Sadio Mane Tunai Janjinya Ubah Padang Berlumpur Menjadi Stadium Bertaraf FIFA

Sadio Mane telah meneruskan kerja-kerja pembangunannya di Senegal dengan membina stadium baharu untuk penduduk kampung halamannya, Bambali.

Bintang Al-Nassr itu pulang ke tanah air untuk melancarkan kemudahan itu secara rasmi menjelang kem latihan negaranya untuk Piala Negara-Negara Afrika di Ivory Coast.

Setahun lalu, Mane dilihat bermain di padang berlumpur ketika bercuti di kampungnya di Bambali selepas musim sukar di Eropah, yang menyaksikan dia meninggalkan Bayern Munich.

Gambar daripada acara bola sepak komuniti yang dihadirinya menjadi viral pada masa itu, dengan bintang Al-Nassr itu berjanji untuk memperbaiki padang untuk penduduk kampung halamannya.

Sebenarnya itu bukan pertama kali Sadio Mane menyantuni penduduk di kampungnya dengan bermain di padang lumpur itu. Sejak bersama Liverpool lagi dia melakukannya.

Kerana padang itu telah menjadi tempat Sadio Mane bermain bola bersama rakan rakannya semasa dia kecil. Dan di situlah impiannya bermula.

Mane menunaikan janji itu, disertai oleh beberapa tokoh berpangkat tinggi di negaranya untuk membuka stadium di Bambali pada majlis yang indah, seperti yang dilihat di media sosial.

Stadium tersebut bukan calang calang, Sadio Mane terus membina stadium yang bertaraf FIFA yang boleh digunakan untuk menganjurkan perlawanan bola sepak profesional.

Sadio Mane berkata: “Saya sangat gembira dapat bersama anda hari ini dan mengalu-alukan anda ke rumah saya, ke kampung asal saya Bambali, di mana semuanya bermula.

“Dengan kebanggaan yang tinggi dan hati yang penuh kegembiraan saya berdiri di hadapan anda di padang bola sepak standard FIFA ini, yang mempunyai banyak makna bagi saya.

“Ini bukan sekadar hadiah daripada saya kepada kampung tercinta saya. Di atas segalanya, ia adalah simbol perpaduan kami, kekuatan kami dan semangat kami untuk bola sepak.”

Sadio Mane sebelum ini sudah membina hospital dan sekolah di kampungnya. Ini kerana dia tidak mahu nasib ayahnya menimpa yang lain. Di mana ayahnya meninggal dunia kerana tak dapat dihantar ke hospital yang terlalu jauh pada masa itu.

Dari segi pendidikan, Sadio Mane mahu masyarakat di kampungnya mendapat pendidikan lebih baik. Kerana menurutnya, pendidikan adalah asas kepada pembangunan sesebuah negara.

Pemain berusia 31 tahun itu akan mengetuai Teranga Lions ke AFCON di Ivory Coast dengan objektif untuk mempertahankan trofi yang dimenangi di Cameroon pada 2022.

Senegal telah diundi dalam Kumpulan C bersama Cameroon, Guinea dan Gambia.

Sementara itu, Mane menikmati musim yang baik dalam Liga Pro Saudi, setelah menjaringkan 12 gol dalam semua pertandingan.

Baca yang lain

Faisal Halim Disimbah Asid

Arena bola sepak Malaysia digemparkan dengan satu lagi kejadian jenayah melibatkan pemain kebangsaan. Kali ini melibatkan Faisal Halim yang diserang dan disimbah