Rice Terinspirasi Daripada Gol Beckham vs Wimbledon

Bintang England dan Arsenal, Declan Rice mendedahkan bahawa dia terinspirasi daripada David Beckham ketika dia memutuskan untuk melakukan jaringan daripada jarak jauh ketika menentang Chelsea.

Declan Rice baru sahaja menyaksikan dokumentari Netflix Beckham yang menaikkan semangatnya untuk mengambil keberanian serta motivasi daripada aksi pemain itu.

Beckham pernah melakukan gol ajaib dari jarak jauh ketika menentang Wimbledon satu ketika dahulu. Gol yang mengukuhkan lagi nama Beckham pada masa itu sebagai prospek England.

Rice pula melakukan rembatan terus daripada kesilapan hantaran penjaga gol Chelsea, Sanchez. Menurut Rice ianya memerlukan inspirasi Beckham dalam dirinya.

Rice berkata: “Semua orang bercakap tentang dokumentari Beckham ini. Dan saya menonton dokumentari itu pertama kali malam tadi [sehari sebelum game vs Chelsea di Stamford Bridge].”

“Beberapa klip awal menyaksikan gol dia dari kawasan tengah padang ketika mentang Wimbledon. Dan saya mendapat banyak keyakinan daripada itu. Hari ini saya melakukan sepakan pertama dan terus gol.”

“Ianya gol sangat istimewa untuk mencetuskan kebangkitan kami. Kamu harus berterusan melakukan percubaan. Kerana apabila kamu melakukan percubaan kamu akan mendapat gol.”

“Dalam fikiran seorang pemain kamu perlu mengambil keputusan dalam masa beberapa detik sahaja. Itu perkara yang paling cepat kamu harus buat, sama ada saya harus melakukan hantaran, kerana ada pemain di hadapan saya – atau kamu harus merembat terus.”

“Saya sudah menyaksikan semula gol itu dan ianya sangat hebat. Saya gembira dengan gol itu.”

Gol Declan Rice itu menjadi nadi kebangkitan Arsenal untuk mengikat Chelsea 2-2 selepas ketinggalan 2-0. Di mana pemain gantian, Leandro Trossard terus mengukuhkan reputasinya sebagai super sub dengan gol kedua.

Declan Rice menyertai Arsenal dengan nilai £115 juta secara keseluruhan. Pemain itu setakat ini sudah membuktikan kualiti yang luar biasa di bahagian tengah Arsenal. Dia menjadi nadi penting skuad Mikel Arteta.

Baca yang lain