Ronaldo: “Bola Tu Terkena Kepala Saya”

Cristiano Ronaldo memberitahu media Portugal bahawa dia ada kontak dengan bola hantaran Bruno Fernandes sebelum ianya menerjah gawang.

Ronaldo meraikan gol tersebut kerana yakin bahawa gol itu adalah miliknya.

Namun panel FIFA telah memutuskan bahawa gol itu diberikan kepada Bruno Fernandes.

Menurut panel tersebut, Ronaldo gagal membuat sebarang kontak dengan bola ketika dia melonjak untuk menanduk bola tersebut.

Ronaldo dengan ringkas berkata: “Ianya terkena pada saya. Bola menyentuh saya.”

Rakan sepasukannya, Bruno Fernandes yang menjaringkan 2 gol dalam perlawanan menentang Uruguay tersebut juga berpendapat bahawa gol itu wajar diberikan kepada Ronaldo.

Bruno Fernandes sekali lagi menunjukkan sisi kerendahan hatinya dengan merasakan bahawa Ronaldo sudah menyentuh bola tersebut sebelum ianya masuk.

Bruno Fernandes berkata: “Saya meraikannya sebagai gol Cristiano.”

“Saya nampak dia telah menyentuh bola, objektif saya adalah untuk membuat hantaran silang untuknya.”

“Apapun, kami gembira dengan kemenangan itu, tidak kiralah siapa antara kami yang menjaringkan gol itu.”

“Kami tahu bahawa Cristiano adalah penyerang yang mencari gol dan lebih penting untuk penyerang, begitu juga untuk Goncalo [Ramos], Andre [Silva], Rafael [Leao] dan Joao [Felix], tetapi perkara yang paling penting ialah objektif yang dicapai iaitu berada di fasa seterusnya.”

“Ia adalah kumpulan kami, unit kami, dan kami mempunyai dedikasi di atas padang. Sikap saling membantu antara kami inilah yang membuatkan kami mendapat keputusan seperti ini.”

Sementara itu Alejandro Moreno berkata, Ronaldo pasti tahu itu bukan gol miliknya, sebab itu dia cuma bersiuuu ala kadar sahaja.

“Kamu tahu, Ronaldo tahu dia tak sentuh pun bola tu, sebab tu dia tak memberikan siuuuu sepenuhnya.”

Portugal berjaya menang ke atas Uruguay, itu yang paling penting. Ronaldo yang dikeluarkan pada babak akhir perlawanan telah menyaksikan pasukannya diberikan sepakan penalti.

Penalti tersebut disempurnakan Bruno Fernandes dan Ronaldo benar benar gembira meraikan gol rakan sepasukannya itu.

Kerana misi utama mereka adalah mara ke pusingan seterusnya. Dan mereka berjaya melakukannya.

Tindakan Fernandes mahu mengkreditkan gol pertama kepada Ronaldo jelas meraih pujian ramai pihak. Ramai yang menganggap Fernandes menunjukkan ‘class’ beliau.

Sebelum ini Fernandes turut dipuji kerana memberikan jawapan tenang dan matang tentang kontroversi Ronaldo yang mengutuk kelab Manchester United dalam wawancara dengan Piers Morgan.

Fernandes terus buktikan karisma

Wartawan berterusan cuba memancing emosi Fernandes dengan soalan berkaitan Ronaldo dan mengaitkan hubungan antara Bruno Fernandes dan Ronaldo sudah retak.

Sebelum ini Bruno Fernandes dituduh tidak begitu teruja untuk bertemu Ronaldo dan memulaukan pemain itu.

Fernandes dikatakan kecewa di atas komen Ronaldo ke atas kelab mereka.

Namun selepas itu Joao Mario menjelaskan perkara sebenar, bahawa kedua dua pemain sempat bergurau tentang kelewatan Fernandes tiba.

Ronaldo berseloroh kepada Fernandes: “Kenapa lambat sampai, naik bot ke?”

Kemudian dalam sesi temuramah dengan wartawan berbahasa Inggeris, Bruno sekali lagi ditanya tentang wawancar kontroversi Cristiano Ronaldo.

Wartawan berkata: “Hubungan kamu dengan Cristiano Ronaldo, adakah kamu merasak tidak selesa tentang mana mana perkara yang dia sebut dalam temu ramah tersebut?”

Bruno tenang menjawab: “Saya tidak membaca temu ramah itu, jadi saya ok je dengannya.”

“Macam yang saya cakap sebelum ini, kita sekarang dalam kem kebangsaan Portugal.”

“Jurulatih sudah menyatakan pandiriannya, ketika saya pertama kali berada dalam pasukan ini pada kira kira tahun 2017. Perkara paling penting di sini adalah pasukan kebangsaan dan kami yang berada di sini.”

“Jadi fokus kita adalah pada Piala Dunia, kerana Piala Dunia tidak akan ada setiap masa.”

“Kamu tidak berpeluang untuk bermain Piala Dunia banyak kali. Cristiano sangat bertuah dia dapat merasa bermain banyak edisi Piala Dunia. Ini adalah Piala Dunia kelima dia beraksi.”

“Jadi semua orang bersiap sedia untuknya [Piala Dunia]. Semua orang mahu memberikan yang terbaik kepada pasukan.”

Wartawan tersebut seolah olah masih tidak berpuas hati dengan jawapan penuh profesional Bruno Fernandes. Dia masih mahu mendengar komen tentang kononnya Bruno Fernandes tarik muka ketika melihat Cristiano Ronaldo di bilik persalinan.

Bruno kemudian meminta wartawan tersebut melihat versi yang ada suara. Kerana video yang tengok itu adalah tanpa suara.

“Mereka ada letak bunyi pada video itu selepas itu, kamu dah tengok yang tu ke?”

Wartawan berkata: “Belum lagi..”

Bruno menyatakan bahawa wartawan tersebut harus menonton versi yang ada suara.

Bruno mengakui memang ada media yang sengaja mencipta spekulasi termasuk di Portugal sendiri.

“Ada satu media di Portugal menunjukkan video tanpa suara, mereka kata detik itu tegang, tidak erat.”

“Kemudian media pasukan memuat naik yang ada bunyi.”

“Masih juga mereka berkata, ya ada gurauan antara mereka dan kemudian mereka memotongnya. Mereka meminta penonton video sebelumnya. Dan jika penonton menyaksikan video sebelum itu, memang akan nampak ada masalah.”

“Jika mereka melaporkan hal sebenar, menjelaskan apa sebenarnya berlaku dalam video itu. Orang akan tahu hal sebenar. Sekarang ini orang tak tahu.”

“Tetapi macam saya cakap, ini adalah pasukan kebangsaan. Fokus saya kepada Manchester United hanya selepas tamat Piala Dunia ini, pada 18 Disember.”

Bruno menjelaskan bahawa dia tiada sebarang masalah dengan mana mana pemain

Penjelasan Bruno dan cara dia menjawab wartawan yang cuba memancingnya itu benar benar harus diberikan pujian.

 

Baca yang lain