Sampai Australia! Menteri Indonesia Dikecam Samakan Covid Dengan Isteri & Bersumberkan Meme

Pernyataan berbentuk kelakar oleh Menteri Koordinator Politik Hukum dan Keamanan (Menko Polhukam) Mahfud MD yang menyamakan virus COVID-19 seperti isteri yang memberontak telah mendapat perhatian luas media di Indonesia dan media asing.

Malah Mahfud turut dikecam beberapa pertubuhan aktivis wanita. Berita tentang Mahfud mekar di seluruh dunia bermula Jumaat lalu.

Media Turki, Daily Sabah misalnya, meletakkan judul berita ‘Menteri Indonesia Dikritik kerana Membandingkan Virus dengan Istri’ merujuk kepada lawak oleh Mahfud.

Akhbar tersebut mengecam tindakan Mahfud yang berlawak tak kena tempat. Ucapan berbaur seksis itu dilontarkan Mahfud ketika beliau mahu meredakan keresahan rakyat Indonesia ke atas perlonggaran kawalan pergerakan di Indonesia.

Pemerintah Indonesia sedang bersiap untuk melonggarkan lagi PKP di di sebahagian wilayah mereka pada awal Jun ini dan meminta rakyat untuk mengadaptasi apa yang disebut sebagai ‘kenormalan baru’.

Mahfud dengan riang dan muka kelakar berkata: “Adakah kita akan berkurung selamanya? Kita boleh sesuaikan diri dengan keadaan sambil memfokuskan kesihatan kita,” katanya pada Selasa lalu. Video tersebut tular teruk di kalangan warganet Indonesia.

“Hari itu, saya dapat satu ‘meme’ daripada rakan sekerja saya yang berkata: Korona seperti isteri anda. Pada awalnya anda cuba mengawalnya, kemudian anda sedar tidak boleh. Maka anda belajar untuk hidup dengannya.”

Media UAE, Gulf Today, juga telah menulis judul berita ‘Virus Korona Seperti Isteri Kamu, Kata Menteri Indonesia’. Gulf Today memberitakan tentang pernyataan tidak bertanggungjawab Mahfud yang mendapat kecaman kerana videonya yang mengajak masyarakat untuk menyesuaikan diri dengan situasi sambil tetap mengikuti protokol kesihatan.

Media asal Australia, Special Broadcasting Service (SBS), meletakkan judul ‘Membandingkan Virus Korona dengan Seorang Isteri Mendorong Kritikan Tajam terhadap Menteri Keamanan Indonesia’.

SBS pun mengulas pendapat Mahfud yang ternyata bersumberkan dari meme yang dikirim Menko Kemaritiman dan Investasi Luhut Binsar Pandjaitan.

Ketua Eksekutif Solidariti Wanita, Dinda Nisa Yura dalam satu kenyataan berkata: “Kenyataan ini bukan saja mencerminkan kegagalan kerajaan menyelesaikan masalah pandemik Covid-19, tetapi juga menunjukkan pemikiran seksis dan prejudis terhadap wanita dalam kalangan pegawai kerajaan,”

Indonesia mengerahkan kira-kira 340,000 anggota tentera untuk memastikan rakyatnya mematuhi penjarakan sosial ketika jangkitan Covid-19 meningkat di negara dengan jumlah penduduk ke-4 paling ramai di dunia.

Langkah itu menyusul rancangan kerajaan untuk membuka semula perniagaan pada minggu depan kerana bimbang ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu akan lumpuh.

Indonesia merekodkan kira-kira 24,000 kes positif Covid-19 dengan 1,496 kematian, tetapi republik dengan lebih 260 juta penduduk itu mempunyai kadar ujian saringan antara terendah di dunia.
Penyelidik menganggarkan jumlah kematian sebenar Covid-19 beberapa ganda lebih tinggi daripada angka rasmi.

Baca yang lain

Xavi Sedia U-Turn Dan Kekal Di Barca

Beberapa minggu lalu Xavi menyatakan bahawa dia akan tetap meninggalkan Barcelona walaupun kelab itu menjulang UCL sekalipun. Sebelum itu Xavi sudah menyatakan