu kamu. Satu satunya tanggungjawab saya dan ibu kamu adalah mempersiapkan kamu untuk menghadapi kehidupan selepas usia kamu 20 tahun’.”

“‘Kamu boleh buat silap, kamu boleh buat apa kamu suka. Saya akan tetap sayangkan kamu seperti biasa. Tak kisahlah kamu berjaya menjadi pemain bola sepak profesional ataupun tidak’.”

“‘Tetapi kamu pernah beritahu saya bahawa bola sepak adalah perkara yang kamu sangat sukai. Jadi kamu harus mulai mengawal hidup kamu dan berhenti merungut.”

Baca yang lain