Sehari Selepas Mbappe Diumum Kekal, PSG Pecat Leonardo, Manakala Pochettino Akan Menyusul

Hanya sehari selepas Mbappe diberikan kuasa untuk terlibat dalam menentukan jawatan seperti pengurus dan Pengarah Sukan, pada hari ini PSG terus mengumumkan Pengarah Sukan mereka, Leonardo dipecat.

PSG mahu memastikan projek baharu mereka sesuai dengan kehendak Mbappe dan sesuai dengan usaha mereka mahu menjadikan Mbappe teras kepada projek baharu.

Masa depan Leonardo sebelum ini memang sudah dibincangkan oleh PSG. Terutama sekali selepas mereka gagal memenangi UCL musim lalu. Dan keadaan menjadi lebih buruk apabila musim ini pun mereka turut gagal.

Semalam ESPN melaporkan bahawa, kunci kepada keputusan U turn oleh Kylian Mbappe kerana PSG sedia memecat Leonardo dan melanti Luis Campos.

Mbappe tidak suka dengan Leonardo. Dan kedua dua mereka dikatakan seringkali tak sehaluan.

ESPN turut melaporkan bahawa Mbappe mahukan jaminan bahawa Leonardo tidak akan kekal lama di kelab tersebut jika mereka mahu pemain itu kekal. Mbappe malah tidak mahu Leonardo menjadi pengarah Sukan pada musim hadapan.

Lalu PSG mencalonkan nama pakar rekrut pemain iaitu Lucas Campos untuk mengisi jawatan itu. Campos merupakan individu yang rapat dengan MBappe.

Di mana dia menjadi penjejak bakat pemain di AS Monaco. Ketika itu Mbappe bermain di sana dan kedua dua mereka memainkan peranan penting membantu kelab menjuarai Ligue 1 pada 2017 serta mara ke separuh akhir Liga Juara Juara Eropah.

Campos dianggap pencari bakat elit di Eropah. Dia juga yang menemui bakat Mbappe. Ketika di Lille, Campos membantu kelab menemui bakat seperti Nicolas Pepe dan Gabriel. Di mana dua pemain itu djual ke Arsenal dengan kelab menjana keuntungan bersih sekitar €100 juta daripada 2 penjualan tersebut.

Menariknya, sehari selepas Mbappe diumumkan, Leonardo benar benar dipecat oleh PSG.

Dan Campos kini merupakan ejen bebas selepas meninggalkan Lille. Mbappe mahukan Campos menjadi pengarah sukan yang baharu.

Seterusnya, Pengurus Pasukan, Mauricio Pochettino turut dikatakan sudah sedia meninggalkan pasukan tersebut.

Pochettino sudah lama memberikan isyarat dia tidak gembira dengan projek di PSG. Di mana dia seringkali diminta untuk tunduk kepada ego pemain bintang.

Sebelum ini Pochettino malah mahu meninggalkan kelab itu ke Manchester United selepas Ole Gunnar Solskjaer dipecat.

Namun PSG ketika itu tidak rela melepaskan pengurus yang belum sampai setengah musim bersama dengan mereka.

Pochettino merasakan bahawa dia tidak mempunyai kuasa pengurus di PSG.

Siapa pengurus baharu PSG?

Pengurus tersebut haruslah menjadikan Mbappe sebagai teras projek mereka. Bukan Neymar, atau Lionel Messi.

Itu sudah terkandung dalam kontrak Mbappe. Walaupun dia tidak menentukan secara mutlak siapa pengurus atau pemain yang keluar masuk. Namun dia berhak untuk bersuara dalam keputusan tersebut.

PSG serius mahukan projek yang benar benar berjaya. Ianya hanya dapat dibuktikan dengan kejayaan menjuarai Liga Juara Juara Eropah.

PSG tidak menandatangani pemain seperti Messi, Mbappe dan Neymar hanya untuk menjadi jaguh kampung semata mata.

Mereka juga pasukan yang sarat dengan bintang.

Kylian Mbappe pula dikatakan suka dengan Zinedine Zidane yang kini masih belum ada jawatan.

BACA JUGA: Tebas ‘Report’ Kes Mbappe Ke Mahkamah Kerana Tolak Real Madrid Dan Kekal Di PSG

Presiden La Liga, Javier Tebas menyifatkan kontrak baharu Kylian Mbappe di Paris Saint-Germain sebagai “penghinaan kepada bola sepak” selepas pemain antarabangsa Perancis itu menolak perpindahan ke Real Madrid dan kekal di PSG.

Mbappe, 23, memberikan komitmen  jangka panjangnya kepada PSG dengan menandatangani perjanjian baharu bersama juara Perancis itu sehingga 2025.

Penyerang itu telah dikaitkan dengan perpindahan musim panas ke Madrid selepas dilaporkan secara lisan bersetuju untuk menyertai juara Sepanyol itu awal musim ini.

Tetapi berlaku aktiviti pusingan U yang dramatik, Mbappe kini telah menurunkan dakwat pena untuk perjanjian baharu di Parc des Princes, menamatkan spekulasi mengenai masa depannya.

Dia dijangka memperoleh €4 juta sebulan dan juga akan menerima bonus tandatangan ataupun pendaftaran bernilai €300 juta untuk kekal bersama juara Perancis itu.

Tebas telah mengkritik sekeras-kerasnya perjanjian itu dan mempersoalkan bagaimana PSG mampu menawarkan pakej kewangan yang begitu lumayan kepada pemenang Piala Dunia itu.

“Apa yang PSG akan lakukan dengan memperbaharui Mbappe dengan jumlah wang yang besar (untuk mengetahui dari mana dan bagaimana dia membayar jumlah itu) selepas € [wang yang banyak] dalam musim-musim kebelakangan ini dan mempunyai lebih daripada €600 juta dalam bil gaji, ia adalah satu penghinaan kepada bola sepak,” tweet Tebas.

“[Presiden PSG, Nasser] Al-Khelaifi sama bahayanya dengan Liga Super,” tambah Tebas, merujuk projek Liga Super yang gagal yang ditentang hebat oleh Javier Tebas dan Nasser Al Khelaifi sendiri sebelum ini.

PSG menarik diri daripada pakatan 12 pasukan pada musim panas lalu. PSG menolak pelawaan itu. Dan ianya membolehkan Al-Khelaifi mendapat peranan berkuasa sebagai pengerusi Persatuan Kelab Eropah (ECA).

Presiden Real Madrid, Florentino Perez, sebaliknya, merupakan pejuang utama di sebalik idea Liga Super Eropah, yang tumbang selepas 48 jam pada April tahun lalu berikutan tindak balas hebat daripada penyokong dan UEFA.

La Liga mengesahkan bahawa ia memfailkan aduan kepada UEFA, mahkamah pentadbiran Perancis dan Kesatuan Eropah berhubung pembaharuan kontrak Mbappe.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari Sabtu, La Liga berkata ia adalah “skandal” bahawa PSG mampu untuk membuat perjanjian itu.

Kenyataan itu berbunyi: “Mengenai kemungkinan pengumuman Kylian Mbappe untuk kekal di PSG, La Liga ingin menyatakan bahawa perjanjian jenis ini menyerang kestabilan ekonomi bola sepak Eropah, meletakkan risiko ratusan ribu pekerjaan dan integriti sukan, bukan sahaja dalam pertandingan Eropah, tetapi juga dalam liga domestik.”

Tebas kemudian membandingkan situasi PSG dengan kelab seperti Real Madrid dan Barcelona, di mana Real Madrid memiliki sumber ekonomi dan pendapatan lebih baik berbanding PSG yang bermain di Ligue 1 dengan pendapatan jauh kecil.

Seterusnya, dalam kes Barcelona, kelab itu terpaksa melepaskan Lionel Messi tahun lalu selepas kelab tidak dibenarkan mendaftarkan Messi kerana peraturan FFP. Messi kemudian menyertai PSG.

Tebas membantah perpindahan Messi itu. Sama seperti dia membantah perpindahan Neymar ke PSG beberapa tahun lalu sebagai satu skandal.

Kini dia membantah Mbappe terus kekal di PSG dan menolak tawaran daripada kelab yang lebih layak memiliki pemain itu iaitu Real Madrid.

“Adalah memalukan apabila kelab seperti PSG, yang musim lalu melaporkan kerugian lebih 220 juta euro selepas mengumpul kerugian lebih 700 juta euro pada musim sebelumnya (sambil melaporkan pendapatan penajaan pada penilaian yang meragukan), dengan kos skuad sekitar 650 juta untuk musim ini, boleh memuktamadkan perjanjian sedemikian, manakala kelab-kelab yang mampu membayar pengambilan pemain tanpa melihat bil gaji mereka terjejas, dibiarkan tanpa dapat menandatangani pemain tersebut.”

Kenyataan itu menambah: “La Liga akan memfailkan aduan terhadap PSG di hadapan UEFA, mahkamah pentadbiran Perancis dan pihak berkuasa fiskal dan pihak berkuasa Kesatuan Eropah demi untuk terus mempertahankan ekosistem ekonomi bola sepak Eropah dan kemampanannya.”

Bercakap awal minggu ini, Tebas berkata beliau menjangka Mbappe akan berpindah ke Bernabeu. Dia ketika itu sangat gembira.

“Saya rasa Mbappe akan berada di Real Madrid,” kata Tebas kepada SPORT.

“Perasaan yang saya ada ialah jika dia mahu memperbaharui, dia pasti sudah berbuat demikian, tetapi saya boleh silap.”

Baca yang lain